Episod : 'Sepucuk Warkah Ini '
Asalamualaikum , N ...
N, emoga awak sihat walafiat hendaknya. Awak apa khabar, N ? Maafkan saya kerana mengutus warkah ini . Walaupun awak tidak pernah membalas warkah saya namun saya berharap awak akan membacanya. Betullah seperti kata awak dulu sebelum kita kembali ke daerah masing-masing, mungkin kita tak berjumpa lagi. Soalan saya belum berjawab ? Mengapa N ? Adakah seseorang sedang menanti kepulangan N di kampung ?
Tapi, tak mengapalah N kerana setelah berpuluh-puluh warkah saya utuskan namun tiada jawapan balas seperti yang saya harapkan. Saya juga sudah sedia menerima apa-apa jua keputusan awak . Awak tahu tak, hari itu saya terjumpa pin tali leher yang awak hadiahkan kepada saya. Ketika mengemas bilik, terselit pin itu dicelah buku 'Attar Lembah Mawar ' karya SN Siti Zainon Ismail yang saya usung ke sana ke mari semasa kita ke perpustakaan dulu.
Saya membelek pin tali leher itu dan tersenyum apabila mengingatinya semula. Pin itu awak hadiahkan kepada saya dan selitkan pada tali leher saya supaya saya berasa awak sentiasa dekat di hati saya. Awak berikan pin itu ketika kita di perpustakaan dan pesan awak jangan hilangkan pin itu. Sudah lama saya mencari pin itu tapi tidak pernah terjumpa. Kenangan itu masih segar dalam ingatan saya, N.
N,
Benarkah awak kini sudah berteman ? Kata seorang kawan kita , dia pernah terserempak awak di kota bersama seorang teman . Awak sangat mesra dengan teman baru. Begitulah cerita yang disampaikan kawan kita. Pada mulanya, bergetar juga hati saya saat mendengarnya tetapi saya menggagahkan diri cuba tersenyum di hadapan kawan kita. Saya tidak mahu menunjukkan diri saya lemah. Sesungguhnya, hati saya hancur lebur mendengar cerita kawan kita tentang awak, N.
Sedikit demi sedikit saya belajar melupakan awak. Saya sedar bahawa saya tidak setampan si dia teman baru awak. Apatah lagi berjawatan tinggi seperti dia. Saya bukan datang dari keluarga yang berharta. Semua ini menjadikan saya kuat dan sedar diri. N, saat awak membaca warkah ini saya sebenarnya sudah melangkah jauh untuk menggapai cita-cita saya. Sikap awak yang berdiam diri tanpa khabar berita amat melukakan perasaan saya. Berbagai-bagai telahan saya terhadap awak dan sangkaan saya kini semakin menjadi nyata.
N,
Andainya warkah ini yang terakhir daripada saya kepada awak , simpanlah warkah ini untuk tatapan masa depan . Suatu masa yang entah bila , barang kali kita dapat bertemu kembali walaupun dalam suasana yang berbeza tetapi hati saya tidak akan berubah terhadap awak . Saya tidak mahu warkah ini dijadikan alasan sebagai kata perpisahan antara kita, N. Cukuplah saya ingin nyatakan bahawa ' Sepucuk Warkah Ini ' untuk N.
Salam dari jauh.
Comments
Post a Comment