Episod : SEORANG ANWAR IBRAHIM

Sejujurnya saya tidak mengenali sosok tubuh saudara Anwar Ibrahim (AI) secara dekat atau personal. Saya mengikuti langkah perjuangannya ketika mengepalai pertubuhan ABIM (Angkatan Belia Islam Malaysia ). Pada tahun 1984, saya telah dilantik sebagai Ketua Pengarang Buletin Persatuan Agama Islam di sekolah saya. Dari situlah , saya telah terlibat secara tidak langsung di dalam program di Yayasan Anda yang sangat dekat dengan oleh saudara AI.
Wakil-wakil pelajar dari Persatuan Agama Islam telah dipilih menyertai program di Yayasan Anda yang ditaja dan ditanggung. Yayasan Anda terletak di ibu kota Kuala Lumpur. Beberapa orang penuntut universiti telah menjadi mentor kami sebagai peserta dan bertanggungjawab mengatur perjumpaan dan program kami itu.
Program di Yayasan Anda lebih kepada persediaan pelajar-pelajar untuk menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada tahun tersebut. Kami dibawa ke sana dengan menaiki kereta yang dipandu oleh mentor. Aku mendapat keizinan daripada ibu bapaku untuk melibatkan diri di dalam program Yayasan Anda.
Sepanjang mengikuti program di Yayasan Anda, aku didedahkan kepada pengetahuan ilmu Islam seperti hadis Nabi saw. Aku menghafal beberapa hadis seperti dikehendaki dan akan membuat ‘presentation’ berpandukan nota berkaitan hadis. Kami bukan sahaja belajar di Yayasan Anda , kami juga dibawa ke Masjid Sri Petaling. Di situ, ramai budak-budak Tabligh dan mentor kami juga adalah ahli kumpulan tabligh. Aku diberikan ilmu berkaitan Sunnah Nabi saw dari segi praktikal. Tumpuan kepada akademik hanyalah tempelan di dalam kelas di Yayasan Anda.
Setelah selesai program yang diadakan pada minggu cuti sekolah itu, aku dihantar pulang ke sekolah. Apa yang aku dapat daripada program tersebut ialah ilmu akademik dan ilmu akhirat yang berguna dalam kehidupan harianku. Aku mengamalkan praktikal Sunnah Nabi saw yang diajarkan semasa di sana. Sekembali aku ke rumah, satu perubahan yang berlaku ialah aku mulai memakai serban apabila ke masjid atau surau.
Perubahan mendadak ini agak disedari oleh ibu bapaku. Ibuku memberikan pesanan agar aku lebih menumpukan perhatian terhadap pelajaran SPM aku yang bakal diduduki hujung tahun itu.
Aku juga berjinak-jinak mengikut kawan-kawan dewasa mendengar ceramah politik ketika itu Ustaz Haji Asri, Presiden PAS dan Haji Yusuf Rawa sebagai Mursyidul Am PAS. Aku dan kawan-kawan mendengar ceramah di bawah pokok pisang , di tepi parit atau di tepi reban ayam kerana penyokong PAS sangat ramai. Ceramah yang disampaikan berapi-api membantah kerajaan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Doktor Mahathir Mohamad ( Tun) .
Namun, hatiku tidak terikat untuk menyelami perjuangan PAS lalu aku semakin jauh meninggalkan kawan-kawan tabligh dan PAS.
Akhirnya, keputusan SPM aku hanya mampu mendapat pangkat SAP. Kecewa , sedih dan putus asa semua ada di dalam batang tubuhku. Aku segera bangkit dan dengan persetujuan ayahku aku meneruskan pelajaran di peringkat Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM). Sepanjang tempoh itu, aku kurang melibatkan diri dalam aktiviti tabligh atau menjadi pengikut parti politik. Aku mendapat keputusan yang agak cemerlang dalam STPM tetapi tidak mendapat tempat di mana-mana university sehinggalah penantian selama 19 tahun aku telah mendapat peluang melanjutkan pelajaran di Universiti Putra Malaysia dalam bidang Bahasa Melayu dan Linguistik di peringkat Ijazah Sarjana Muda.
Aku memilih kerjaya sebagai guru di sebuah sekolah swasta di Klang dan tanpa kusedari aku sedang diperhatikan oleh seorang kawan bapaku yang jga seorang wartawan akhbar WATAN. Kawan bapaku juga menyedari bahawa aku juga sering menulis dan karyaku juga pernah tersiar di dalam akhbar WATAN. Pada suatu hari, kawan bapaku telah datang ke rumah untuk memberitahu ibu bapaku supaya menyuruh aku ke Wisma Pelaut, Pelabuhan Klang. Pesanan itu disampaikan kepada aku.
Hari itu hari Sabtu selepas Zohor. Aku menunggang basikal ‘racing’ Shimano ke Wisma Pelaut untuk menghadiri mesyuarat Cawangan UMNO Pelabuhan Klang yang ketika itu diketuai oleh Datuk Zainal sebagai Ketua Bahagian Klang. Aku terserempak dengan kawan bapaku di muka pintu dewan Wisma Pelaut. Aku disuruh duduk di barisan paling hadapan. Mesyuarat pada petang itu adalah untuk memilih ahli jawatankuasa Cawangan UMNO Pelabuhan Klang. Satu demi satu jawatan telah dipertandingkan dan kawan bapaku berdiri dan mencadangkan aku sebagai juruaudit. Rata-rata yang datang ke mesyuarat itu mengenali aku sebagai ‘Cikgu’ dan mereka beramai-ramai mengangkat tangan sebagai tanda sokongan .
Akhirnya, aku dipilih menjadi juruaudit Cawangan UMNO Pelabuhan Klang. Aku tidak berasa seronok, gembira atau membantah atas lantikan itu. Fikiranku kosong. Usai mesyuarat, aku kembali ke rumahku dan itulah kali pertama dan terakhir aku menghadiri mesyuarat UMNO. Aku tidak pernah dihubungi untuk memeriksa atau menandatangani apa-apa penyata laporan kewangan sehinggalah aku diberitahu bahawa tempatku telah diganti oleh seorang kenalanku sebagai juruaudit. Aku hanya tersenyum mendengarnya apabila disampaikan oleh seorang AJK Cawangan tentang pelantikan baharu itu. Aku tersenyum kerana juruaudit yang dilantik itu tidak lulus Sijil Rendah Pelajaran (SRP). Aku tersenyum kerana pelantikan itu sangat ‘memualkan’ aku.
Sosok saudara AI kembali mewarnai persada politik tanah air yang diketuai oleh Dr. Mahathir (Tun) sebagai Perdana Menteri. Saudara AI ketika itu seorang Timbalan Perdana Menteri. Pada hari AI dipecat sebagai Timbalan Perdana Menteri Malaysia oleh Dr. Mahathir , aku dan rakan-rakan sedang duduk minum petang di restoran mamak di bawah Bangunan UMNO sebelah Pasaraya ZulSeng. Kedengaran cacian dan carutan dalam kalangan mereka yang sedang ‘berlonggok’ di situ kerana tidak percaya berita yang tersebar itu. Rata-rata tidak dapat menerima hakikat tuduhan yang dilemparkan kepada AI. Kami menaiki tangga tingkat satu yang menempatkan pejabat Bahagian Klang.
Aku tidak mengikuti mereka ke pejabat, sebaliknya aku terus ke tingkat tiga. Pejabat urusan Edaran Office Equipment (EOE) aku terletak di tingkat tiga bangunan yang sama. Hanya suara riuh rendah dan bising dari tingkat bawah kedengaran hingga tingkat tiga. Aku tidak tahu apa yang harus dilakukan ketika itu. Beberapa helai surat ‘Local Order’ (LO) berwarna ‘pink’ tersadai di atas meja. LO itu adalah pesanan barangan pejabat yang diperuntukkan kepada Adun dan Ahli Parlimen. Syarikat aku menjadi pembekal barangan pejabat ke sekolah, masjid dan pertubuhan tertentu menggunakan LO tersebut.
Keesokannya, kekecohan semakin menjadi-jadi atas pemecatan AI oleh Perdana Menteri. Ceramah demi ceramah diadakan di pekarangan rumah AI. Aku hanya menonton laporan berita demi berita panas daripada stesen TV3 ketika itu . Penyampai berita popular ketika itu Wan Zaleha Radzi , Zainal Ariffin dan beberapa nama besar dalam dunia penyiaran.
Pagi itu, cuaca cerah. Aku mengajak jiranku sekeluarga menaiki kereta Toyota Unserku ke Sungai Congkak. Dalam kehangatan politik tanahair bermandi-manda di sungai dapat menyejukkan perasaan yang bergelora. Usai bermandi-manda di Sungai Congkak, kami bersiap-siap untuk pulang ke rumah di Klang. Ketika melalui jalan raya yang agak sesak luar biasa menimbulkan tanda tanya kepada aku dan jiranku yang juga anak seorang anggota polis. Sesampai di laluan ke dataran Merdeka, orang ramai berlari-lari menuju ke Dataran Merdeka. Aku dilarang oleh isteriku membuka tingkap kereta.
Namun begitu, aku membuka sedikit cermin tangkap dan kedengaran laungan “REFORMASI, REFORMASI, REFORMASI” sambil orang ramai berlari-lari ke Dataran Merdeka. Aku memandu dengan berhati-hati bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini . Kami berjaya keluar dari kawasan ‘merah’ dan menuju pulang ke rumah. Ketika menurunkan barang-barang, aku memberitahu jiranku hasratku untuk mendengar ceramah AI di rumahnya pada malam itu.
Selepas Isyak, kami menuju ke rumah AI. Sepanjang jalan, peniaga-peniaga menjual kaset dan buku-buku tertang AI dan ceramah-ceramah AI. Ada kaset keluaran bersiri ceramah AI yang kedengaran bersimpang siur dan khemah-khemah jualan diterangi lampu mentol kuning. Aku dan jiranku berjalan perlahan-lahan membontoti orang ramai yang berpusu-pusu ke rumah AI. Suhu agak panas. Beberapa pemimpin politik kelihatan di sana-sini dan selebriti artis juga. Mereka bersalam-salaman dan tersenyum kerana masing-masing menggenggam satu matlamat yang sama, iaitu ‘ REFORMASI ’ .
Aku dan jiranku sudah berada di hadapan pagar rumah AI dan ketika itu kawasan sudah penuh sesak. AI belum muncul lagi dan beberapa orang pemimpin politik turut menyampaikan ceramah berapi-api. Kelihatan beberapa orang terkenal yang lantang menyokong AI dan pimpinan UMNO yang dikenali. Dalam kesungguhan untuk menyaksikan ceramah AI, keadaan sesak dan panas tidak dipedulikan kerana semangat ‘REFORMASI’ dan laungan yang tidak berhenti-henti dan bersahut-sahutan.
Kedengaran tepukan gemuruh dan laungan ‘REFORMASI’.
Sosok AI dan Dr.Wan Azizah kelihatan berdiri di muka pintu. Jam menunjukkan masa melepasi 9.00 malam. Masing-masing melaungkan ‘REFORMASI’. AI dan isterinya mengambil tempat duduk. Beberapa patah perkataan yang keluar dari mulut AI disambut sorakan ‘REFORMASI’. Tiba-tiba , suasana menjadi sangat kelam-kabut. Pihak polis menyerbu kawasan situ dan orang ramai bertolak-tolakan sesame mereka. Aku dan jiranku juga tertolak ke belakang sehingga tersepit antara lautan orang ramai yang berasak-asak. Tanganku ditarik ke atas oleh beberapa orang yang turut menyelamatkan diri. Aku duduk di atas tembok sebuah rumah bangle berhadapan dengan rumah AI.
Suasana bertambah tegang apabila anggota-anggota polis berbaju hijau seperti PPH mengiringi rombongan AI dengan sebuah van keluar dari kawasan itu. Bunyi ucapan AI dari corong ‘speaker’ masih kedengaran bersahut-sahutan. Setelah keadaan kembali reda, aku dan jiranku turun dari tembok rumah yang tinggi sambil dibantu beberapa orang yang tidak dikenali. Kami menuju ke tempat parkir kereta dan bergerak untuk pulang ke rumah. Jiranku yang memandu keretaku kerana aku kurang mahir dengan keadaan jalan di Kuala Lumpur. Ketika itu belum ada ‘Google Map’ atau ‘Waze’.
Dalam keadaan kesesakan jalan raya, sekatan demi sekatan jalan raya dilakukan oleh anggota-anggota polis. Kereta diubah haluan ke beberapa tempat seperti Segambut, Jinjang, Kampung Bharu dan beberapa lagi tempat yang tidak kuingati. Akhirnya, kami sampai juga di rumah pada awal pagi kerana berpusing-pusing di ibu kota Kuala Lumpur untuk mencari jalan pulang.
Kes pertuduhan terhadap AI dibicarakan hari demi hari dan aku hanya mengikuti perkembangan berita semasa melalui televisyen dan surat khabar. Kenangan September 1998, tidak akan luput dari ingatanku. Hari ini , AI telah dilantik sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-10 oleh Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Baginda Yang Dipertuan Agong.
“ Sesungguhnya , perjuangan AI sangat panjang dan melelahkan namun seorang Anwar Ibrahim menceritakan pedih derita yang ditanggungnya.”

Comments

Popular posts from this blog