Episod : Sahabat
Usai Subuh tadi, aku menyambung tadarus Al-Quran. Tiba-tiba, masuk pesanan whatsapp.
" Has dah tak ada.." Spontan bibirku mengucapkan ' innalillahiwainailaihirojiun '. Rasa sebak menerkam di hati. Terbayang wajah arwah sahabat semasa zaman persekolahan rendah dulu (1974-1979).
Beberapa bulan lalu arwah disahkan menghidap kanser. Berita ini amat mengejutkan kami teman-teman arwah kerana arwah tidak pernah menunjukkan tanda-tanda sedang sakit. Namun, arwah reda dengan ketentuan-Nya. Arwah mendapat rawatan intensif di Hospital UiTM , Puncak Alam . Selama beberapa minggu ini, keadaan arwah semakin kritikal .
Arwah seorang yang baik hati dengan teman-teman sekolah. Ringan tulang apabila kami mengadakan perjumpaan bekas murid sekolah MBS, Pelabuhan Klang. Walaupun selamg masa 49 tahun namun kami sentiasa berhubung antara satu dengan yang lain.
Kali terakhir aku bertemu arwah dan suaminya semasa seorang rakan sekolah mengadakan majlis walimatulurus di Klang. Kami berbual-bual dan bergambar untuk kenang-kenangan . Itulah kenangan bertemu arwah.
29 Mac 2023, aku menghantar pesanan whatsapp kepada arwah untuk merisik khabar. Arwah hanya mengaminkan doa yang kutitipkan kepadanya. Arwah sanggup datang dari jauh, Perak jika dijemput rakan-rakan yang mengadakan majlis di Klang. Arwah sangat menjaga nilai persahabatan sejati.
Hari ini , pada pagi Jumaat yang mulia 14 April 2023 (23 Ramadan 1444H), arwah Hasnida (Has) telah dijemput Ilahi. Semoga roh arwah dicucuri rahmat Allah dan diberikan keampunan-Nya. Amin Ya Rabbal Alamin 




Comments
Post a Comment