Episod : Esok Hari Raya

Sebulan sudah berlalu. Bulan Ramadan sudah di penghujung. Suasana hari raya semakin terasa. Bunyi mercun katak silih berganti. Boleh dikatakan semua wajah ceria dari kanak-kanak hingga dewasa. "Esok raya. Esok raya," laung budak-budak flat kegembiraan. Kaum ibu sudah sibuk di dapur merendang ayam dan daging. Masing-masing memasak juadah tradisional mengikut negeri asal . Ibuku seperti biasa sudah bersiap sedia untuk memasak. Ayam, serai, santan dan bahan rempah ratus sudah siap menunggu untuk dimasuk ke dalam kuali.
Ada yang membeli tikar getah baharu, sarung kusyen baharu manakala yang berduit membeli peralatan elektrik baharu seperti peti sejuk dan televisyen. Kira berhabis-habisan juga untuk memyambut hari raya. Baju raya sudah siap bergosok dan tergantung di tingkap. Malam ini penuh debaran . Pengumuman hari raya lebih mendebarkan daripada pengumuman hari puasa. Hari raya dapat makan makanan sedap-sedap. Rendang, ketupat dan kuah kacang serba lengkap dan enak. Juadah ini hanya muncul pada hari raya.
India kedai runcit berbasikal keluar masuk pagar flat dengan membawa barang-barang keperluan untuk menyambut hari raya. Bagi pekerja-pekerja flat LPK seperti bapaku sudah mempunyai gaji tetap sebagai pemandu 'forklift'. Baju Melayu cekak musang sudah menjadi 'uniform' wajib apabila menjelang raya.
Hari terakhir puasa selera berbuka sudah terbantut. Makanan dan minuman ala kadar. Budak-budak flat sudah bising di bawah bermain bunga api dan mercun. Kaum ibu dan bapa masih sempat melaung-laung bersembang dengan jiran blok sebelah. Kedengaran lagu promo berita RTM jam 8.00 malam. Suasana di luar masih riuh rendah . Suara pembaca berita Wan Chik Daud dan Harjit S Hulon bergaung daripada 'speaker' televisyen. Hampir setiap rumah menonton berita jam 8.00 malam itu untuk menantikan pengumuman tarikh hari raya.
"Sekarang pengumuman tarikh hari raya puasa oleh penyimpan mohor besar raja-raja..." Suasana riuh rendah menjadi sunyi sepi.
"...anak bulan Syawal telah kelihatan..." disambut dengan sorakan yang serentak.
"Esok raya. Esok raya.." sudah sah esok raya. Kaum ibu mula memegang senduk dan sudip. Acara masak-memasak dengan bunyi kuali dari rumah jiran sebelah menyebelah seperti pesta. Budak-budak flat sudah berkejar-kejaran di bawah. Malam itu amat sukar untuk melelapkan mata.
Aku mengikut rombongan takbir raya dari rumah ke rumah. Bayangkan 10 buah blok rumah flat dengan setiap blok empat tingkat da setiap tingkat ada 6 pintu. Tuan rumah akan menghulurkan duit raya 10 sen atau 20 sen kepada kanak-kanak yang turut serta bertakbir raya dan sedikit jamuan ringkas. Di dalam kepala sudah terbayang hendak membeli pensel, pemadam, buku nota dan 'pencel box'di Great Wall. Wang syiling sudah penuh di dalam poket baju dan seluar.
Sampai di rumah sekitar jam 12 pagi suasana di flat masih bising dan terang-benderang. Seolah-olah tiada malam hari itu kerana masing-masing sibuk membuat persediaan untuk menyambut hari raya. Aku menolong ibuku mengangkat batu giling dan air sebaldi untuk membuat nasi impit. Nasi yang dimasak lembik dibungkus di dalam kain lampin putih kemudian ditindih dengan barang-barang berat. Rendang ayam sudah siap dimasak di dalam kuali. Kuih-muih dan biskut sudah dimasukkan ke dalam bekas kaca. Beberapa botol air oren FN dan Mirinda di atas meja ruang tamu dan gelas sudah siap disusun rapi. Hanya menanti fajar menyingsing kerana hari esok hari raya.

Comments

Popular posts from this blog