Episod : SB
Sebut SB terlintas di dalam fikiran kita 'Special Branch '. SB bukan sembarangan anggota polis kerana mereka sudah dilatih dengan pelbagai kemahiran terutama penyamaran. Pengalaman aku mengajar murid-murid kelas malam di sebuah sekolah swasta di bandar Klang sekitar tahun 1990-an turut dihadiri anggota SB.
Sebagai guru, aku sudah dimaklumkan terlebih awal bahawa beberapa anggota SB berada di dalam kelas aku. Maklumat ini sesuatu yang sangat menarik kerana selama ini aku tidak mengenali anggota SB maksud aku perbezaan mereka dengan anggota polis biasa. Aku hanya mendengar cerita-cerita daripada kawan-kawan tetapi hakikatnya aku tidak mengenali 'wajah' sebenar mereka.
Pada hari aku mengajar, aku melihat satu persatu wajah murid-muridku. Kelas malam bermakna murid-muridku terdiri daripada berbagai-bagai peringkat umur dan bidang kerja umpama pelajar PJJ. Tiada seorang pun yang kulihat berbeza sama ada pakaian , gerak geri mahupun cara bercakap. Hanya yang aku perasan beberapa orang muridku yang hadir akan duduk di tepi tingkap dan terjenguk-jenguk ke luar tingkap. Aku mengesyaki mereka ialah anggota SB.
Aku mengambil inisiatif sendiri dengan cuba mendekati mereka. Sesekali aku meminta mereka menjawab soalan yang aku lontarkan semasa mengajar. Mereka akan menjawab tapi jawapan yang diberikan ikut 'citarasa' mereka. Karangan oleh anggota SB juga agak 'lucu' kerana ayat yang ditulis umpama laporan polis. Dari situ, aku sudah dapat meneka siapakah anggota SB dalam kalangan muridku.
Entah macamana , ketika aku duduk bersendirian di bilik darjah, tiga orang murid lelaki di dalam kelas aku duduk di hadapanku dan bersalaman dengan aku. Masing-masing memperkenalkan diri sebagai anggota polis. Mereka sedang melakukan intipan tentang kes jenayah yang membabitkan seorang guru di sekolah itu.
Aku cuba mencungkil sasaran intipan mereka dan sangkaan aku benar kerana seorang guru yang baharu bertugas di situ agak pelik kelakuannya. Ketawa tak tentu sebab dan sentiasa gelisah. Aku mengesyaki ada kes dadah sedang diawasi oleh anggota SB. Memang benar kerana hal ini diakui sendiri oleh mereka.
Anggota-anggota SB seperti murid-muridku yang lain. Mereka juga membuat latihan yang aku berikan. Alasan lain mereka hadir kelas malam adalah untuk menduduki peperiksaan awam , STPM. Aku tidak pula melihat mereka hadir semasa peperiksaan sebenar. Mereka sangat menghormati aku sebagai guru. Mereka menjadi murid dan rakanku juga.
Beberapa bulan kemudian , guru berkenaan telah berhenti bekerja serta-merta. Aku tidak pernah terserempak dengannya selepas itu. Murid-muridku yang juga anggota-anggota SB juga tidak lagi hadir kelas malam sejak guru berkenaan berhenti mengajar.
Namun, sesekali aku terserempak dengan mereka di luar mungkin mereka sedang melakukan tugasan di lapangan. Mereka tetap menghormati aku sebagai mantan guru mereka. Selepas 20 tahun berlalu, ketika aku sedang mengikuti pengajian PJJ di UPM aku telah terserempak dengan salah seorang anggota SB yang pernah menjadi muridku.
Ketika itu , aku mengikuti pengajian di sebuah universiti awam di Shah Alam. Dia sedang 'mengulang kaji' pelajaran dengan beberapa orang rakan 'sekuliahnya'. Aku tersenyum melihatnya tetapi dia seolah-olah tidak mengenaliku. Aku cepat berfikir bahawa kemungkinan dia sedang melakukan tugas khasnya sebagai anggota SB. Aku tidak berkecil hati pun kerana kami sudah saling mengenali dulu.
Tidak lama selepas itu, berita tergempar melalui media massa beberapa ahli kumpulan pengganas berjaya diberkas kerana cuba merekrut ahli-ahli baru di pusat pengajian tinggi. Itulah secebis kisahku dengan anggota-anggota SB.
Comments
Post a Comment