Episod : Usah Patah Semangat...

Setiap kali gambar ini kutatap hati akan berkata-kata. "Orang memandang rendah kepada kita , biarlah apa orang nak kata" . Bukan sedikit cabaran yang aku lalui sebelum bergelar siswazah. Hanya berbekalkan STPM , aku membuat keputusan untuk terjun ke dunia pendidikan. Ketika itu, aku tidak terfikir apa-apa walaupun kelayakan akademik aku hanya setakat itu.
Satu persatu aku berasa 'dimalukan' oleh mereka yang bergelar murid. Apabila pihak pentadbir sekolah swasta tempat aku bekerja mengarahkan aku mengajar calon-calon STPM. Sebelumnya, aku hanya mengajar murid-murid Tingkatan 1 hingga Tingkatan 5. Namun , tugasan itu mengguris dan melukakan hatiku. Sebaik sahaja aku melangkah ke dalam bilik darjah untuk mengajar calon-calon STPM kelas malam kedengaran suara dengusan dan bisik-bisik halus yang mempertikaikan kelayakan aku.
Mereka yang lebih berusia daripada aku mencemuh aku secara terang-terang kerana aku dianggap tidak layak untuk mengajar mereka. Ada yang terus angkat kaki meninggalkan bilik darjah dan ada yang masih kekal duduk di kerusi. Perasaan malu dan kecewa kupendamkan di dalam hati. Selepas hari itu, aku menjadi guru tetap mengajar murid-murid kelas malam. Hampir separuh akan meninggalkan kelas apabila kakiku melangkah ke bilik darjah dan berterusan sehingga tiba hari peperiksaan sebenar .
Tahun kedua , keberadaan aku sudah tidak lagi dipertikaikan hanya segelintir sahaja yang bersikap negatif. Aku tetap menjalankan tugasku demi mencari rezeki halal membesarkan anak-anak yang masih kecil. Bukan salahku tidak masuk universiti. Takdirnya sudah begitu. Tawaran ke ITM (1986) disambut gembira tetapi berakhir dengan kekecewaan kerana aku 'dikhianati' teman karib. Masa temuduga sepatutnya bermula jam 8.00 pagi tetapi aku sampai di kampus selepas 10 pagi gara-gara teman yang ditunggu dan berjanji untuk menghantar aku tidak kunjung tiba.
Permohonan ke USM juga tidak mendapat perkhabaran yang menggembirakan kerana permohonan aku 'GAGAL' . Pada ketika itu , tidak banyak universiti awam hanya ITM, USM, UPM, UKM, UM dan UTM. Kupendam biar terluka. Teman-teman sebaya rancak bercerita tentang pengajian mereka di universiti dan aku hanya mampu mendengar dan tersenyum. Pernah juga aku mengikut temanku ke universiti tempat mereka belajar hanya merasa seronok jikalau aku juga belajar di universiti.
Hanya setelah 19 tahun selepas menduduki STPM 1986, barulah aku berpeluang melanjutkan pengajianku di UPM,Serdang. Itupun secara tidak sengaja kerana atas takdir Allah Yang Maha Pemberi Rezeki, aku ditawarkan tempat di universiti. Aku disapa oleh seorang lelaki sewaktu duduk di tangga bangunan fakulti. Aku 'dipelawa' menyambung pengajian di UPM melalui lelaki itu . Bermula 2004 hingga 2008 , pahit getir kulalui dengan tenang dan tabah. Aku sanggup berkorban wang ringgit apabila kelas-kelas tuisyen aku terpaksa tutup sementara tamat pe gajianku selama empat tahun. Aku juga membiayai sendiri pengajianku kurang lebih RM22,000.00 termasuk pengeluaran wang KWSP yang tidaklah seberapa bagi menampung kos pengajianku. Aakhirnya aku berjaya menamatkan pengajianku di peringkat Ijazah Sarjana Muda Bahasa Melayu dan Linguistik atau ringkasnya BABM di Fakulti Bahasa Melayu dan Komunikasi Moden (FBMK), UPM.
Dan mulai saat itu, aku sudah bertekad bahawa keciciran aku dalam arus pendidikan tinggi tidak seharus dilalui sama oleh anak-anakku yang semakin remaja. Lantaran itu, aku menggalakkan anak-anakku agar belajar dengan bersungguh-sungguh dan jangan menerima nasib seperti ayah dulu. Orang boleh memandang rendah kepada kita kerana tiada harta dan tidak berpelajaran tinggi.
Aku bersyukur dengan segala nikmat-Nya. Anak-anakku mengikut jejak langkahku melanjutkan pengajian ke UIAM, UMS, KPTM,UTeM dan si bongsu masih di peringkat diploma di Kolej Vokasional. Alhamdulillah, semuanya sudah tertulis, bak kata orang "cepat atau lambat kejayaan pasti milik kita".
All reactions:

Comments

Popular posts from this blog