Episod : Kondangan

Perkataan kondangan ini aku dengar selepas berkahwin dengan isteriku yang berketurunan Jawa. Dalam masyarakat Melayu pula dikenali dengan kenduri kahwin. Kedua-dua kata istilah yangsama maksud dan membawa hajat yang satu , iaitu 'membina masjid'.
Beza dulu dengan sekarang sangat ketara. Dimulai dengan 'mesyuarat' sesama ahli keluarga dan 'sedulur' untuk memberitahu hajat besar tuan rumah. Diikuti 'tahilan' ringkas untuk arwah ahli keluarga dan jamuan makan. Ada soto, nasi ambeng , goreng-gorengan, kuih-muih dan minuman. Aku mula 'menerima' masakan Jawa secara 'alon-alon' kerana tekak orang Melayu sudah biasa dengan masakan gulai.
Suasana sangat meriah dengan diiringi perbualan sesama 'sedulur'.
"Ajemi, mangan la," seru ibu mentuaku.
"Ya, mak, " jawabku sambil tersenyum. Usai makan dan minum , semua yang hadir bersalam-salaman sambil mengucapkan 'podo-podo' tanda kasih-sayang yang amat mendalam sesama 'sedulur'. Masing-masing menjalankan tugas mengemas dan membuang sampah.
Seminggu sebelum tiba hari acara, 'rewang' sesama adik-beradik dan 'sedulur' di rumah 'pengantinan'. Pada masa ini, 'sedulur' yang hadir turut sama membawa beras, gula dan bahan-bahan mentah sebagai tanda 'support' kepada tuan rumah. Mereka berbual-bual dalam bahasa Jawa dan suasana menjadi riuh-rendah dengan gelak ketawa.
"Kau faham tak , Ajemi?," tanya ibu mentuaku. Aku hanya tersenyum ," Tak faham mak." Mereka yang mendengar jawapan aku turut ketawa sama. Begitulah, keadaannya apabila acara 'rewang' suasana riuh-rendah dan mesra. Acara 'merewang; berlarutan hampir seminggu sebelum acara sebenar berlangsung.
Ada yang ditugaskan memasak di dapur. Ada yang mengemas di halaman rumah. Orang tua-tua dengan kelompok mereka menjaga 'api dapur' . Baik lelaki mahupun perempuan bekerjasama menjayakan majlis tuan rumah. 'Sedulur' jauh dan dekat sudah tiba untuk sama 'merewang' dari Tanjung Karang, Kancong Darat dan merata-rata. Orang Jawa di Selangor sememangnya ramai dan mereka mudah mesra.
Pasukan 'kenterong' atau gendang sudah sampai dan mengambil tempat yang disediakan. Kanak-kanak berkejar-kejaran kerana seronok ramai orang berkumpul termasuk sepupu-sepapat. Kisah-kisah zaman kanak-kanak akan berputar kembali di ruang 'merewang' dan sesekali pecah ketawa apabila ada cerita yang lucu. Dalam keluarga mentua aku, hanya aku menantu lelaki Jawa yang lain-lain menantu Jawa. Manakala, semua menantu perempuan orang Melayu. Lucu pulak famili mentua aku.
Rombongan pengantin pun tiba dan disambut oleh ahli keluarga terdekat sambil diiringi paluan kompang dan gendang. Bapa mentuaku yang juga digelar pendekar silat 'Cimande' membuka gerak langkah yang kemas dan mantap. Kemudian, diikuti oleh beberapa anak murid bapa mentuaku turut mempersembahkan gerak silat untuk meraikan pengantin.
Suasana bertambah meriah apabila pengantin diarak dan duduk di atas pelamin sambil dihadap rakan dan jiran. Terkemut-kemut pengantin di atas pelaminan kerana mak andam melarang pasangan pengantin bergurau-senda. Kalau sekarang , pasangan pengantin bertepuk tampar atas pelamin dan hilanglah 'seri'nya.
Usai majlis yang gilang-gemilang, masing-masing meminta diri dan bersalam-salaman berpisah sementara . Acara 'merewang' usai majlis bersama-sama ahli keluarga. Biasanya, periuk besar dan kawah menjadi tugas pengantin membasuhnya. Berpeluhlah ketiak untuk menghabiskannya dan ada juga yang mengusik supaya jangan terlalu banyak buang tenaga kerana malam nanti nak guna tenaga . Tersenyum-senyum pengantin mendengarnya sambil jeling-menjeling.
Seminggu selepas majlis, masih ada 'sedulu' yang hadir untuk memenuhi undangan yang tidak dapat dilunaskan kerana urusan tertentu. Kemesraan tetap terjalin erat dan aku akan disapa oleh tetamu dengan bahasa Jawa.
"Ajemi, tak pandai cakap Jawa. Cakap Kelantan pun dia tak tahu," kata bapa mentua sambil tersenyum sampai ke telinga. Aku hanya tersenyum dan terhibur. Layanan kedua-dua mentuaku kepada menantu sangat baik dan mengharukan hati.
Kini, segala-galanya sudah berubah. Majlis perkahwinan sudah menggunakan servis katering. Acara 'rewang' pun suam-suam kuku kerana masing-masing sibuk dengan urusan harian. Tukang pelamin juga diupah oleh pengantin. Tiba hari majlis, tiada lagi acara wajib persembahan silat dan bunyi kompang juga diputarkan oleh DJ bertugas melalui ' Youtube'. Tuan rumah lebih gemar memilih dewan untuk mengadakan majlis perkahwinan.
Namun, jemputan 'kondangan' masih ada cuma melalui whatsapp atau telegram. Tradisi nenek moyang semakin luput ditelan zaman.
* Al Fatihah untuk bapa mentuaku , Allahyarham Hj Mahabon @ Hj. Solahudin @ Wak Haji Mero @ Kiyai Saleh. Semoga rohnya dicucuri rahmat Alah swt . Amin Ya Rabbal Alamin.
All reactions:
Sabrina Mohd Nasir, Ina Aziz and 40 others

Comments

Popular posts from this blog