Episod : Angan-anganku Musnah
Sejak naik sekolah menengah , minatku terhadap penulisan karya kreatif seperti sajak dan cerpen umpama sebuah roket menerobos ruang angkasa lepas ke orbit. Hampir setiap hari aku menulis sajak di buku, cebisan kertas dan keratan helaian kalender di rumah. Aku mendapat kepuasan yang luar biasa apabila menulis sajak. Penulisan cerpen hanyalah sekali sekala kerana aku lebih banyak membaca karya cerpen penulis-penulis ternama pada zaman 90-an.
Dari situ, aku memasang angan-angan hendak menjadi seorang wartawan. Walaupun ketika itu aku bersekolah di Tingkatan 1 tetapi minatku membaca ruang pojok ' Awang Selamat' dalam Utusan Malaysia sedikit sebanyak mempengaruhi pemikiranku. Karya-karya kreatif yang tersiar di dalam Mingguan Malaysia menjadi tarikan utama aku membaca akhbar keramat itu.
Karya pertamaku ' Cahaya Normila' tersiar di dalam Mingguan Malaysia pada tahun 1986. Kemudian, berpuluh-puluh karya sajak dan cerpenku tersiar di dalam surat khabar utama dan majalah popular seperti URTV dan Varia Pop. Karya yang tersiar di dalam Mingguan Malaysia biasanya akan dikupas oleh penulis mampan ketika itu dan kritikan yang dilontarkan selalunya bertitik-tolak daripada ilmu penulisan kreatif.
Semasa menduduki peperiksaan STPM, aku sudah menyimpan tekad untuk mengambil jurusan kewartawanan jika keputusan STPM aku layak. Berbagai-bagai pengalaman aku tempuhi sementara menunggu keputusan STPM. Aku mengambil upah mengangkat kayu-kayu ke dalam kontena di dermaga Pelabuhan Utara tetapi aku ditipu oleh 'kawan' bapaku. Upah yang sepatutnya aku terima telah 'disonglap'nya. Kemudian, aku bekerja sebagai tukang cuci atau 'cleaner' di sebuah ibu pejabat Lembaga Pelabuhan Klang.
Keputusan STPM telah diumumkan oleh sekolah. Aku mendapat keputusan 4 Prinsipal dan gagal bagi subjek Ekonomi. Namun, aku cukup berpuas hati dan bercadang untuk memohon jurusan kewartawanan di universiti tempatan. Iklan permohonan universiti-universiti awam tersiar di dalam surat akhbar utama. Aku tidak melepaskan peluang membeli borang ke universiti. Institut Teknologi MARA (ITM) menjadi pilihanku kerana ITM ada menawarkan kursus 'MASSCOM' selari dengan minatku dalam jurusan kewartawanan.
Penantian suatu penyeksaan. Itulah bait-bait puisi yang sering kubaca untuk menyatakan betapa seksanya perasaan saat menantikan sesuatu. Akhirnya, sepucuk surat bersampulkan logo ITM kuterima selepas pulang dari bekerja. Hati bertambah berdebar-debar apabila kukoyak sampul surat itu. Adakah permohonanku berjaya atau sebaliknya?
" Sukacita dimaklumkan anda dikehendaki hadir ke temuduga ......" . Alhamdulillah, hanya ucapan syukur kerana permohonanku akhirnya diterima. Wajah ibuku yang tersenyum apabila mendapat keputusan itu masih terbayang-bayang hingga hari ini. Pada tahun 80-an, mereka yang melanjutkan pelajaran ke universiti sudah dikira sangat hebat.
Rancangan asalku hendak menaiki teksi yang dipandu rakan bapaku ke ITM pada tarikh yang tertera di dalam surat tawaran. Namun, sahabat karibku bersungguh-sungguh hendak menolong
menghantarku ke ITM dengan menunggang motosikalnya. Sahabat karibku ini sedang melanjutkan pelajarannya di sebuah universiti awam selepas mendapat keputusan gred 1 dalam peperiksaan SPM. Hari dan masa yang dijanjikan tiba.
Seawal pagi, usai solat Subuh aku sudah bersiap-siap dengan pakaian yang sesuai untuk menghadiri temuduga kursus 'MASSCOM' di ITM,Shah Alam. Jarum jam menunjukkan pukul 8.00 pagi tetapi kelibat kawanku masih belum kelihatan. Aku mencapai gagang telefon dan menelefon rumah sahabatku dan ibunya menjawab dia sudah keluar awal pagi tadi untuk menghantarku ke ITM. Aku meletakkan gagang telefon dan wajah ibuku semakin resah.
Akhirnya , hampir jam 9.00 pagi barulah kedengaran enjin motosikal sahabatku di depan pintu. Pada mulanya, aku keberatan untuk menghadiri temuduga itu tetapi terus didesak oleh sahabatku dan akhirnya aku membonceng motosikal sahabatku ke ITM. Sesampai di sana, sesi temuduga sudah memasuki fasa temuduga lisan. Manakala, fasa menjawab soalan aku terlepas kerana kelewatan tadi.
Aku sudah menjangkakan bahawa tiada harapan untuk melanjutkan pelajaran ke ITM dan peluang keemasan itu tertutup selama-lamanya. Memang benar sangkaanku, surat dari ITM yang kuterima beberapa hari kemudian memadam angan-anganku untuk menjadi seorang wartawan. Wajah ibuku muram dan hilang kata-kata.
" Dukacita dimaklumkan bahawa anda GAGAL...".
Tiada kata-kata dan air mata. Segala-galanya kutelan. Tiada harapan yang kutaruhkan lagi. Senja itu, surat jawapan ITM kukeronyok dan kulemparkan jauh-jauh di Jeti Pelabuhan Klang lalu dihanyutkan ke laut lepas.
Kini, 37 tahun sudah berlalu peristiwa itu.Angan-anganku ingin menjadi seorang wartawan musnah. Beberapa tahun lepas, aku ada terserempak dengan sahabat karibku di sebuah surau kerana kami terputus hubungan sejak sekian lama. Sahabatku memeluk aku dengan erat dan membisikkan kata-kata maaf kepadaku. Aku menahan air mataku dan tubuhku bergetar saat kami berpelukan.
- Selamat Hari Wartawan kepada rakan-rakan dan murid-muridku yang bergelar wartawan...Kalian insan hebat !
Comments
Post a Comment