Episod : Jepun Hilang

Suasana tenang di flat tiba-tiba menjadi kecoh. Apa tidaknya, Jepun hilang. Merata-rata tempat sudah dicari tetapi kelibat Jepun masih tidak kelihatan. Kebetulan pada malam itu ada pasar malam Jumaat di pekan Pelabuhan Klang. Keributan tentang kehilangan Jepun turut tersebar di pasar malam.
Sedikit demi sedikit, penduduk flat mulai berkumpul di hadapan pagar besar betul-betul di hadapan rumah pakcik Mat Kodol. Riuh-rendah berita kehilangan Jepun meniti dari bibir ke bibir. Bermacam-macam cerita dan teori dilontarkan tentang punca kehilangan Jepun. Ibu Jepun sejak tadi sudah tidak keruan. Sekejap menangis sekejap pengsan. Apabila tersedar meraung-raung memanggil nama Jepun.
Ada yang memberitahu kemungkinan Jepun disorok oleh Hantu Stoking. Dan ada juga yang bercerita kononnya Jepun ditangkap oleh Hantu Kum Kum. Entahlah, sama ada benar atau tidak cerita yang disampaikan itu. Mereka yang ada di situ akan berkerumum di tempat si tukang cerita. Berita kehilangan Jepun cepat merebak sehingga penduduk dari Kampung Sungai Aur, Flat Kastam ,Flat Polis dan Flat Bomba yang berdekatan turut berkumpul sama mendengar cerita kehilangan Jepun.
Beberapa orang lelaki dewasa mengintai ke bawah longkang besar di pintu pagar flat kalau-kalau Jepun disembunyikan di situ. Ibu Jepun pengsan lagi dan dikipas oleh beberapa orang jiran sambil merenjis air ke muka ibu Jepun.
"Kita mintak Pak Mat bomoh tolong tengok pasal Jepun ni," laung seorang penduduk dalam khalayak yang semakin ramai berkerumun. Pak Mat bomoh memang popular di flat sebagai seorang pengamal perubatan tradisional dan lebih-lebih lagi kepakarannya berkaitan gangguan makhluk halus atau hantu.
" Setuju," sambut suara Pakcik Mat Kayu. Beberapa orang lelaki meninggalkan keriuhan di situ menuju ke rumah Pak Mat bomoh di blok G. Mereka yang baru pulang dari pasar malam tertanya-tanya tentang kehilangan Jepun. Tiada apa-apa yang ditemui di dalam longkang besar. Kisah 'orang kenit' yang dilihat oleh beberapa orang kanak-kanak di Kampung Sungai Aur masih menjadi bualan orang ramai. Namun, berita kehilangan Jepun menenggelamkan seketika kisah 'orang kenit' .
"Jepun. Jepun. Jepun," suara ibu Jepun merayu-rayu anaknya pulang diiringi esakan tangis yang semakin perlahan. Ibu Jepun sudah terbaring lemah di atas ribaan Mak Comel. Mereka cuba menenangkan ibu Jepun yang terlalu sedih. Lampu 'torch light' disuluh ke arah pokok-pokok besar di luar pagar pintu besar.
Berita yang menggemparkan bahawa Jepun hilang disembunyikan makhluk halus . Kanak-kanak yang mendengar berita itu daripada salah seorang yang mengikut ke rumah Pak Mat bomoh tadi berasa sangat takut. Ada yang memeluk kaki ibu mereka yang berada di tempat itu dan ada yang berlari pulang ke rumah sambil menjerit-jerit ketakutan.
"Jepun. Jepun, balik nak," suara esakan ibu Jepun semakin kuat selepas mendengar berita Jepun disembunyikan makhluk halus. Cerita itu dianggap benar kerana Pak Mat bomoh menjadi rujukan penduduk flat jika ada kejadian misteri. Upah Pak Mat bomoh RM2 hingga RM5 sahaja. Hospital Klang terlalu jauh untuk mendapatkan rawatan ketika itu kerana kemudahan pengangkutan awam sangat terhad.
Jam sudah menunjukkan pukul 12 tengah malam. Orang ramai yang berkumpul hanyalah orang-orang dewasa. Harapan untuk menemui kembali Jepun belum ada titik nokhtah. Usaha mencari Jepun masih diteruskan di sekeliling kawasan flat. Ibu Jepun sudah tidak terdaya lagi. Suara esakan ibu Jepun hanya kedengaran lemah dan tubuhnya longlai di atas ribaan.
"Itu Jepun. Jepun dah balik. Jepun dah balik,"jerit salah seorang di situ dengan lantang. Semua mata memandang ke arah susuk tubuh Jepun yang dipimpin seorang penduduk dalam keadaan bingung sambil menangis.
"Dia keluar dari semak," kata penduduk yang memimpin Jepun. Ibu Jepun terus tersedar dan menjerit-jerit memanggil nama Jepun lalu memeluk Jepun dengan erat. Esakan tangis kedua-dua beranak disaksikan puluhan mata yang berkumpul di situ selepas Maghrib tadi. Jepun diberikan minuman dan dibawa pulang ke rumahnya.
Ibu Jepun menarik tangan Jepun dengan sedikit kasar. Ibu Jepun memang garang. Entah apa yang akan terjadi kepada Jepun selepas pulang ke rumah nanti. Cakap-cakap orang Jepun merajuk dan lari dari rumah kerana takut dipukul ibunya. Semua yang berkumpul pulang ke rumah masing-masing dan kedengaran suara-suara ketawa kecil. Suasana kembali sunyi sepi dan tenang. Tiada Hantu Stoking. Tiada Hantu Kum Kum. Hanya kedengaran sayup-sayup suara Jepun menjerit-jerit dibelasah ibunya di tengah malam itu.

Comments

Popular posts from this blog