Episod : PRINSIP

Pagi ini, tugas aku membawa kakak sulungku yang juga OKU untuk mendapatkan rutin rawatan di Klinik Kesihatan Pelabuhan Klang (KK Pelabuhan Klang). Sepanjang perjalanan dari Taman Pendamar Indah , bendera-bendera berbilang parti berkibar megah. Barisan Nasional, Perikatan Nasional, Harapan dan Calon Bebas untuk merebut kawasan P110 Klang. Aku hanya tersenyum sinis kerana teringat PRU14 dulu aku , dengan bertongkat ketiak aku keluar mengundi di Sekolah Menengah Bukit Tinggi. Akhirnya, Parti Harapan (PH) mendapat majoriti untuk membentuk kerajaan tetapi selepas 22 bulan memerintah , kuasa jatuh kepada parti yang tewas. Adakah kali ini akan berlaku juga situasi yang sama apabila parti yang kalah memegang tampuk kuasa ? Senyumanku bertukar kelat.

Aku tiba di perkarangan KK Pelabuhan Klang sekitar jam 10.50 pagi. Aku memberhentikan kereta di sebelah seorang anggota sekuriti yang sedang leka melayan telefon bimbit tanpa mempedulikan sesiapa yang lalu lalang di situ. Tidak seperti sebelum ini, anggota sekuriti akan ‘bertegang leher’ denganku semata-mata tidak membenarkan aku memparkir kereta di dalam pekarangan klinik walaupun aku menjelaskan bahawa pesakit ialah seorang OKU.

Kemudian, aku menuju ke khemah yang didirikan untuk menyemak tahap kesihatan mereka yang memasuki kawasan klinik.

“ Ada demam? Batuk ?,” tanya salah seorang petugas klinik kepadaku.

“Tak ada,” jawabku ringkas. Petugas itu mengecop buku 3X5 yang kubawa setiap kali hadir untuk mendapatkan rawatan di situ. Sementara, seorang lagi petugas yang duduk di sebelahnya leka melayan telefon bimbitnya sambil tersengih-sengih sendiri. Aku malas nak komen sesuatu kerana aku juga mengejar masa untuk kelas ‘ONLINE’ pukul 2.00 petang nanti.

Aku menolak kerusi roda kakakku memasuki ruang dalam klinik. Keadaan tidak terlalu sesak seperti kebiasaannya. Aku menyerahkan buku 3X5 dan kad OKU kepada kerani yang bertugas di kaunter pendaftaran. Tidak lama kemudian, nama kakakku dipanggil dan aku diberikan sebeban kad dan surat rawatan sebelum ini lalu kuletakkan di dalam sebuah bakul khas. Seorang jururawat memeriksa tekanan darah dan suhu badan kakakku. Semuanya dalam keadaan baik. Aku diminta oleh jururawat memasukkan kad rawatan itu ke dalam bakul bilik 2 sementara nama dipanggil untuk berjumpa doktor bertugas.

Seorang demi seorang dipanggil masuk melalui mesin panggilan nombor digital di atas pintu bilik doktor. Ada empat buah bilik rawatan tetapi tiga bilik sahaja yang digunakan untuk menerima pesakit. Jarum jam menunjukkan pukul 11.30 pagi. Kebiasaannya, satu jam atau kurang giliran aku akan dipanggil masuk ke dalam bilik doktor tetapi hampa. Aku bangun dan mundar –mandir di hadapan meja jururawat yang sedang ‘ bersantai’ di meja sambil bersembang. Hari ini kurang pesakit yang hadir untuk mendapatkan rawatan.

Aku membaca poster-poster tentang kesihatan yang ditampal pada dinding klinik. Brosur dan risalah yang diletakkan di atas rak telah selesai kubaca. Nama-nama jururawat juga sempat kubaca seorang demi seorang. Jarum jam menunjukkan pukul 12.30 tengah hari. Hanya tinggal lima orang pesakit sahaja yang sedang menunggu giliran. Sekejap aku duduk. Sekejap aku bangun. Jururawat memandang aku dengan wajah selamba dan terus berbual-bual.

“ Puan, nak tanya lama lagikah nak tunggu doktor?,” tanyaku sopan kepada jururawat yang mula-mula memeriksa tekanan darah kakakku sambil dia menggoyang-goyang kerusinya ke kiri dan ke kanan.

“Tunggulah. Doktor seorang sahaja yang betugas,” katanya selamba dan terus bersembang dengan rakan jururawat yang duduk di sebelahnya. Aku bangun mencari kotak atau peti aduan dan cadangan. Hanya sebuah peti cadangan yang kosong tergantung pada dinding klinik.

“ Bagaimana kalau saya hendak membuat aduan?,” aku kembali ke meja jururawat tadi. Wajahnya sedikit berubah.

“ Encik nak buat aduan apa?,” tanyanya semula.

“ Saya hendak buat cadangan cara menambahbaikkan servis di klinik ini,” kataku berterus terang.

“Encik boleh isi borang cadangan di sana,” kata jururawat sambil mengerling kea rah kotak cadangan.

“Tak ada borang. Kosong,” kataku. Jururawat tadi bangun dan berjalan ke arah kotak cadangan itu. Kemudian, jururawat itu kembali ke mejanya.

‘Kotak tu kosong, “ kata jururawat itu kepadaku.

“ Saya sudah beritahu tadi kotak cadangan itu kosong,” jawabku dan wajah jururawat masam mencuka.

“Bagaimana saya hendak buat aduan melalui ONLINE ?,” tanyaku semula . Diam. Kemudian , muncul seorang pembantu am klinik yang bertugas sebagai ‘cleaner’ duduk di kerusi di hadapanku.

“Encik hendak buat aduan?,” tanyanya kepadaku.

“Oh, cepatnya merebak ,” bisik hati kecilku kerana perbualan kami tadi telah sampai kepada pengetahuan petugas am.

“Ya, bagaimana saya nak buat aduan ?,” tanyaku lagi.

“ Di situ ada kotak cadangan ,” katanya tetapi disanggah rakannya yang duduk di meja.

“Borang dah habis,” jawabnya dengan suara yang keras.

“ Encik nak buat aduan apa?,” tanya pembantu am tadi semula.

“ saya nak bagi idea untuk menambahbaikkan sistem di klinik ini,” kataku.

“ Puan ada e-mel address untuk buat aduan?,” tanyaku.

“Saya tak tahu ,” jawabnya lalu bangun dan meninggalkan kami.

“ Encik boleh bincang dengan Doktor Shanti atau Dr, Tan,” kata jururawat itu.

 

“Selamat pagi, Encik. Apa saya boleh bantu?,” seorang doktor perempuan yang kurus berdiri di hadapanku. Mataku tertancap pada ‘name tag’ di dadanya ‘Dr.Shanti’. Aku tersenyum melihat wajah doktor.

“Saya nak beri cadangan untuk menambahbaikkan servis di sini,” kataku.

“Saya sudah menunggu lama,” kataku dengan suara yang tegas. Nombor giliran pada mesin digital 2023.

“Lagi empat nombor kena tunggu,” bisik hati kecilku.

“Pukul berapa Encik datang tadi ?. Pesakit akan diberikan rawatan tidak melebihi dua jam,”  kata Doktor Shanti. Kemudian, Doktor Tan muncul. Doktor muda yang menjadi ketua di KK Pelabuhan Klang.

“ Saya menunggu sejak pukul 10.54 tadi. Sekarang kurang 5 minit pukul 12.54 ,” kataku. Kakak saya OKU tentu ada sistem ‘fast lane’ ,” ujarku mempersoalkan sistem yang diguna pakai di klinik itu.

“ Encik tunggu sekejap, “ kata jururawat tadi. Doktor Shanti dan Doktor Tan masuk ke bilik masing-masing.

“ Encik boleh masuk ke bilik 2 sekarang,” kata jururawat. Aku tersenyum mendengar arahan jururawat itu. Wajah jururawat itu terpingga-pingga.

“ Saya hendak buat aduan tentang sistem di klinik ini. Pesakit terpaksa tunggu lama. Saya bukan minta masuk mendahului pesakit lain yang menunggu giliran. Saya nak bagi cadangan supaya sistem lebih baik tapi Puan meminta saya melanggar sistem yang sedang berjalan. Mana boleh,” kataku dengan panjang lebar.

“Pesakit lain juga berhak mendapatkan rawatan mengikut giliran nombor mereka,” sambungku lagi. Jururawat tadi terduduk di atas kerusinya dan rakan jururawatnya hanya mendiamkan diri. Pembantu am tadi muncul semula.

“Ada alamat e-mel?,” tanyaku spontan kepadanya dan dia terus berjalan tanpa menoleh aku.

“Takutlah kot,” desis hati kecilku melihat gelagat pembantu am tadi. Sebuah ambulan sedang menunggu pesakit yang hendak dibawa ke hospital.

“Ting Tong!” Nombor giliranku 2027 berbunyi. Aku menolak kerusi roda kakakku ke bilik 2. Seorang doktor lelaki sedang menunggu aku.

“Tadi, Encik yang nak buat aduan?,” tanyanya dengan wajah manis.

“Saya hari ini ramai ‘patient’ . Saya tak sempat pergi ke bilik air,” kata doktor berbaju kemeja hijau tanpa ‘name tag’. Sebenarnya, doktor itu sudah dua kali lalu lalang di depanku selama aku menunggu giliran tadi.

“ Saya hendak beri cadangan untuk menambahbaikkan sistem . Saya bukan nak kritik. Saya nak beri cadangan membina,” kataku kepada doktor. Doktor mengangguk-angguk sambil tersenyum.

“ Kita memang alu-alukan seperti Encik yang mahu memberikan idea membina,” ujar doktor sambil tersenyum.

“Tetiba je,” bisik hati kecilku. Doktor melakukan pemeriksaan ke atas kakakku sambil bertanya tentang ubat-ubatan yang dimakannya. Doktor memeriksa kaki kakakku yang duduk di atas kerusi roda.

“Kaki itu tak perlu periksa doktor kerana sejak kecil kakinya sudah begitu,” kataku apabila aku melihat doktor memeriksa kaki kakakku. Inilah kali pertama selama aku menguruskan kakakku ke klinik atau hospital doktor memeriksa kakinya. Doktor bangun dan memeriksa denyutan jantung dan nadi kakakku. Kemudian, masuk seorang lagi doktor perempuan berbaju merah sambil tersenyum-senyum memandangku.

Aku beralih tempat duduk kerana doktor itu hendak menggunakan komputer di atas meja.

“Semua ini ubat-ubat yang makcik makan?,” tanya doktor lelaki itu semula.

“Isteri pakcik dah lama sakit?,” tanya doktor lagi.

“Maaf, doktor. Ini kakak saya,” kataku membetulkan pertanyaan doktor.

“Oh, sorry,” kata doktor spontan. Doktor menulis slip ubat yang perlu untuk kakakku dan kami keluar dari bilik doktor sambil aku mengucapkan terima kasih kepada doktor.

 

Kemudian, aku ke meja jururawat tadi untuk mendapatkan tarikh janjitemu yang akan datang. Hanya tinggal aku dan kakakku di situ . Jarum jam menunjukkan pukul 1.00 petang. Aku terus ke kaunter farmasi dan ubat-ubat diberikan kepadaku dengan beberapa arahan berkaitan cara penggunaan ubat. Ketika aku melalui di hadapan meja kaunter jururawat , aku diberikan sehelai plastik untuk menyimpan beberapa kotak dan paket ubat di tanganku.

“Terima kasih, Puan,” kataku dan wajah jururawat tersenyum. Inilah kali pertama aku mendapat plastik untuk menyimpan ubat selepas lebih 5 tahun berurusan di klinik ini. Aku menghantar ‘whatsapp’ kepada isteriku supaya datang mengambil aku.

“Kenapa lambat sangat?,” tanya isteriku sebaik sahaja aku masuk ke dalam kereta. Aku diam sahaja. Kereta memecut laju untuk menghantar kakakku pulang ke rumah. Kemudian , aku memecut pulang ke rumah di Bukit Tinggi dan jarum jam kereta menunjukkan pukul 1.45 petang. Tinggal 15 minit lagi kelas ONLINE akan bermula dari pukul 2.00 petang hingga 9.30 malam mengikut rutin jadual mingguan aku. Aku hanya sempat bersolat Zohor dan makan tengah hari pada pukul 9.30 malam !.

 

 

Comments

Popular posts from this blog