Episod : Pelangi

Pelangi indah menghiasi dada awan setelah hujan turun. Aku berlari-lari anak ke stesen bas yang tidak sunyi dengan manusia. Di situ , aku terpandang seorang gadis yang sedang duduk bersendirian. Aku mengambil buku kecil di dalam poket yang sentiasa kubawa ke mana-mana untuk mencatatkan kata-kata puitis.
"Gadis Itu"
Ingin kubisikkan hasrat hati
kepadanya namun
jauh di sudut hati
kutakut akhirnya
kita saling membenci..
Puisi itu kusimpan kemas di dalam lembaran buku kecilku. Bunyi hon bas bersahut-sahutan memanggil penumpang yang hendak ke destinasi masing-masing. Gadis itu menoleh kepadaku dan kubalas dengan senyuman. Tiada kata-kata hendak diungkapkan. Aku tidak pernah melihatnya sebelum ini walaupun stesen bas itu umpama rumah keduaku.
Hujan kembali renyai-renyai. Beberapa orang berlari-lari anak mencari tempat berteduh. Aku tersenyum melihat seorang wanita yang membuka sekaki payung tetapi payungnya terbalik. Seorang lelaki yang berpakaian kemas sambil menjinjit sebuah beg seperti yang dibawa 'James Bond' mendekati si gadis.
Kelihatan mereka saling mengenali dan sesekali ekor mata gadis itu mencuri pandang kepadaku. Aku melemparkan pandangan kosong. Mereka asyik berbual-bual dan sesekali kedengaran ketawa kecil. Lelaki yang berpakaian kemas menoleh dan aku hanya tersenyum. Barang kali dia menyangka aku mendengar perbualan mereka. Sesekali hujan turun agak lebat.
Aku memeluk tubuh kerana kesejukan apabila angin sepoi bahasa menerjah tubuhku. Tempias hujan sesekali membawa bau bersih. Aku teringat akan sepucuk warkah yang kukirimkan kepada 'N' tetapi belum berbalas. Warkah yang entah ke berapa dan aku hanya berserah andainya ada lagi kasih untukku.
Sebuah bas mendekati stesen dan mereka berdua berdiri menanti pintu bas terbuka. Kemesraan mereka menyelitkan perasaan cemburu jauh di sudut hatiku. ' N' pergi tanpa meninggalkan pesan. Daripada seorang teman aku mendapat khabar 'N' kini sudah mempunyai teman baharu di ibu kota. Kata-kata itu tidak menggugat kepercayaan aku kepada 'N'.
Hari demi hari, aku menantikan balasan warkah daripada 'N' namun tiada satu pun yang berbalas. Mestikah aku melupakannya? Pertanyaan itu sering hadir di benakku. Mungkinkah berita yang disampaikan temanku itu ada kebenarannya kerana aku sendiri bukanlah seorang yang bergaya apatah lagi berharta. Andaian itu semakin menguatkan kepercayaan hatiku.
Aku bingkas bangun dan berjalan melintasi jalan setelah hujan reda. Tiada arah tujuan kakiku melangkah. Semoga ada pelangi yang indah akan terbit sedang menantiku. Jauh dan semakin jauh kaki melangkah.
Like
Comment
Share

Comments

Popular posts from this blog