Episod : Dia


Dia kukenali sekitar tahun 1985 sebagai rakan sekelas Tingkatan 6 di sebuah sekolah swasta di bandar Klang. Hubungan kami sekadar kawan biasa. Kebetulan aku dilantik sebagai Ketua Pengawas dan dia sebagai Timbalan Ketua Pengawas. Hari demi hari berlalu sehinggalah kami menamatkan pengajian pada tahun 1986.

Masing-masing membawa haluan Masing-masing. Dia bekerja sebagai kerani di sebuah syarikat swasta di bandar Klang. Manakala, aku bekerja di ibu pejabat Lembaga Pelabuhan Klang ( LPK) sebagai tukang cuci. Kesukaran untuk mendapatkan pekerjaan memaksa aku menerima sebarang tawaran pekerjaan dan paling penting 'halal' .

Tiada khabar berita antara kami kerana pada ketika itu hanyalah telefon awam ( pondok telefon) menjadi pemyambung hayat komunikasi. Keputusan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia diumumkan pada bulan Mac 1986. Aku mendapat keputusan yang agak baik 4 Prinsipal manakala dia mendapat keputusab sederhana. Aku cuba memohon tempat di universiti untuk menyambung pengajian namun semua permohonan aku ditolak.

Pentadbir sekolah tempat aku mengambil STPM menawarkan pekerjaan kepada aku sebagai guru. Aku tidak berfikir panjang dan menerima tawaran itu. Aku dibayar gaji bulanan RM220.00. Bermulalah kerjaya aku sebagai guru sekolah swasta. Dia masih bekerja di tempat lama sebagai kerani.

Pada satu hari, selepas selesai mengajar kelas malam aku berjalan menuju ke stesen bas Klang-Banting di bawah Great Wall Klang.
"Amboi, lajunya tak toleh kiri kanan". Kedengaran suara yang sangat kukenali. Aku segera menoleh. Dia hanya tersenyum memandang aku bersama beberapa orang temannya.
"Eh, buat apa di sini?," tanyaku spontan . Aku tersenyum malu kerana teman-temannya seperti memahami keadaan kami. Aku hanyalah kawan dia. Tika itu, hatiku masih kosong dan sepi kerana ditinggalkan seorang teman istimewa. Kata pujangga ' Sepi itu indah '.
Akhirnya, barulah kutahu dia telah mengambil tuisyen STPM kelas malam. Hampir setiap kali aku mengajar kelas malam aku dan dia juga teman-temannya akan berjalan sama ke stesen bas. Aku menaiki bas pulang ke Pelabuhan Klang. Dia menaiki bas KSOC menuju ke Kampung Meru. Kami berpisah setelah bas yang ditunggu sampai.

Begitulah hari demi hari berlalu. Seakan-akan menyedari isi hati masing-masing . Pada satu hari, aku meluahkan isi hatiku untuk berkawan dengan lebih rapat dengannya. Dia tidak berkata apa-apa sekadar melemparkan senyuman persis pelakon Raja Ema yang popular dengan lagu ' Jejaka Idaman' . Lagu kegemarannya juga.

Kami berjalan sama ke stesen bas selepas pulang dari kelas malam . Salmah kawan baiknya selalu mengusik kami. Aku akan menemaninya sehinggalah bas yang ditunggu sampai di stesen. Setelah dia hilang di dalam perut bas KSOC, aku pula menaiki bas Klang-Banting ke Pelabuhan Klang.

Hari demi hari, perasaan sayang semakin mekar. Aku akan berbasikal ke pondok telefon untuk berbicara tentang kami. Suaranya digagang telefon sudah cukup melepaskan rindu walaupun baru tadi kami berpisah di stesen bas. Aku sudah menjadi angau kerana dia. Lebih banyak sajak dan cerpen kutulis dan tersiar di akhbar dan majalah.
" Sepetang Di Meru" . Katanya sambil ketawa. Aku tersenyum malu kerana sajak itu kutulis untuknya dan disiarkan di dalam akhbar Bacaria.

Kadang-kadang kami berjumpa di bandar Klang pads hujung minggu menyusuri Jalan Taiping singgah makan di Restoran KFC atau menikmati Rojak Ghani di bawah Emporium Makan . Kami melewati Jambatan Klang ke Perpustakaan Awam di Jalan Tengku Kelana.

Setelah lebih dua tahun , akhirnya kami membuat keputusan untuk mengikat tali pertunangan dan kami disatukan sebagai suami isteri pada Julai 1989. Beberapa bulan setelah mendirikan rumah tangga dan hidup bahagia, 'teman istimewa' kembali hadir. Entahlah, aku sendiri terkeliru tujuannya untuk berjumpa aku dan isteriku. Mujurlah, isteriku memahami aku dan sejak pertemuan itu kuanggap sebagai yang terakhir.

Hari ini, istetiku menyambut ulang tahun kelahirannya 31 Disember. Selamat Hari Lahir buat isteri tercinta dan terima kasih kerana memilihku 'Jejaka Idaman'mu. Semoga dirimu sentiasa dilindungi Allah swt dan sihat walafiat.

Comments

Popular posts from this blog