Episod : WAD 316
Selepas pulang dari Langkawi, rasa tidak sedap badan masih kualami dan muntah beberapa kali. Keadaan bertambah serius apabila aku hampir tumbang ketika melakukan solat Asar di rumah. Kepalaku berasa sangat pening dan seperti hampir pitam. Aku segera duduk bagi mengelakkan aku tersembam ke lantai. Usai solat yang terhenti seketika tadi, aku mengajak isteriku ke Klinik Selesa yang terletak bersebelahan stesen minyak SHELL Bukit Tinggi.
Doktor Raj yang bertugas segera meminta aku berbaring di atas katil di bilik rawatan kliniknya. Hubungan aku dengan Dr. Raj memang baik dengan aku kerana kliniknya itu merupakan klinik panel untuk staf-staf pusat tuisyen aku. Jadi, Dr. Raj meminta aku ke hospital kerana tanda-tanda aku mengalami demam denggi sangat jelas. Aku pulang ke rumah untuk mengemas pakaian dahulu dan mengajak anakku , Mukriz membawa aku ke KPJ, Shah Alam. Di sana, semua rekod perubatan aku disimpan dan aku sudah menjadi pelanggan 'regular' di KPJ.
Setibanya aku di pintu jabatan kecemasan , aku muntah beberapa kali dan dengan dibantu seorang doktor aku dibawa ke bilik rawatan. Seorang doktor telah melakukan ujian Covid dan memberitahu suhu badanku panas mencecah 39 darjah. Degupan jantungku juga tidak stabil . Kemudian , muncul seorang lagi doktor berpakaian seragam serba hijau mengingatkan aku semasa dibedah kerana kemalangan jalan raya. Darahku diambil oleh seorang jururawat dan doktor itu mengesahkan aku mengalami demam denggi dan beberapa kompilasi yang membahayakan diriku.
Kedua-dua doktor bersetuju menempatkan aku di Wad 509 (Tingkat 5 ) . Hanya seketika aku di wad 509 kemudian aku dipindahkan ke unit ICU. Aku dimaklumkan secara spontan oleh jururawat bahawa aku akan segera dipindahkan ke ICU dan isteri serta anakku tidak dibenarkan berada di situ tetapi menunggu di luar pintu. Doktor memasang segala wayar di badanku untuk memastikan jantungku tidak mengalami kompilasi kejutan (heart attact). Satu persatu fail perubatan aku dibuka dan diterangkan oleh doktor. Sebelum ini aku pernah dirawat di hospital ini kerana kemalangan jalan raya pada tahun 2017, kemudian 2019 aku diserang 'mild stroke' dan 'haeart attact' ringan pada tahun yang sama. Pada tahun 2021, aku sekali lagi dimasukkan ke hospital kerana serangan 'mild stroke' . Dr Suguna yang merawat aku semasa tahun 2019 turut berada di unit ICU. Para doktor yang berada di sisiku ialah mereka yang pernah merawat dan menjaga aku semasa di hospital.
Beberapa orang jururawat senior yang bertugas di unit ICU masih mengenali aku dan mereka menjaga aku dengan baik. Aku dipantau rapi oleh jururawat yang bertugas 24 jam. Kesukaran untuk tidur pada malam itu kerana badanku berasa terlalu sejuk sehingga aku diberikan 2 helai selimut. Mesin yang dipasang dengan wayar yang berselirat di tubuhku menyebabkan kesukaran aku untuk melelapkan mata. Sesekali, jururawat menghampiri aku untuk memeriksa tekanan darah dan jantungku. Sebelum itu, aku sudah dilawati oleh doktor pakar Endocrinologist , Doktor Wan yang sentiasa melawat aku sejak aku ditempatkan di ICU dan wad.
Setelah 2 hari bermalam dan dirawat di unit ICU, aku dipindahkan ke Wad 316 ( Tingkat 3). Keadaan bilik lebih selesa kerana di bilik itu hanya aku seorang sambil ditemani oleh isteriku. Makanan yang dihidangkan semuanya berasa tawar dan selera makan aku entah ke mana. Dr. Wan datang melawat aku dan hampir setiap hari darahku diambil menggunakan picagari untuk memeriksa tahap kesihatan aku.
" Buah pinggang tuan juga ada masalah," kata doktor.
" Hati juga ," tambah doktor lagi.
"Tuan tak nak makan ke?," tanya doktor. Aku hanya menggelengkan kepala. Doktor tersenyum.
"Kandungan garam dan sel darah putih pun ada masalah," kata doktor sambil melihat 'report' di tangannya.
"Tuan berehatlah dulu," kata doktor sebelum meninggalkan bilik .
Malam itu, anak dan cucu-cucuku datang 'berkampung' di bilikku. KFC , Mi Goreng , berbagai-bagai makanan dibawa tetapi tekakku sungguh tak berselera. Aku lebih banyak tidur dan sesekali terjaga untuk membuang air kecil. Sejak aku dimasukkan ke wad, air minuman dan air kencing disukat dan direkod di dalam sehelai borang yang bertukar ganti setiap hari.
Aku dilawati oleh beberapa teman rapatku dan ahli keluarga terdekat walaupun aku tidak dibenarkan menerima pelawat hanya ahli keluarga. Aku mengajak isteriku 'bersiar-siar' di kafe untuk mengurangkan 'stres'. Aku terserempak dengan beberapa orang doktor dan petugas di hospital itu yang mengenali aku. Di kafe, aku berjumpa dengan adik dan ipar aku yang datang melawat. Selera makanku masih tertutup dan berat badanku jatuh mendadak.
Selepas 5 hari di hsopital, akhirnya aku dibenarkan pulang ke rumah dan menyambung rehat.
"Saya harap tuan dapat menjaga kesihatan dan kurangkan bekerja. Tuan kelihatan letih," kata Dr. Wan sambil tersenyum dan mencatat sesuatu di atas fail. Aku bersiap-siap untuk pulang ke rumah apabila seorang jururawat datang ke bilikku dan meminta aku ke unit Radiologi untuk membuat CT Scan. Aku tidak tahu tentang hal ini tetapi aku ada mengadu sakit kepala di sebelah kanan sejak beberapa hari itu.
Aku dibawa ke unit Radiologi dengan menggunakan kerusi roda. Isteriku menunggu di bilik dan jiranku Dato Wan serta isterinya, Toh Puan Dr. Azah sudah menunggu aku ketika pulang dari unit Radiologi. Kami berbual-bual sementara menunggu doktor datang membuat pemeriksaan. Kemudian, aku dibawa berjumpa dengan doktor ENT, Dr. Wan yang sebelum ini pernah merawat aku berkaitan masalah di dalam telingaku. Setelah melihat imej 'scan' pada monitor di klinik, terdapat satu ketumbuhan kecil di dalam telingaku berukuran 4mm. Perkara ini agak mengejutkan aku dan doktor kerana sebelum ini tiada sebarang imej dkesan.
Doktor akan meneliti perkara itu dan aku akan menghadiri beberapa janji temu dengannya dari semasa ke semasa. Rancangan untuk melakukan pembedahan belum dapat diputuskan lagi dan sementara waktu keadaan aku akan dipantau oleh Dr. Wan.
"Ada apa-apa yang tuan teringin sangat nak makan?," tanya doktor bersahaja dan tersenyum. Aku hanya menggelengkan kepala dan menahan air mataku gugur.
Aku dibenarkan keluar dari Wad 316 pada 15 Mei 2023 jam 5 petang dan beberapa orang jururawat kuajak bergambar untuk dijadikan memori di dalam buku penulisan aku yang akan diterbitkan tidak beberapa lama lagi. Sejak berada di rumah, aku lebih banyak tidur kerana berasa penat dan semua kelas tuisyen aku cutikan buat sementara waktu sehingga aku benar-benar kembali sihat walafiat.
Comments
Post a Comment