Episod : SCAM
Hari ini hari ke-3 aku dirawat di wad PKRC Hospital Besar Tengku Ampuan Rahimah Klang. Aku , Uncle Subramaniam dan Uncle Lim masih di ROOM 7 sejak hari Jumaat lepas. Kami bertiga hanya berbaring di atas katil masing-masing. Uncle Subramaniam di sebelah katilku manakala Uncle Lim di sebelah tandas kerana dia mempunyai masalah pembuangan air kecil dan terpaksa menggunakan beg khas bagi mengumpul air kencing. Manakala, susu dituang melalui tiub yang ditebuk di badannya.
Aku lebih banyak berbual-bual dengan Uncle Subramaniam tetapi Uncle Lim lebih banyak masa terbaring di atas katil. Aku dan Uncle Subramaniam bercerita tentang pengalaman masing-masing. Suasana sangat mesra antara kami. Jururawat masuk ke bilik untuk melakukan pemeriksaan tekanan darah dan bacaan gula. Aku dan Uncle Subramaniam sahaja yang melakukan pemeriksaan jantung pada setiap hari dengan sebuah mesin khas. Data yang dikeluarkan akan dijadikan rujukan oleh doktor pakar jantung yang melawat kami setiap hari.
" Nurse , ini hari saya boleh balik tak?," tanya Uncle Lim. Aku mendengar perbualan mereka sambil berbual-bual dengan Uncle Subramaniam.
"Bolehlah uncle," kata jururawat dengan pelat Sabah. Aku melihat wajah Uncle Lim terlalu gembira. Jururawat meninggalkan Uncle Lim dan keluar dari bilik.
"Saya sudah boleh keluar," beritahu Uncle Lim kepada kami yang duduk bersila di atas katil. Kadang-kadang aku meniarap sambil berbual-bual dengan Uncle Subramaniam. Uncle Lim menelefon isterinya untuk memberitahu bahawa dia sudah boleh pulang.
Uncle Lim mengemas barang-barangnya dengan sebelah tangan kiri kerana tangannya terkulai barangkali akibat serangan strok. Uncle Lim tidak dapat menyembunyikan kegembiraannya. Dia berjalan mundar-mandir di dalam bilik. Kami hanya tersenyum melihat gelagatnya.
"Kalau tak ada surat belum boleh balik, Uncle," kataku.
"Tadi nurse sudah cakap boleh balik," katanya tersenyum -senyum.
Jam di tangan sudah menunjukkan pukul 2.00 petang. Jururawat masuk ke bilik kami dan memeriksa tekanan darah. Uncle Lim segera bertanya kepada jururawat.
"Saya sudah boleh balikkah?"
"Belum boleh lagi, Uncle," jawab jururawat.
" Tadi itu nurse kata boleh balik," beritahu Uncle Lim. Aku dan Uncle Subramaniam yang sedang bersembang kosong tersenyum mendengar perbualan mereka. Jururawat keluar dari bilik selepas menuang susu ke dalam badan Uncle Lim.
"Tadi saya sudah cakap tunggu surat, Uncle," kataku . Uncle Subramaniam ketawa sambil menggeleng-geleng kepala kerana Uncle Lim sudah menyalin pakaian hospital dengan pakaian yang dibawanya.
"Uncle sudah kena scam la," kataku dan kami tersenyum. Uncle Lim mengomel sendirian dalam bahasa Cina yang kami tidak faham sambil memakai semula pakaian hospital. Kemudian Uncle Lim menelefon isterinya.
Masa terus berlalu dan berasa terlalu cepat bergerak. Kedengaran azan Maghrib dari masjid sebelah. Kami makan makanan yang dihantar petugas hospital. Nasi putih, sayur labu rebus dan ikan goreng. Aku dan Uncle Subramaniam makan bersama-sama sambil berbual-bual. Aku berkongsi sesisir pisang dan buah epal yang dihantar oleh anakku siang tadi. Malam mengesot perlahan dan hujan turun lebat di luar bilik. Aku duduk di koridor di atas kerusi untuk menikmati bau hujan yang bersih. Uncle Subramaniam sudah berbaring di katil. Suasana amat sunyi hanya kedengaran bunyi katak-katak bersahut-sahutan.
Di seberang bangunan , seorang wanita berpakaian hospital sedang duduk di beranda. Dia hanya menundukkan kepalanya. Rambutnya dibiarkan berjuraian . Lampu-lampu bilik mulai ditutup di tingkat bawah dan atas. Hanya lampu koridor masih terpasang. Aku bangun dan berbaring di atas katil. Uncle Subramaniam sudah berdengkur dan Uncle Lim hanyut dalam mimpi indah. Aku memakai 'headset' dan mendengar lagu-lagu kegemaranku. "Rindu Yang Terlarang" nyanyian Broery yang mendayu-dayu dengan suara jantannya. Mataku semakin berat lalu tertidur.
Masuk hari ke-4. Subuh ini hujan turun mencurah-curah. Aku mengambil wudhu dan menunaikan solat tahajud di ruang yang terhad. Aku menanti masuk waktu solat Subuh.
"Itu sembahyang macam itu tunduk berapa kali (rukuk) ?," tanya Uncle Subramaniam.
" Tengok sembahyang apa. Kalau sembahyang Subuh dua kali. Kalau sembahyang Zohor , Asar , empat kali," beritahuku.
"Ini sekarang , Cikgu sembahyang last la lima kali(Isyak)?" tanya Uncle Subramaniam.
" Ya, ini last. Satu hari lima kali sembahyang," jawabku. Uncle Subramaniam mengangguk-angguk sambil tersenyum. Uncle Subramaniam akan menutup bunyi video Tamil yang sedang ditontonnya setiap kali aku bersolat. Dia menghormati ruang masa solatku.
Aku tersenyum mengibas perbualan dengan Uncle Subramaniam malam semalam. Kedengaran azan Subuh berkumandang memecah keheningan. Hujan semakin lebat. Usai solat Subuh , aku mengulang membaca ayat Al -Kahfi (1-10). Aku berjalan ke koridor, beberapa orang jururawat sedang menjalankan tugas masing-masing dari bilik ke bilik. Aku berbaring di atas katil dan menarik gebar hospital lalu terlelap.
Aku terjaga apabila namaku dipanggil. Seorang doktor lelaki berdiri di sisi katil.
"Siapa nama, pakcik?," tanya doktor .
"Che Azmi".
"Saya, Doktor Amir. Bagaimana keadaan pakcik sekarang?," tanya Doktor Amir.
"Alhamdulillah".
" Makan ok?"
" Ok.Tekak rasa pahit sikit."
"Ok. Tak pe"
"Pakcik nak balik rumah tak?"
" Nak," jawabku spontan.
"Ok, pakcik rehat dulu," kata Doktor Amir.
Doktor Amir bergerak ke katil Uncle Subramaniam dan kemudian Uncle Lim. Ayat yang sama ditujukan kepada mereka. Aku tersenyum mendengar kata-kata Doktor Amir. Uncle Subramaniam tersenyum memandang aku. Aku menunjukkan isyarat jari di mulut supaya bersebbang kemudian aku asuk ke biliknair untuk mandi ubramaniam jangan bercakap. Uncle Subramaniam tertunduk menggeleng-geleng kepala sambil tersenyum-senyum. Doktor Amir keluar dari bilik.
Aku bersila di atas katil dan mula bersembang dengan Uncle Subramaniam.
"Saya ingat kita kena scam pagi ni," kataku lalu berderai ketawa kami. Perkataan 'boleh balik' seperti sukar untuk dipercayai.
"Saya pun ingat tak boleh balik,"sampuk Uncle Lim. Sekali lagi kami ketawa berdekah-dekah dan Uncle Lim tersenyum sipu mengingatkan peristiwa semalam dia tidak jadi balik dan sudah siap menyalin pakaian .
Kira-kira sejam kemudian, jururawat masuk ke dalam bilik.
"Uncle , U boleh balik hari ini, ok," kata jururawat sama semalam. Aku dan Uncle Subramaniam bersembang lagi.
"Pakcik sama Uncle belum boleh balik," kata jururawat kepada kami. Kami tersenyum dan Uncle Subramaniam menunjukkan isyarat tangan diterbalik-balik tanda ' tiada' sambil tersenyum. Kami bersarapan roti ban dan air teh . Kemudian, aku masuk ke bilik air untuk mandi. Uncle Subramaniam mandi awal sekitar 6.30 pagi.
Seorang jururawat masuk untuk mengambil tekanan darah kami sambil menolak mesin.
"Hari ini semua orang dalam bilik ini boleh balik pukul 5.00 petang. 5.00 petang ye," kata jururawat. Aku dan Uncle Subramaniam tersenyum.
"Ini kali betul-betul boleh balik. ," kata Uncle Subramaniam. Uncle Lim seperti tidak mengendahkan kata-kata jururawat tadi. Kalau sebelum ini dia cepat-cepat menukar pakaian hospital tapi kali ini dia bangun dari kerusi dan berbaring di atas katil.
Aku dan Uncle Subramaniam pun ikut berbaring di katil masing-masing lalu terlelap.
"Pakcik.Pakcik," kejut jururawat. Kami semua terbangun hampir serentak .
" Kenapa belum kemas barang lagi?," tanya jururawat. Wajah masing-masing berbunga-bunga. Memang benar kami sudah boleh pulang ke rumah. Jam menujukkan pukul 3.00 petang. Aku menghantar whatsapp kepada isteriku agar datang menjemputku di wad PKRC pada pukul 5.00 petang.
Kami sama-sama mengemas barang-barang. Aku menyedekahkan roti, biskut dan tiga biji epal besar ke bilik operasi jururawat. Bilik itu tidak dibenarkan masuk hanya menunggu di luar pintu . Seorang lagi pesakit sedang duduk di koridor menanti untuk pulang.
"Balik mana bang?," sapaku.
" Jalan Kebun," jawabnya ringkas dan tersenyum. Wajahnya seperti Sohaimi Meor Hasan. Kami berbual-bual mesra dan saling bertukar nombor telefon. Kami juga berjanji akan berjumpa lagi pada masa akan datang.
Aku mendapat whatsapp daripada isteriku bahawa dia sudah sampai di luar pagar. Aku bersalam-salaman dengan Uncle Subramaniam dan Uncle Lim. Suasana sayu dan hening seketika. Berasa berat kaki hendak melangkah pulang. Aku mengangkat semua barang yang ada. Uncle Subramaniam keluar dari bilik dan melambai-lambai aku hingga hilang dari pandangan. "Persahabatan yang ikhlas dan murni tidak dapat dinilai dengan wang ringgit yang berjuta-juta."


Comments

Popular posts from this blog