Episod : Jadi ke Raya
"Ayohmu beli dua ekor ayam suruh mok masak rendang. Nasi impit buat malam nanti. Esok dah boleh makan . Tunggu pengumuman raya malam ni," kata mok yang sedang sibuk di dapur. Aku bersandar di dinding melihat mok memotong segala bahan memasak .
" Mu tolong parut kelapa ," arah mok. Aku segera mengambil sebiji kelapa yang sudah dibelah dan duduk di atas kukur kelapa lalu mula mengujur kelapa. Memang sudah kebiasaannya aku menolong mok di dapur.
Lagu ' Dendang Perantau ' berkumandang melalui corong radio 'transistor'di tepi meja. Mok mengesat air mata di hujung lengan baju. Kami tidak pernah pulang beraya di Kelantan kerana kos tambang yang mahal dan ayoh tidak bergaji besar sebagai buruh di Pelabuhan Utara. Persediaan untuk menyambut hari raya tetap ada dan aku tidak pernah bertanya bagaimana ayoh boleh menyediakan segala kelengkapan untuk hari raya.
Aku dan adik-beradik membeli kasut di kedai Bata di tengah-tengah pekan kecil Pelabuhan Klang. Dari flat LPK berjalan kaki ke pekan untuk membeli kasut dan pakaian sepasang seorang. Apa saja ayoh beli kami pakai tak ada pilihan itu ini. Perasaan gembira menjinjing plastik berisi kotak kasut sudah menghilang rasa penat berjalan kaki pulang ie rumah.
" Kalau esok tak jadi raya?," tanyaku kepada mok yang sedang menyiang ayam. Mok diam. Aku terus mengukur kelapa.
" Kalau tak raya simpanlah ayam dalam peti ais tunggu esok baru masak," jawab mok dan aku menggangguk sambil membetulkan duduk di atas kukur kelapa.
"Nak buat apa lagi ni," tanyaku selesai mengukur kelapa.
" Nah, pilih beras. Yang hitam buang nak buat nasi impit malam ni," suruh mok sambil menyorong sedulang beras. Aku bersila di depan sedulang beras sambil menguis-nguis beras mencari beras yang rosak. Kadang-kadang terjumpa batu kecil di atas dulang beras.
" Kenapa kita tak balik kampung?," terpacul kata-kata itu dari mulutku. Mok diam lagi. Mok mengacau kuali yang berisi cili boh.
" Ayohmu mana nak cari duit. Kita beraya di rumah saja. Mok dah masak rendang , kuah kacang , nasi impit makan ini saja ," jawab mok tanpa menoleh. Tangan mok terus mengacau isi di dalam kuali. Aku pula masih mencari-cari beras hitam yang tidak cantik jika tercampur dalam nasi impit.
" Ni dah siap," kataku sambil menolak dulang beras.
"Ada apa-apa lagi nak tolong?," tanyaku.
"Tak ada dah. Pergilah main," jawab ibu.
Petang itu , aku dan kawan-kawan masih bermain bola di padang belakang flat. Teka-teki sama ada esok raya atau tidak hanya tinggal teka-teki. Malam ini pengumuman penting tarikh hari raya. Sekiranya, anak bulan kelihatan esoklah raya. Pengumuman hari raya ditentukan dengan melihat anak bulan.
Selepas maghrib, masing-masing sudah duduk tercongok depan televisyen hitam putih. Gandingan pembaca berita RTM Hashim Embi dan Salasiah dinanti-nantikan saat memberi laluan pengumuman tarikh hari raya.
" Kita berhenti seketika untuk pengumuman tarikh hari raya..". Suasana flat sunyi sepi . Muncul di kaca televisyen penyimpan mohor besar raja-raja untuk mengumumkan tarikh hari raya. Hati bertambah berdebar-debar. Akhirnya, hari raya jatuh pada hari esok. Suasana sunyi sepi disambut dengan jeritan bergaung kegembiraan di seluruh flat.
" Mu tolong angkat batu giling atas nasi impit. Ambil air satu baldi tambah berat lagi, " arah mok. Kudrat aku pada usia 11 tahun tidaklah sekuat mana lagipun aku jenis kurus kering. Aku menggagahkan diri mengangkat batu giling cili dan sebaldi air untuk menekan nasi impit yang sudah dimasak lembik dan dibalut dengan kain napkin. Esok dapatlah makan nasi impit rendang ayam dengan kuah kacang mok yang paling sedap.
Kenangan itu sudah tinggal kenangan setelah ayoh dan mok menemui pencipta-Nya. Kami adik-beradik masih meneruskan tradisi berkumpul di pagi raya di rumah pusaka di Pelabuhan Klang. Bermaaf-maafan sesama adik-beradik dan ipar duai serta anak-anak buah. Jika ada yang pulang ke kampung pasangan , tradisi berkumpul tetap diteruskan. Selesai bermaaf-maafan , masing-masing mengisi perut dengan masakan ketupat lemang rendang dan kuah kacang yang dibawa dari rumah masing-masing. Aku terbayang-bayang wajah ayoh dan mok tersenyum melihat kami adik-beradik makan bersila bersama-sama.

Comments
Post a Comment