Episod : Wanita ( Sempena Hari Wanita Sedunia 8 Mac )

Setiap orang mempunyai wanita di dalam hidupnya kerana wanitalah dia dilahirkan di atas muka bumi yang fana ini. Wanita ini dipanggil ibu, emak, mummy, mama , ummi dan beberapa nama panggilan lain. Aku juga mempunyai wanita yang cukup istimewa sehinggalah umurku 51 tahun , aku kehilangannya. Ibuku telah kembali kepada pencipta-Nya buat selama-lamanya. Tika ibuku menghembuskan nafasnya yang terakhir, aku berada di sisinya dan kubisikkan ke telinga ibuku ," Orang minta maaf atas kesalahan orang kepada mok dan orang maafkan Mok ." Usai kata-kata itu ibuku telah kembali kerahmatullah dengan tenang dan bibirnya seakan-akan tersenyum.
Aku reda dengan pemergiannya setelah menanggung derita beberapa hari akibat terjatuh dan tulang pahanya patah. Disebabkan faktor usianya yang sudah lanjut, doktor tidak bercadang untuk melakukan pembedahan kerana risiko yang amat tinggi. Jangkitan kuman tidak dapat menyelamatkan nyawa ibuku . Semoga ibuku ditempatkan bersama-sama orang beriman di sisi-Nya. Amin Ya Rabbal Alamin.
Apabila mengenang kembali ibuku, dia seorang yang sangat tabah menharungi pahit getir kehidupan yang sukar dan menguruskan kami lima asik - beradik. Aku anak lelaki yang tua menjadi ' anak suruhan ' untuk ke pasar membeli barang keperluan atau apa-apa sahaja arahan daripada ibuku. Memandangkan kakak sulungku seorang OKU dan sukar untuk berjalan , maka aku mengambil alih tanggungjawab di rumah kerana ayahku banyak menumpukan masanya dengan bekerja di dermaga Pelabuhan Klang untuk mengisi perut kami yang menanti di rumah.
Pada tahun 1974, aku memasuki sekolah Darjah Satu. Ibuku berasa sangat bangga melihat aku berpakaian kemas dengan seragam sekolah. Ayahku yang menghantar aku ke sekolah sambil memeluk beg kotak berwarna merah petak-petak. Betapa riangnya hati kerana dapat pergi ke sekolah seperti orang lain. Aku tidak pernah mempunyai pengalaman bersekolah tadika seperti rakan-rakanku yang lain kerana ketidakmampuan dari segi kewangan. Namun, aku cekalkan hati untuk belajar dengan bersungguh-sungguh di sekolah.
Semua latihan sekolah aku dibimbing oleh ibuku sebagai guru di rumah. Ibuku yang mengajar aku membaca , menulis dan mengira. Perkataan pertama yang kutanya kepada ibu sewaktu menonton televisyen ialah maksud 'enggan'. Ibuku tersenyum mendengar pertanyaanku lalu menjawab maksud 'enggan' ialah 'tidak mahu'. Sejak itu, aku semakin suka membaca seperti ibuku yang gemar membaca surat khabar Utusan Malaysia setiap hari.
Hari demi hari, pelajaranku bertambah baik. Dari kelas paling akhir Darjah 1E hingga Darjah 6B. Aku berpeluang memasuki Darjah 4A dan 5A selama dua tahun tetapi kesukaran menguasai Bahasa Inggeris ketika itu aku tidak dapat bertahan di Darjah 6A. Ibuku hanya sentiasa menerima apa-apa sahaja keputusan yang aku dapat dalam pelajaranku dan tidak pernah berasa aku gagal. Ibuku pernah berkata bahawa dia ingin menjadi guru sekolah tetapi tidak mendapat restu daripada Che' ( datuk). Kemudian, ibuku berkahwin dengan bapaku.
Ibuku akan menyiapkan sarapan sebelum ke sekolah dan kadang kala aku membeli nasi lemak makcik Sa'diah di Blok A Flat LPK. Apabila aku di sekolah menengah Tingkatan 1 pada tahun 1980, ibuku akan memasak kari dan ikan kembung atau ikan selar yang aku beli di pasar Pelabuhan Klang. Ibuku akan menulis di atas secebis kertas barang-barang basah dan kering untuk aku beli di pasar. Aku akan berjalan kaki ke pasar kerana di rumah aku hanya ada sebuah basikal yang ditunggang bapaku ke tempat kerjanya di Pelabuhan Utara.
Nasi akan dibungkus dengan kertas surat khabar yang dilapik plastik, ikan dibungkus dalam plastik dan kuah kari di dalam plastik lain diikat dengan getah. Semua bekalan makanan itu disimpan di dalam beg dengan rapi supaya tidak tumpah dalam perjalanan ke sekolah nanti. Di sekolah, aku dan kawan-kawanku akan makan bersama-sama di kantin semasa rehat dan bertukar-tukar lauk yang dibawa masing-masing. Jadi,,dapatlah merasa secubit ayam goreng atau daging yang dibawa oleh kawan-kawan sebaya.
Selepas keputusan SRP diumumkan, aku mendapat keputusan yang agak baik dan dipilih memasuki Tingkatan 4 aliran Sains. Semasa di Tingkatan 1 hingga Tingkatan 3, aku belajar di aliran Perdagangan. Ibuku tidak memaksa aku memasuki aliran Sains tetapi ibuku ada berharap aku dapat memasuki kelas yang terbaik, iaitu kelas aliran Sains. Ketika itu, murid-murid aliran Sains dianggap sebagai murid elit dan pandai. Di dalam kelas aku mempunyai 25 orang murid dan paling sedikit jika dibandingkan dengan kelas aliran Sastera dan Perdagangan. Hanya 5 orang daripada rakan sekelasku bukan pengawas dan selebihnya 20 orang ialah pengawas sekolah.
Ibuku akan memastikan aku membuat kerja sekolah walaupun hingga awal pagi. Ibuku akan menemaniku walaupun dia tersengguk-sengguk menahan mengantuk di kerusi rotan di ruang tamu. Ayahku jarang-jarang berada di rumah kerana dia bekerja 'shift' dan selalunya dia bekerja. Hasil pendapatannya digunakan untuk menyara kehidupan kami dan menyekolahkan aku dan adik-adikku yang tiga orang lagi. Kakakku hanya bersekolah hingga SRP sahaja dan duduk di rumah membantu kerja-kerja rumah.
Sehinggalah, keputusan SPM diumumkan pada tahun 1984, aku tidak mendapat keputusan yang diharapkan hanya layak mendapat SAP. Hal ini kupendamkan di dalam hatiku kerana sejak hari pertama aku di dalam kelas Tingkatan 4 , aku tidak dapat mengikuti pelajaran dengan baik terutamanya subjek Sains Tulen dan Matematik Tambahan. Hampir semua keputusan subjek SPM aku mendapat 'cangkul' (7). Ibuku berasa amat bimbang kerana aku tidak pulang terus ke rumah sebaliknya aku membawa 'diri' ke bandar Klang dengan berjalan kaki dari Pelabuhan Klang. Sepanjang langkah kakiku, airmataku mencurah-curah kerana gagal SPM dan mengecewakan harapan ibu bapaku.
Akhirnya, setelah berbincang dengan ibu bapaku , aku dibenarkan menyambung pelajaran Tingkatan 6 STPM di sebuah sekolah swasta di bandar Klang. Bermulalah episod baharu dalam hidupku. Kali ini , aku benar-benar ingin membuktikan bahawa aku boleh berjaya. Pada masa yang sama, aku dilantik sebagai ketua Pengawas sekolah setelah Puan Pengetua memecat Ketua Pengawas yang dilantiknya atas sebab-sebab tertentu. Di Tingkatan 6 aku mengambil aliran Sastera. Ibuku memahami minatku dalam bidang penulisan sajak dan cerpen.
Ayahku membeli sebuah radio gram di rumah dan setiap petang aku akan melayan lagu-lagu jiwang yang mendayu-dayu sambil mendengar celoteh DJ Shahizan Jelas dan Lutfi Abas. Baik-baik puisi yang pendek dan padat meracuni pemikiranku dan menjadi modal untukku menulis. Karya pertamaku 'Cahaya Normila' disiarkan di dalam Mingguan Malaysia. Gempar sekejap karya budak flat tersiar di dalam surat khabar. Selepas itu, hampir setiap minggu karya-karyaku tersiar di dalam surat khabar dan majalah.
Beratus-ratus surat daripada peminat seluruh negara terutamanya wanita dihantar oleh posmen ke rumahku. Ibuku menjadi tukang baca kerana aku hanya membaca surat-surat yang aku pilih secara rawak. Antara banyak surat tersebut, aku tertarik dengan sepucuk surat daripada seorang gadis dari Melaka. Setelah beberapa pucuk surat saling berbalas akhirnya putus apabila 'M' membuat keputusan untuk menarik diri. Kata-kata akhir 'M' dia akan menjadi milik orang pilihan keluarga. Selepas itu, aku tidak lagi mengutus surat kepada 'M'.
Tumpuan aku terhadap pelajaran tidak pernah aku abaikan kerana keutamaan aku adalah untuk menebus kegagalanku dalam SPM. Pada masa yang sama , aku mengenali 'I' . Setiap hari , aku melihat 'I' duduk di hadapan rumahnya ketika aku pulang dari sekolah. Hanya berbalas senyuman tanda mesra. Aku mengutus poskad dan surat kepada 'I' sebagai tanda persahabatan. 'I' mempunyai rupa dan berkulit cerah. Rambutnya dipotong paras bahu dan keperang-perangan.
Setiap pagi, apabila aku berjalan kaki ke perhentian bas Pelabuhan Klang, aku akan terserempak dengan 'S' yang sehaluan ke perhentian bas juga. 'S' agak 'berani' bersembang dengan aku yang agak pendiam kerana sikap aku kurang berani di hadapan wanita. Ibuku tidak mengetahui hal ini kerana ibuku lebih banyak di rumah membuat kerja rumah. Perkenalan aku dengan 'S' secara tidak sengaja kerana setiap hari kami akan berjalan seiring ke sekolah di bandar Klang tetapi 'S' bersekolah kerajaan Tingkatan 6 juga. Pernah sekali 'I' terpandang aku berjalan seiringan dengan 'S' dan wajahnya kelihatan muram.
Aku jarang-jarang melihat 'I' seperti selalu. Barang kali, dia merajuk kepadaku. 'S' memiliki paras rupa seperti pelakon Sarimah dan tahi lalat halus di pipinya. Kami terus berkawan sehinggalah selesai STPM , masing-masing membawa haluan sendiri. sampai di situ sahaja hubungan kami. Sementara itu, aku juga berkawan dengan 'N'. 'N' agak pendiam tetapi berhati lembut. Kurasakan hubunganku dengan 'N' paling serius . Walaupun begitu, aku akan mengajak kawan-kawanku yang lain bersama-sama bersiar-siar jika 'N' turut sama. Kami menikmati KFC di Jalan Taiping bersama-sama kawan-kawan lain.
Usai peperiksaan STPM, aku dan 'N' terpisah kerana 'N' dikhabarkan kembali ke daerahnya. Hari demi hari kuutus surat kepada 'N' tetapi tidak pernah berbalas. Lirik lagu 'Suatu Masa' M Nasir' paling tepat menggambarkan keadaan aku ketika itu.
...berhelai-helai surat ...terbiar di depanku..tak dapat aku utuskan ... kuramas semua ...dan kubuangkan jauh dari pandangan... lalu aku kesal ...kukumpul semula.. tak dapat kunyatakan apa yang kurasa ...jika engkau tahu.. di dalam hatiku..mungkinkah kau sahut jeritan batinku....
Sejak itu, aku tidak lagi berteman kerana mereka yang pernah kukenali sudah lenyap tanpa berita. Hari-hari kulalui dengan menulis sajak dan cerpen sambil mendengar lagu-lagu yang diputarkan melalui corong radio. Keputusan STPM telah diumumkan dan aku berjaya memperoleh keputusan 4 Prinsipal. Ibuku paling gembira dengan keputusan yang aku capai setelah aku gagal dalam SPM dua tahun yang lalu. Ayahku juga turut gembira.
Aku mengisi borang-borang permohonan ke universiti awam dan hanya satu permohonan yang berbalas , ITM !. Aku memohon jurusan MASCOMM di ITM kerana aku sangat meminati bidang berkaitan penulisan. Andainya, aku menjadi wartawan tentulah aku akan lebih berjaya sebagai penulis. Sewaktu 'interview' diadakan di bangunan induk ITM , Shah Alam , dua orang panel yang menemuduga aku sangat mengenali aku. Dr.Ilias Hj Zaidi seorang pengkritik karya sastera yang terkenal ketika itu tersenyum melihat aku selepas membaca namaku di atas sehelai borang di atas mejanya.
"Minggu lepas saya ada menulis tentang karya awak," katanya sambil tersenyum.
'Betul, Prof. Tapi, saya tak faham apa yang Prof tulis," kataku berterus-terang. Dia tersenyum lebar dan diikuti ketawa yang panjang. Kami sama-sama ketawa.
'Kalau awak berjaya , awak boleh jadi wartawan yang baik?," tanya Prof spontan.
"Tentu, Prof. Saya minat bidang penulisan," jawabku.
"Baiklah. Awak tunggu keputusan nanti," kata Prof dan kami bersalam-salaman dan itulah kali terakhir aku bertemu Dr. Ilias Haji Zaidi.
Keputusan mengecewakan aku kerana aku gagal. Sekeping kad daripada ITM kuterima dan ibuku sudah mengetahui keputusan permohonan aku. Aku yang baru pulang dari bekerja sebagai 'cleaner' berasa amat sedih dan kecewa sepertimana kekecewaan aku semasa mendapat keputusan SPM. Kad jawapan ITM kumasukkan ke dalam kocek seluarku lalu kukayuh basikal ke menuju ke jeti Pelabuhan Klang. Di tepi jeti, kubuang jauh-jauh kad jawapan itu lalu hanyut dibawa ke tengah laut dan hilang dari pandanganku. Selepas 19 tahun menanti, akhirnya aku berjaya melangkah ke menara gading , Univerisiti Putra Malaysia (UPM) sebagai pelajar Pendidikan Jarak Jauh (PJJ) pada tahun 2004 dan bergraduat pada tahun 2008. Ibuku menjadi saksi saat aku menerima skrol di atas pentas. Betapa gembiranya hati ibuku kerana akhirnya aku berjaya menjadi seorang mahasiswa UPM dan memenuhi impiannya selama ini.
Ibukulah memujuk aku agar berusaha lagi mengambil STPM tetapi hatiku telah tawar untuk menyambung pelajaran. Rasa tidak adil bersarang di dalam diriku. Aku benar-benar ingin menyambung pengajian di universiti kerana itulah satu-satunya cita-citaku. Aku terbayang wajah 'N' tetapi bayangan wajahnya semakin kabur oleh airmata. Aku mahu membuktikan kepada mereka bahawa aku juga boleh berjaya dan mempunyai masa depan yang baik. Mungkinkah itu 'N' menyepikan diri daripadaku.
Ibuku memberitahu aku bahawa Puan Pengetua sekolahku menelefon dan menyuruh aku datang ke sekolah keesokan hari. Hatiku tertanya-tanya apakah sebab Puan Pengetua menelefon aku. Seawal pagi, aku mengambil cuti bekerja untuk pergi ke bandar Klang menemui Puan Pengetua. Aku mengayuh basikal tua ayahku dari Pelabuhan Klang ke bandar Klang. Oleh sebab tiada baju yang sesuai untuk dipakai menemui Puan Pengetua, ibuku menyelongkar almari dan menemukan sehelai baju kemeja lengan panjang berwarna kuning cair. Baju itu agak lama dan lusuh malah sedikit besar daripada saiz tubuhku.
Setiba di sekolah, Puan Pengetua bertanya tentang aku. Aku berterus terang bahawa aku bekerja sebagai 'cleaner' di ibu pejabat Lembaga Pelabuhan Klang. Puan Pengetua tersenyum mendengar ceritaku.
"Awak ni sejak sekolah seorang yang gigih. Rajin," puji Puan Pengetua. Aku hanya menunduk memandang lantai bilik Puan Pengetua.
"Beginilah, saya sudah berbincang dengan Tuan Pengarah untuk menawarkan awak bekerja di sekolah ini sebagai guru," kata Puan Pengetua.
"Awak setuju tak?," tanya Puan Pengetua. Aku terdiam seketika. Tiada jawapan kuberika ketika itu.
"saya akan berbincang dahulu dengan ibu bapa saya," jawabku menamatkan pertemuan pagi itu. Hatiku berbelah bahagi kerana bolehkah aku mengajar. Kalau mengajar anak-anak jiran di rumahku sudah perkara biasa ini mengajar murid-murid sekolah. Ibuku menyuruh aku menerima tawaran itu dan akhirnya aku berhenti bekerja sebagai 'cleaner'.
Hampir setiap malam ibuku akan menemani aku menulis hingga awal pagi. Begitu kasihnya seorang ibu melihat anaknya bersungguh-sungguh ingin menjadi penulis. Pada waktu itu, aku hanya meminjam pakai baju kemeja ayahku untuk ke sekolah kerana aku tidak mampu membeli baju kemeja disebabkan tidak mampu. Namun, selepas menerima gaji yang pertama pada tahun 1987 sebagai guru, dapatlah aku membeli sepasang dua baju dan seluar yang dilonggok di dalam bakul di GREAT WALL Klang yang terletak di atas perhentian bas Klang.
Oleh sebab, tugasan aku bermula seawal jam 7.30 pagi, aku akan berjalan kaki dari rumah ke perhentian bas Pelabuhan Klang. Sesekali, aku ternampak 'S' membonceng motosikal temannya. "Barang kali, 'S' sudah bekerja kerana dia berpakaian kemas dan cantik, detik hatiku." ' S' menoleh apabila motosikal yang diboncengnya melintasi aku sambil tersenyum tawar.
Sewaktu di sekolah, tanpa sengaja aku terjumpa rakan sekelasku. Dia yang mengulang peperiksaan STPM kelas malam bersama-sama beberapa orang rakan yang lain. Kami cepat mesra kerana sudah saling mengenali. Jadi, setiap malam aku dan dia akan berjalan ke perhentian bas Klang untuk pulang ke destinasi masing-masing. Hubungan kami semakin mesra dan bibit-bibit cinta mulai berputik. Hal ini disedari oleh beberapa orang rakannya dan kami menjadi ;mangsa' usikan mereka.
"Cikgu, ada orang nak jumpa Cikgu," seorang muridku membawa berita semasa aku sedang mengajar di dalam kelas.
'Siapa? Di mana ?"
"Entah, saya tak kenal. Dia di bawah," jawab muridku dan berlalu pergi.
"N???". Hatiku berdegup kencang. Suasana hening seketika.
"Awak apa khabar?," 'N' melontarkan pertanyaan.
"Kenapa awak tak balas surat-surat saya?" tanyaku sambil melepaskan pandangan kosong.
"Saya minta maaflah. Saya tidak tinggal di kampung lagi . saya sudah berpindah ke sini. Saya tidak tahu pasal surat-surat awak," ujar 'N'. Loceng sekolah tiba-tiba berbunyi. Murid-murid yang turun di tangga hanya memandang kami sambil tersenyum-senyum. Bibirku berasa pahit untuk tersenyum. Dia juga terserempak dengan kami di tangga. Dia tidak berkata apa-apa. Pertemuan aku dan 'N' berakhir tanpa nokhtah.
Pada malam itu, aku pulang ke rumah bersendirian tanpa ditemani dia seperti hari-hari sebelumnya. 'N' pulang ditemani temannya.
"Dia telah pulang," kata kawan dia apabila bertanya tentang dia. Sepanjang perjalanan pulang, aku hanya melayan perasaan yang bercelaru. Fikiran berasa berkecamuk. Siapakah yang harus kupilih? 'N' sudah kembali dan dia mengisi kekosongan hatiku.
"Kenapa balik muka masam," tanya ibuku semasa aku menanggalkan sepatuku di pintu. Aku tidak menjawab. Usai mandi, solat dan makan malam sambil ditemani ibuku, pertanyaan ibuku tidak kujawab. Ibuku seperti memahami perasaan aku ketika itu dan terus mendiamkan diri dan tidak mengulangi pertanyaan tadi. Malam itu, kutulis sebuah sajak yang bertajuk ' Sepetang Di Meru' dan sajak itu disiarkan di dalam akhbar Bacaria.
Aku membawa dia menemui ibuku di rumah. Aku memperkenalkan dia dan aku biarkan mereka beramah mesra. Ibuku nampak gembira dan tersenyum lantas hatiku turut tersenyum sama. Pada bulan Julai 1989, termetri ikatan cinta sebagai suami isteri yang sah. Majlis persandingan secara sederhana meraikan pasangan raja sehari.
Ibukulah paling gembira kerana akhirnya dia menerima seorang menantu pilihan hatiku. Ibuku tidak membantah apabila mula-mula aku menyatakan hasrat untuk menamatkan zaman bujangku. Kami berpindah ke rumah sewa selepas beberapa ketika tinggak di rumah mentua aku.
"Siapa yang datang tu?." tanya isteriku apabila melihat sosok manusia di depan pagar rumah sewaku. Hatiku berdebar kerana manusia yang berdiri di hadapan rumahku 'N'. Aku mempersilakan 'N' masuk dan aku membiarkan 'N' berbual-bual dengan isteriku sementara aku mencapai motosikal tuaku dan menderum ke pekan. Setelah beberapa lama, aku pulang ke rumah semula. Aku dan isteri menemani 'N' ke perhentian bas untuk pulang ke daerahnya. 'N' melambaikan tangannya dan bas mula bergerak meninggalkan kami semakin jauh dan jauh.
Dalam perjalanan hidup ini , wanita sangat penting bagi seorang lelaki. Wanita sebagai pelengkap kehidupan seorang lelaki. Semoga ibuku aman di sisi Allah swt dan dicucuri rohnya. Kepada isteriku, 'Terima kasih" kerana sudi menerima aku seadanya.

Comments

Popular posts from this blog