Episod : Tiba Ramadan
Saat paling mendebarkan ialah menanti pengumuman tarikh puasa oleh penyimpan mohor besar raja-raja di kaca televisyen. Rancangan berita RTM pukul 8.00 malam akan dihentikan seketoka pada pukul 8.30 malam untuk memberi laluan pengumuman tarikh puasa. Suasana sepi tiba-tiba. Hampir semua penduduk Flat LPK sudah mengadap televisyen untuk mendengar pengumuman penting itu.
"Setelah mendapat perkenan Duli-duli Yang Maha Mulia Raja-raja Melayu dengan ini saya penyimpan mohor besar raja-raja mengisytiharkan tarikh puasa ........ " . Seperti bunyi ngauman kedengaran dibawa angin suara penduduk flat.
"Esok puasa," kata ibuku dan kami adik-beradik hanya mendiamkan diri. Apa yang aku fahami puasa ialah tidak boleh majan dan minum selepas Subuh hingga Maghrib.
Sebulan berpuasa amat mencabar jiwa dan mental. Di sekolah, murid-murid beragama Islam tetap aktif bermain di padang walaupun sedang berpuasa. Masa yang dinanti-nantikan ialah loceng sekolah berbunyi tanda waktu balik sekolah. Semua murid bagaikan kambing dibuka pintu kandang berebut-rebut hendak keluar dari bilik darjah.
Sesampai di rumah , ibu sedang sibuk memasak untuk hidangan berbuka puasa. Kebiasaannya, ibu memasak nasi, ikan percik, kuah gulai dan budu. Air sirap atau 'Sunquick' satu jag. Aku turun ke tanah untuk bermain guli, gasing, layang-layang atau gambar mengikut musim. Apabila hari semakin senja, aku berlari ke atas untuk berbuka puasa bersama-sama keluarga.
Puas makan dan minum , menyambung membuat kerja sekolah sambil dibantu oleh ibuku yang sangat suka mengajar kami membaca dan menulis. Tiada kemudahan khusus untuk belajar hanya terbaring di ruang tamu menyiapkan latihan sekolah. Sebelum tidur, ibuku berpesan supaya membaca niat berpuasa keesokan hari.
Setiap hari menghitung tarikh hari raya. Perasaan berbunga-bunga. Apabila hari minggu, berbekalkan seringgit dua aku ke pasar Pelabuhan Klang untuk membeli sedikit kuih-muih atau mi hoon goreng kegemaranku. Di hadapan pasar, peniaga-peniaga menjual pelbagai jenis juadah untuk berbuka puasa sambil menjeling anak dara yang menolong ibu bapa berniaga di situ.
Sekali - sekala menu berbuka puasa sedikit mewah dengan air laici dan laksam yang enak. Ibuku sangat mahir memasak laksam makanan kegemaran orang Kelantan. Perbelanjaan pada bulan puasa lebih sedikit daripada hari-hari biasa. Kadang-kadang aku turut membantu ibuku di dapur memarut kelapa. Apabila menjelang hari raya, beberapa persiapan seperti mengganti kain langsir dan sarung kusyen kerusi rotan baharu. Berbondong-bondong ke kedai BATA dan Pasaraya Great Wall di pekan kecil Pelabuhan Klang untuk membeli kasut dan pakaian raya. Betapa girangnya hati apabila dapat membeli kasut dan baju baru. Aku akan menyarung kasut baru hingga bawa ke tempat tidur sayang untuk melepaskannya. Sehingga kini, kalau membeli kasut baharu aku akan memakainya di dalam rumah selama beberapa hari.
Suasana berpuasa zaman 80 dan 90-an amat dirindui. Selepas berpindah ke rumah teres , sebelum Flat LPK dirobohkan merubah suasana berbuka puasa. Seperti biasa ayah mengasingkan diri berbuka di atas meja, kami adik-beradik duduk bersila di lantai ruang tamu. Laksam dan mi hoon goreng tetap menjadi makanan istimewa sepanjang bulan puasa. Ibu melayan kami berbuka puasa dengan menu asli. Semua itu sudah berlalu setelah kedua-dua ibu bapaku pergi menghadap Ilahi. Rindu yang paling sakit rindu kepada mereka yang telah pergi selama-lamanya.
Comments
Post a Comment