Episod : Hari Persandingan
Semuanya sudah tersurat sejak azali, jodohku dengannya. Sudah 33 tahun aku melayari bahtera rumahtangga ini. Bukan disengajakan atau atas kehendak sendiri tetapi Allah telah menetapkan tiga perkara dalam kamus hidup setiap manusia: jodoh, rezeki dan ajal maut. Kuterimanya dengan hati yang cekal meskipun pelbagai kisah rintangan dihadapi demi menjaga hati keluarga dan teman.
Kami disandingkan dalam suasana sederhana sama ada di pihak aku atau isteri. Majlis sebelah isteri dilangsungkan di Kampung Meru,Klang. Amalan bergotong-royong di kampung masih menebal. Dahan pokok getah di sebelah rumah mentua dijadikan pancang untuk mendirikan khemah. Tempat memasak di belakang rumah.
Aku tidak dapat menyertai aktiviti persediaan majlis persandingan kerana majikan aku tidak meluluskan cuti. Apatah lagi pada hari pernikahan aku pun aku bekerja kerana tiada cuti. Suasana bertambah meriah dengan kehadiran kaum kerabat isteriku yang ramai. Masing-masing berbahasa Jawa yang aku tidak faham . Ada beberapa perkataan yang diajari oleh rakanku berbangsa Jawa seperti kesel, ngombe, turu , mangan, wes dan orak. Kalau disuruh susun ayat sepatah haram aku tak tahu.
Hari persandingan diadakan serentak di sebelah isteriku dan di sebelah pihak aku. Bapa mentuaku yang juga seorang guru silat 'Cimandi' telah membuka langkah sebagai menyambut mempelai. Nasib baiklah aku tidak dilesing oleh bapa mentua sewaktu pertama kali aku datang ke rumah isteriku. Kompang bertalu-talu dan kanak-kanak berkejaran-kejaran di tengah-tengah tetamu yang hadir.
Rakan-rakan isteriku yang bekerja kilang 'Ecxion' di Batu 5 Meru hadir beramai-ramai. Ada yang berambut mengerbang seperti artis Liza Abdullah. Mereka duduk mengadap pengantin di hadapan pelamin yang dibuat di atas rumah. Rumah mentuaku dibuat daripada papan dan mempunyai tangga di tingkat atas dan di bawahnya kolong. Di halaman rumah pula ada gelanggang silat.
Isteriku yang sinonim dengan kain tudung putih seperti menjadi 'trade mark' jika ditanya anak Wak Aji yang mana satu. Adik-beradik perempuan isteriku seramai lima orang memiliki wajah hampir serupa. Mereka berkulit cerah seperti ibu mereka kerana susur galur keluarga isteriku mengikuti wajah moyangnya berketurunan Cina.
Usai majlis makan beradap di bawah khemah, kami bergegas ke Pelabuhan Klang untuk majlis persandingan di sebelah pihak lelaki. Aku dan isteri bernikah gantung selama enam bulan kerana hendak disandingkan sama dengan adik perempuanku dan iparku. Ada kedengaran sosek-sosek kerana melihat perut isteriku sedikit buncit. Kata orang-orang tua bunting pelamin.
Majlis persandingan di rumahku diadakan secara sederhana. Semua makanan dan minuman disediakan secara bergotong-royong.Pada tahun 1989, belum lagi ada whatsapp atau facebook jadi kawan-kawan yang dijemput hanyalah mereka yang dapat dihubungi ketika itu. Saudara maraku dari Kelantan juga turut hadir memeriahkan majlis persandinganku.
Tiada kugiran seperti kebiasaan di Flat LPK Pelabuhan Klang apabila berlangsung majlis perkahwinan penduduk di situ. Aku memang tidak mampu untuk membayar sewa 'live band' kerana gajiku kecil hanya RM220.00 sebulan. Tidak seperti zaman sekarang, pasangan pengantin berselfie di atas pelamin dan 'berzumba' di hadapan pelamin. Hendak berkata-kata juga 'ditegur' oleh mak andam. Wajah 'masam' kerana 'disuruh' begitu dan tidak boleh terkinja-kinja di atas pelamin apatah lagi tersengih-sengih.
Majlis persandingan usai sekitar jam 5.00 petang. Pada malamnya, kami membuka bungkusan hadiah yang disampaikan oleh rakan-rakan sekolah dan rakan-rakan flat. Gelas, Toto, pinggan, dan jam dinding antara hadiah yang kami terima. Setelah semuanya masuk ke bilik masing-masing , aku membisikkan kalimat azimat kepada isteriku : Duit saya tinggal RM15 sahaja ! Kami sama-sama tersenyum dan tidur lena dalam dakapan malam itu


Comments
Post a Comment