Episod : KIDNAP
Seawal jam 11 pagi, aku dan isteri telah bersiap-siap untuk berhari raya. Rayakan sebulan. Mula-mula, kami ke rumah anak yang sulung di Jenderam Hilir. Sepanjang perjalanan banyak kenderaan menuju ke arah selatan melalui Lebuhraya Elite. Sesekali kenderaan bergerak macam siput. Akhirnya, kami sampai juga di rumah anak dan disambut anak menanti serta cucu.
Anak perempuan keduaku yang kami panggil kakcik pun bertanya kepadaku kalau aku bekerja keesokan hari. Sudah menjadi kelaziman begitu kalau ada rancangan tertentu aku orang nombor satu akan dirujuk jika melibatkan aktiviti famili.
"Esok 1 Mei ayah free," kataku sambil menjamah sebiji pisang. Kakcik melihat skrin telefon bimbitnya.
" Kita keluar nak," cadang kakcik.
" Keluar ke mana?"
" Utara atau Selatan?"
" Ayah ikut je"
" Jap orang 'check' hotel" .
" Ok.Cameron Highland".
" Bila?," tanyaku kerana keputusan dibuat dalam masa singkat.
" Petang ni gerak"
" Ok la," jawabku tanda setuju.
Usai makan minum, kami bergerak dua kereta menuju ke Pulau Indah, rumah adik bongsuku. Lebuhraya agak sibuk kerana hari sudah petang. Akhirnya, kami sampai ke Pulau Indah. Dulu, Pulau Indah dikenali Pulau Lumut. Hanya menggunakan bot penambang untuk sampai ke Pulau Lumut. Kali pertama aku ke Pulau Lumut pada tahun 1985 menaiki bot penambang dari Jeti Pelabuhan Klang. Ketika itu , aku dan ahli KEMUDI ( Persatuan Penulis Muda Negeri Selangor) ke Pulau Lumut untuk program Baca Puisi dan beramah mesra dengan penduduk di situ.
Mi hoon goreng dan Mi goreng menjadi hidangan di rumah adikku. Keluarga adik perempuan aku juga ikut serta ziarah hari raya petang itu. Aku dan kakcik tidak berlama-lama di Pulau Indah kerana aku perlu singgah di rumah Bukit Tinggi untuk mengemas beberapa persalinan pakaian untuk dibawa ke Cameron Highland.
Selepas itu, kami singgah di rumah sepupuku Kak Long Rokiah di Shah Alam. Nasi Tomato , ayam masak merah dan nasi beriyani menjadi hidangan rumah terakhir. Jam menunjukkan pukul 6.30 petang. Usai bersalam-salaman dan merakam beberapa memori sebagai kenang-kenangan kami bergerak menuju ke Cameron Highland. Cuaca mendung dan di sesetengah tempat hujan turun lebat tetapi tidak lama. Kami mula mendaki Cameron Highland sekitar jam 8.00 malam. Suasana gelap gelita tetapi jalan menuju puncak sangat baik dan sudah ditar. Oleh sebab mataku agak silau pada waktu malam, anakku Mukriz menjadi pemandu. Kecekapannya memandu tidak boleh disangkal lagi dan dialah yang akan memandu jika perjalanan jarak jauh atau waktu malam.
Kami sampai di Tanah Rata sekitar jam 10.30 malam. Berlegar-legar mencari tempat makan malam. Akhirnya, kami makan malam di sebuah restoran . Harga makanan boleh tahan dan sememangnya di tempat-tempat pelancongan harga makanan agak mahal. Mukriz memesan roti nan 'chese' sekeping dan ayam Tandori berharga RM22.00. Kira upah dia memandu kereta tadi. Masakannya sedap jadi berbaloi dengan harga.
Usai makan malam, kami menuju ke Apartment Cameron Jaya, Tanah Rata sekitar jam 11.15 malam. Ini kali kedua kami bermalam di sini tetapi di blok lain. Oleh sebab kakcik VIP Agoda sewa apartment semalam RM280 daripada harga asalnaRM600.00 . Badan pun letih dan gusi aku mula sakit dan telinga serta kepala pun sakit. Malam itu aku tidak dapat tidur lena hingga pagi.
Sekitar jam 8.00 pagi, kami turun ke bawah untuk mencari sarapan pagi di sebuah restoran milik peniaga dari Terengganu. Aku memilih mi goreng, yang lain memilih bakso, nasi lemak dan nasi ayam. Jumlah kesemuanya RM61.00. Sebenarnya, kakcik sudah membeli bahan-bahan 'steamboat' untuk dimasak tapi bimbang tak habis dan terpaksa dibuang kami membawa balik bahan-bahan tersebut.
Setelah 'check out' pukul 12.30 tengah hari, kami menuju ke Kampung Sedia untuk menikmati makanan popular di sini tapi waze menujukkan laluan ke sana sesak teruk lalu kami menukar rancangan ke Mardi Cameron Highland. Setelah membayar harga tiket RM6.00 untuk dewasa dan percuma untuk kanak-kanak bawah 6 tahun. Kami meronda di sekitar Taman Agro Mardi Cameron Highland dan berjalan kaki di kawasan berbukit. Perlahan-lahan aku menapak sambil melayan cucu-cucuku ' The Mateen' melihat rusa, kambing dan pokok-pokok bunga.
Usai bergambar kami bercadang hendak ke Brinchang tetapi waze menujukkan laluan ke atas sana sangat sesak. Kami singgah di Masjid depan balai bomba untuk solat Jamak Zohor dan Asar.Selepas itu, mencari kedai makan dan terjumpa 'food court' depan KFC. Aku memesan nasi goreng dan isteriku memesan nasi paprik, nasi ayam dan nasi goreng cendawan berharga RM61.00.
Cuaca mendung dan suhu sejuk. Kami bergerak turun melalui jalan sama ke Tapah. Waze menujukkan jangkaan sampai ke Klang pukul 9.00 malam. Sepanjang perjalanan kenderaan agak sesak tetapi bergerak lancar. Kami singgah di RnR Tapah untuk ke tandas sebelum meneruskan perjalanan ke Klang. Hujan sangat lebat setiba di Ulu Bertam dan beberapa kali aku berpesan kepada Mukriz agar berhati-hati kerana suasana lebuhraya gelap dan hujan. Jalan tentu sangat licin.
Tiba-tiba, kereta di hadapan kami berhenti mengejut dan berlaku kemalangan membabitkan tiga buah kenderaan .
" Mukrizzzz,' jeritku dan kereta sempat membrek tetapi mengelongsor. Kami terselamat daripada terlibat sama dalam kemalangan .
" Alhamdulillah,selamat," kataku. Kami meninggalkan tempat kejadian kerana bimbang terperangkap dalam 'jammed' akibat kemalangan tadi.
Hujan sepanjang jalan hingga kami sampai rumah sekitar jam 11.30 malam. Bahan-bahan 'steamboat' diimasak dan kami makan malam pada pukul 12.00 tengah malam. Selepas makan aku masuk bilik untuk berehat dan tidur tetapi mata tak boleh pejam hingga 2.30 pagi barulah aku tertidur. Kisah aku dan isteri kena 'kidnap' ke Cameron Highland akan berulang lagi tetapi destinasi yang lain.





Comments
Post a Comment