Episod : Aku Sang Pengembara
Aku ini sang pengembara yang mengembara di atas muka bumi Allah. Perjanjian ketika roh ditiupkan ke dalam jasadku menjadi titik permulaan suatu pengembaraan. Saat aku melihat dunia yang asing, aku menangis kerana teringat perjanjian itu.
Detik masa berlalu hari demi hari. Apabila aku mula mengenal erti perjalanan pengembaraan segala dugaan pun hadir. Aku tidak boleh lari kerana dugaan ini akan menentukan siapa aku di sisi-Nya , hamba. Segalanya kupasrah dan tidak mampu untuk menolaknya.
Pengembara mempunyai matlamat daripada kesesatan. Kesesatan yang menjerumuskan kepedihan. Setiap yang ditempuhi adalah liku-liku sang pengembara. Aku sangat memerlukan pedoman untuk mengembara di atas muka bumi ini. Gunung - ganang , lautan yang luas perlu didaki dan diharungi untuk sampai kepada titik matlamat.
Usia itu hanyalah pinjaman untuk sementara melangkah. Aku ini sang pengembara yang pernah sesat tetapi cahaya kebenaran menerangi perjalananku yang gelap. Langkah demi langkah diuliti rasa keinginan untuk mensyukuri nikmat. Pengembaraan ini sudah semakin hampir hanya menanti saat titik nokhtah itu.
Di sepanjang pengembaraan ini, aku temukan berbagai-bagai pengalaman pahit manis dan suka duka. Semua itu sudah direncanakan-Nya jadi mengapa harus dikesali dan ditangisi? Semua itu bekalan untuk dibawa pulang ke satu daerah yang baharu dan terasing. Berapa banyakkah bekalan itu bergantung kepada rasa keinsafan ?
Pengembaraan ini juga menemukan aku dengan pengembara lain. Hanya yang membezakan ialah rasa. Andainya , pengembara berasa dia harus menurut jalan yang lurus untuk sampai ke satu pintu daripada tujuh puluh tiga pintu itulah hakikat pengembaraan. Namun, andainya dia tersesat jalan dan lupa untuk kembali ke jalan yang lurus tadi pintu kepedihan terbuka luas.
Aku ini sang pengembara. Aku sedang menuju jalan pulang. Dari satu titik permulaan ke satu titik pengakhiran. Itulah jejak sang pengembara. Persinggahan hanyalah untuk mencari bekalan yang mahu dibawa pulang . Alangkah ruginya kalau pengembaraan ini tidak membawa apa-apa hanyalah sisa dosa. Andainya, pengembara menyedari sebelum langkahnya mati di titik itu bahawa kantung kehidupannya di muka bumi ini belum mencukupi atau kering kontang pengembara harus segera sedar. Kesedaran itu akan menyelamatkannya daripada disambar api hitam yang maha pedih.
Aku ini sang pengembara yang masih diberi waktu untuk mengembara walaupun aku sedar waktu itu semakin singkat. Aku tidak akan lupa perjanjian dulu untuk aku sematkan dan tunaikan di sana nanti. Kekesalan yang membalut rasa hanyalah emosi yang sedih dan kecewa tetapi ruang waktu masih berputar. Kesempatan yang diberikan harus didakap dengan sepenuh hati.
Aku ini sang pengembara. Kelelahan sewaktu mengembara hanyalah sia-sia yang tidak berbalas apa-apa. Sang pengembara bukan harus tapi wajib memenuhi segala perintah dalam perjanjian itu sebelum dunia ini gelap gelita dan hanya iman akan menerangi ruang sempit lagi menghimpit.
Aku ini sang pengembara, subhanallah. MAHA SUCI ALLAH.
(Terima kasih kepada semua pengembara yang melontarkan ucap selamat kelahiran saya pada hari ini. Kita ini sang pengembara dan jangan tersesat dalam perjalanan ke sana)
Comments
Post a Comment