Episod : Telan Air Liur
Hari demi hari , aku membilang tarikh itu. Perasaan menjadi bertambah gementar apabila tarikh itu semakin hampir. Susah juga untuk melayan kepura-puraan. Ye, aku berpura-pura berani apabila ditanya ," ok tak?" . Aku dengan pantas akan menjawab ," Ok!". Hakikatnya, OK tapi sebenarnya KO.
Macam-macam bayangan yang timbul di dalam benakku sehingga membawa kepada mimpi buruk. Kalau benar-benar terjadi maka tamatlah riwayat hidupku. Aku menahan rasa takut selama menunggu tarikh itu tiba. Inikah dinamakan 'trauma'? Tapi, 'trauma' selepas mengalami peristiwa ngeri. Mungkin perkataan lebih tepat buat diriku ' gelabah '.
Aku membaca berbagai-bagai artikel tentangnya. Tiada yang terselamat jika benar-benar terjadi kemungkinan itu. Seakan-akan calon peperiksaan akhir tahun yang akan menentukan 'pass' atau 'fail'. Begitulah perasaanku saat melihat kalender yang tergantung pada dinding. Mulutku turut membilang serentak dengan fikiranku.
Kusangka makan tak lalu tidur tak lena hanya dialami orang dilamun cinta. Rupa-rupanya, aku juga dilanda perasaan itu apabila mengenangkan tarikh itu yang bakal tiba. Doaku tidak putus-putus memohon keselamatan daripada Allah. Ya, berdoa senjata paling ampuh bagi umat Muhammad.
"Kalau takut tak payahlah ikut," kata-kata adikku jelas terngiang-ngiang di cuping telingaku sebulan sebelum tarikh itu. Aku hanya tersenyum tetapi sebenarnya aku cuba menyembunyikan ketakutan itu. Ketakutan yang tak terucapkan. Perasaan takut ini lebih daripada ketakutan sewaktu sebuah lori membawa muatan sayur membrek tiba-tiba di hadapanku dan motosikalku terpaksa merempuh belakang lori itu. Namun, aku terselamat daripada maut. Ketakutan ini lebih daripada dikejar lelaki kurang sihat dengan bersenjatakan kayu apabila kami mengejeknya sewaktu zaman kanak-kanak dulu.
"Lagi seminggu tak lama lagi," desis hati kecilku. Aku bisa membatalkan saja tarikh itu jika aku mahu tapi wajarkan aku bertindak sedemikian? Fikiranku ligat memikirkan kemungkinan aku akan membatalkan tarikh itu. Aku akan mencari alternatif lain untuk menggantikan tarikh baharu. Tapi, aku akan menanggung kerugian jika aku membatalkannya. Pihak sana mungkin tidak akan bertolak ansur denganku. Perkara membatal ini sudah beberapa kali aku mendengarnya dan pihak yang membatalkannya akan menanggung kerugian sendiri.
Aku sengaja menyibukkan diri dengan aktiviti yang aku minati membaca dan menulis. Bohonglah kalau semudah itu aku dapat melupakan tarikh itu yang bakal tiba. Mataku tidak dapat lari daripada melihat kalender yang sentiasa mengekori mataku dan mahu sahaja aku menurunkan kalender itu tetapi kalender itu tidak salah. Ketakutan yang kurasa membawa kepada pergelutan rasa pada kalender yang tergantung di situ. Kalender juga aku persalahkan.
Hari dan tarikh itu akhirnya tiba jua. Mahu tak mahu aku terpaksa menurut arahan yang tertera pada slip kertas yang bertanda tarikh itu. Tarikh yang kutunggu-tunggu dengan perasaan takut beberapa bulan ini. Semua pakaian dan keperluan asas telah siap disimpan di dalam sebuah beg 'travel' yang baru kubeli. Perjalanan berkereta ke Lapangan Terbang Subang amat mengejutkan hati. Tiada yang indah-indah di sepanjang perjalanan ke sana. Ketakutan yang kusembunyikan membuatkan aku berdiam diri sendirian di tempat duduk belakang kereta.
Aku sampai di 'airport' dan disambut oleh dua orang adikku. Kami bersalam-salaman dan aku menyerahkan segala dokumen yang diperlukan kepadanya. Isteriku hanya membontoti aku sehingga ke ruang menunggu selepas usai 'check -in' di kaunter pelepasan. Kakiku seakan-akan berat untuk melangkah. Barangkali pegawai keselamatan sudah biasa melihat situasi seperti yang aku alami ketika beg pakaianku diperiksa di pintu masuk balai berlepas. Senyum tidak ketawa pun tidak. Wajahku pucat dan perasaanku semakin mengelabah.
'Salam sejahtera kepada semua penumpang. Diminta semua penumpang ke pintu A1 untuk penerbangan ke Kota Bharu," kedengaran pengumuman dari corong pembesar suara. Semua penumpang termasuk aku beratur di pintu pelepasan . Kakiku hampir longlai saat melangkah ke dalam perut pesawat. Aku ditunjuk cara memakai tali pinggang keselamatan di tempat dudukku. Isteriku yang duduk di sebelahku hanya mendiamkan diri. Aku tidak tahu perasaannya dan aku sendiri tidak berhasrat untuk bertanya.
" Telan air liur masa 'flight take off'," kata adikku sambil tersenyum memandang aku. Entahlah , senyumannya itu ikhlas atau mengejek aku yang pertama kali menaiki kapal terbang. Entah berapa kali air liur kutelan saat pesawat melayang ke udara. Hatiku berdebar-debar dan aku hampir hendak menangis mengenangkan peristiwa pesawat terhempas ke bumi. Sedikit demi sedikit perasaan takutku itu mulai hilang apabila melihat awan dan pemandangan yang cukup indah di bawah sana. Subhanallah hebatnya ciptaan Allah.
"Dah, tak payah telan air liur," usik adikku spontan. Aku tersenyum dan tidak sabar-sabar hendak menjejakkan kaki di kampungku bumi Kelantan. Sejak hari itu, aku berulang kali menaiki kapal terbang ke beberapa destinasi di Semenanjung dan Sabah serta Sarawak. Ketakutan bertukar keseronokan apabila berpeluang menaiki kapal terbang.
Comments
Post a Comment