Episod : Selamat Tinggal Aboh ( Abe Rie)
Aku menerima perkhabaran berita pemergian besanku pada pukul 8.30 malam bersamaan 28 Disember 2022 melalui panggilan telefon anakku. Mereka dalam perjalanan pulang ke Kuala Terengganu.
" Innalillahiwainailahirojiun" .Ungkapan spontan itu terpacul dari bibirku.
"Baiklah , pandu hati-hati kerana hari sudah malam tentu lebuhraya agak gelap" .
Isteriku menghampiriku dari dapur.
"Kenapa, bang?," tanya isteriku.
"Aboh baru meninggal dunia," jawabku sebak. Wajah Abe Rie muncul tiba-tiba di ruang ingatanku sambil tersenyum memandang aku.
"Jadi kita nak balik Terengganu atau macamana?," tanya isteriku lagi. Aku diam seketika.
" Kalau 'drive' malam saya tak berapa nampak . Silau mata saya." Suasana diam seketika. Isteriku berlalu ke arah dapur.
" Tadi , kakcik dan Bani pun tak bagi saya 'drive' malam. Bahaya," kataku kepada isteri sedikit melaung.
Anakku yang bongsu turun dari atas sambil membelek telefon bimbitnya.
" Kenapa ayah?," tanya anakku, Eiman sejurus melihat wajahku muram.
"Aboh dah tak ada?".
" Ayah nak pergi Terengganu ke?," tanyanya lagi.
" Tak 'confirm' lagi. Kalau 'drive' malam ni mata ayah tak berapa nampak. Mungkin esok sebelum subuh ayah ibu gerak," kataku. Aku teringat anakku, Mukriz yang berada di UTeM, Melaka.
"Cuba Eiman whatsapp abang. Tanya abang dia free tak?". Eiman menghantar whatsapp kepada abangnya,Mukriz. Isteriku sedang memasak di dapur dan sesekali menjenguk aku di ruang tamu.
Telefon bimbitku berbunyi tanda whatsapp diterima.
" Ayah nak gerak bila?", tanya Mukriz di dalam whatsapp.
"Mukriz 'free' tak esok?"
" Free. Hari ni dah habis 'presentation' "
" Jomlah kita ke Kuala Terengganu".
"Bila?"
"Bila Mukriz boleh gerak?"
"Orang tak kisah. Sekarang pun boleh gerak"
"Macam ni ayah siap-siap beg baju dulu. Malam ni ayah terus ke Melaka"
"Ok" . Telefon bimbit dimatikan.
Aku masuk ke bilik dan mengambil beberapa helai pakaian untuk dibawa ke Terengganu. Isteriku juga mengemas pakaian di dalam beg. Kami mempunyai beg masing-masing jika 'out station' . Selesai makan malam, aku menyuruh Eiman untuk menghidupkan enjin kereta . Semua beg dimasukkan ke dalam but kereta.
" Eiman jaga rumah. Ayah balik hari je. Abang ada 'exam' esok," kataku kepada Eiman.
" Ayah 'transfer' duit belanja makan nanti," kataku dan meninggalkan perkarangan rumah menuju ke Melaka.
Dalam perjalanan, aku singgah sebentar di stesen minyak Petron di Lebuhraya Kesas. Aku juga membeli sebotol air mineral dan kudapan supaya tidak mengantuk dalam perjalanan. Jam kereta menunjukkan pukul 12.00 malam. Aku memandu pada kelajuan 80-100 kerana masalah silau membataskan aku memandu laju. Di beberapa tempat sedikit kesesakan berlaku kerana kerja-kerja pembaikan jalan sedang dilakukan oleh pekerja-pekerja lebuhraya.
Sepanjang perjalanan, aku berbual-bual dengan isteriku tentang Aboh. Aboh jatuh sakit sejak 2 tahun lalu akibat kegagalan buah pinggang. Aboh pencen sebagai anggota polis trafik di IPK Kuala Terengganu. Isteri Aboh (besanku) seorang guru Bahasa Inggeris di sebuah sekolah di Kuala Terengganu dan masih berkhidmat.
"Kesian Ma, Aboh dah tak ada," kataku mencetuskan perbualan yang sejak tadi suasana sepi. Masing-masing melayan kenangan sewaktu Aboh ada. Isteriku tidak menjawab dan hanya memandang hadapan.
Tubuh Aboh tinggi dan suaranya sedikit kuat apabila bercakap .Mungkin kerana Aboh sudah lama dalam perkhidmatan polis. Besan perempuan kami dipanggil Ma merupakan anak tunggal perempuan dalam keluarga. Aboh Ma juga bekas anggota polis dan pencen sebagai OCPD Kuala Berang pada tahun 80-an dulu. Kini, yang tinggal di rumah Aboh ,Ma, dan dua anak mereka di Kuala Terengganu. Manakala, menantuku dan kakak sulungnya tinggal di Selangor. Wan (ibu Ma) menetap di Dungun.
Aku sampai di rumah sewa Mukriz pada pukul 2.00 pagi. Sepanjang perjalanan aku menahan mataku yang mengantuk. Ada juga cadangan untuk singgah bermalam di rumah anakku di Jenderam Hilir tapi hari sudah lewat pagi. Mukriz sudah menunggu kami di bawah 'apartment' . Mukriz membuat pemeriksaan ringkas tayar kereta dan aku duduk di sebelah pemandu . Mukriz mengambil alih tugas memandu ke Kuala Terengganu.
"Agak-agak sampai sana pukul berapa?," tanyaku.
" Lebih kurang 8.30 pagi," jawab Mukriz sambil membetulkan telefon bimbitnya . Mukriz melaraskan google map untuk meneruskan perjalanan pada pagi itu.
"Ayah ibu nak tidur, tidurlah dulu," kata Mukriz.
Aku yakin akan kemahiran Mukriz memandu kereta kerana semasa cuti semester dia selalu diupah menjadi pemandu untuk perjalanan jarak jauh. Lagipun, dia mahir tentang kereta kerana sekarang dia menyambung pengajian di peringkat 'degree' dalam bidang ' engineering automotive '.
Aku tersedar daripada tidur apabila kereta berhenti parkir di R&R Paka. Kami berhenti solat subuh. Tidak banyak kereta di lebuhraya melainkan kenderaan berat. Kami bersarapan ala kadar dan meneruskan perjalanan. Kami sampai di Hospital Sultanah Zahirah Kuala Terengganu sekitar jam 8.30 pagi. Aku dan isteri berjumpa Ma dan Wan serta ahli keluarga lain.
Jenazah masih di hospital dan bila-bila masa akan dibawa pulang ke Dungun untuk urusan mandi, kapan dan pengkebumian. Sekitar jam 10.30 pagi, kami berkonvoi membawa jenazah Aboh ke kediaman Wan. Ada beberapa orang anggota polis dan wakil Persatuan Kebajikan Polis dan wakil dari Pejabat Pendidikan Daerah Kuala Terengganu ikut serta ke Dungun. Sejam lebih perjalanan kami tiba di Dungun. Kediaman Wan berdekatan dengan laut . Ombak bergulung-gulung menghempas pantai.
Selepas Zohor, jenazah telah dimandikan dan dikapankan oleh tukang mandi jenazah dari Surau Padang dengan dibantu beberapa orang ahli keluarga. Sementara menunggu jenazah dibawa ke tanah perkuburan aku sempat berbual-bual dengan beberapa ahli keluarga Aboh dan Ma yang mengenali aku. Mereka bercakap dengan loghat Terengganu dan Kelantan kerana Aboh berasal dari Kota Bharu. Kemudian van jenazah tiba dan dibawa ke Surau Padang untuk disembahyangkan dan dikebumikan.
Wajah-wajah sedih kelihatan ketika jenazah dimasukkan ke liang lahat. Usai talkin kami bergerak pulang ke kediaman Wan. Aku bercadang untuk bertolak pulang ke Klang selepas waktu Maghrib. Agak berat hati untuk meninggalkan Ma dan Wan serta keluarga Aboh.
Mukriz memandu melalui Lebuhraya LPT dengan berhati-hati dalam kegelapan malam. Sesekali kereta berhenti di R&R untuk membuang air kecil. Cuaca sangat baik dan sesekali hujan renyai-renyai. Aku hanya tidur-tidur ayam. Kami sampai di rumah sekitar jam 12.30 pagi dengan selamat. Keesokan pagi Mukriz akan kembali ke UTeM menaiki Myvi kerana hari Jumaat dia akan pulang ke rumah untuk bercuti selama 4 hari.
Aboh dalam kenangan dan ingatanku selama-lamanya. Aboh sangat baik dan suka ketawa apabila berbual-bual. Aku kehilangan besan dan sahabat . Semoga roh Aboh dicucuri rahmat Allah swt . Al-Fatehah (dibaca).Amin Ya Rabbal Alamin .

Comments
Post a Comment