Episod : Dingiri Dingaale

Sekitar tahun 1970-an , aku sudah berpindah ke Flat LPK . Flat yang dibina untuk pekerja-pekerja Lembaga Pelabuhan Klang ( LPK). Pada masa itu, ayahku sudah mempunyai gaji tetap tetapi aku masih bersekolah rendah dan tidak berapa pasti berapakah pendapatannya sebagai pekerja LPK .Ayahku seorang pemandu forklift di dermaga Pelabuhan Utara.
Aku hanya mengetahui pekerjaan ayahku apabila mengisi borang atau surat daripada pihak sekolah. Walaupun umurku 9 tahun atau darjah 3 di MBS ( Methodist Boys School) tetapi aku sudah tahu membaca dan menulis hasil tunjuk ajar ibuku. Bukan hendak memuji diri sendiri tetapi minat ibuku membaca surat khabar Utusan Malaysia mempengaruhi aku turut membaca surat khabar. Setiap hari.
Ayahku membeli sebuah peti televisyen yang berkaki kayu dan badannya pun kayu. Peti televisyen itu mempunyai pintu yang boleh tutup dan buka. Butang-butang pada televisyen itu digunakan untuk membuka, menutup atau menguat atau memperlahankan suara. Aku dan keluargaku tinggal di tingkat 3 blok F.
Jadi, filem Inggeris, Melayu ,Cina dan Tamil menjadi rancangan kegemaran aku dan adik-beradik menontonnya setiap masa. Di luar kawasan flat, terdapat penempatan rumah-rumah yang didiami oleh masyarakat berbilang bangsa. Padang di belakang flat juga dikongsi bersama kanak-kanak yang tinggal di luar kawasan flat. Tiada masalah hidup serba berkongsi walaupun berbeza kaum, agama dan budaya.
Apabila tayangan filem Tamil lakonan 'film star' MG Ramachandran (MGR), Siwaji, dan heroin Kushbu , kanak-kanak dan remaja India yang tinggal di luar kawasan flat akan berkunjung ke rumahku. Mula-mula mereka mengintai dari celah-celah tingkap narko tetapi ibuku membenarkan mereka masuk ke rumah apabila mereka datang berulang kali mengintip menonton televisyen . Ibuku sendiri berkebolehan berbahasa Tamil walaupun tidak begitu lancar kerana sebelum berpindah ke flat LPK , kami tinggal di satu kawasan dinamakan 'Kuarantin' .
Di 'kuarantin' penduduknya berbilang bangsa. Masing-masing saling mengenali dan rapat sebagai penduduk setempat. Jiran-jiran India yang bertutur bahasa Tamil sedikit sebanyak memberikan sedikit 'advance' kepada ibuku memahami tutur kata mereka. Apabila kami berpindah ke flat seawal tahun 1970, semua yang bekerja dengan LPK termasuklah mereka yang tinggal di 'kuarantin' berpindah sama ke situ. Oleh sebab itu, hubungan penduduk flat sangat rapat dan saling mengenali.
Lagu-lagu dari filem Tamil juga menjadi kegemaran kami seperti 'Dingiri Dingale' nyanyian T.M.Soundararajan filem tahun 1958 sangat menghiburkan. Filem Tamil dulu ditayangkan dalam hitam putih. Kanak-kanak dan remaja India memenuhi ruang tamu rumahku yang sempit dan hanya mempunyai dua bilik bilik. Mereka sangat menjaga adab di rumah orang dan sesekali mereka ketawa atau menangis sama melihat lakonan yang menyedihkan. Suasana di dalam rumah umpama panggung wayang.
Usai filem pun tamat, mereka tidak lupa mengucapkan terima kasih kepada ibuku yang dipanggil 'Aci'. Sebenarnya, dalam kalangan mereka itu ialah anak rakan ayahku yang bekerja di Pelabuhan Utara. Tidak semua rumah mempunyai peti televisyen ketika itu. Apalah salahnya berkongsi menonton televisyen dengan jiran tetangga.
Masa sudah berlalu puluhan tahun dan apabila menonton kembali sedutan lagu ' Dingiri Dingaale' terimbau kembali nostalgia dulu. Alangkah harmoninya masyarakat ketika itu hidup saling berkongsi dan menghormati antara satu dengan lain..." Dingiri Dingaale Dingiri Dingaale.."

Comments

Popular posts from this blog