Episod : Macam Agong
Aku dipindahkan dari Bilik Isolosi ke Wad PKRC untuk pesakit Covid pada pukul 3.00 pagi. Aku ditemani seorang pegawai perubatan menaiki sebuah ambulans. Di pertengahan perjalanan, ambulans singgah di bangunan lama untuk menumpangkan seorang lagi pesakit. Seorang pesakit perempuan yang terbaring di atas 'stretchers' kuanggarkan beratnya melebihi 200 kilo.
Kami sampai di Wad PKRC kurang 10 minit kerana wad ini dulunya ialah asrama jururawat wanita. Terdapat tiga buah blok dua tingkat berwarna merah jambu diduduki oleh pesakit-pesakit Covid lelaki dan perempuan. Hanya pesakit Covid kritikal ditempatkan di wad kecemasan di bangunan lama HBTAR.
Aku ditempatkan di Room 7 Bed 19 tingkat bawah. Sebuah bilik yang mempunyai 3 buah katil. Keadaan di sini lebih selesa berbanding di khemah. Kalau di khemah, tandas bergerak sebanyak 4 buah disediakan di luar kawasan pesakit ditempatkan. Setiap kali hendak menggunakan tandas terpaksa menadah air di dalam sebuah baldi kecil di sinki luar. Lantainya basah dan becak.
Di wad ini, kemudahan seperti di rumah sendiri. Tandasnya sempurna dan bersih. Suasana nyaman dan damai kerana wad ini agak jauh dari bangunan hospital dan kawasan parkir. Apabila malam suasana semakin sunyi dan udara pada waktu malam sangat sejuk. Bilik-bilik di sini tiada alat pendingin hawa hanya dua buah kipas siling dipasang 24 jam. Lampu juga dipasang 24 jam kecuali kita sendiri hendak menutupnya.
Sebuah meja besi di tepi setiap katil untuk menyimpan pakaian atau makanan dan dua buah mesin untuk pemeriksaan tekanan darah diletakkan di tepi tingkap. Di koridor bilik, terdapat troli pakaian pesakit berwarna biru putih dan tong-tong disposal untuk membuang peralatan kesihatan yang sudah digunakan. Tong sampah disediakan di dalam bilik dan di koridor.
Di Room 7, aku dan seorang lelaki Cina yang kelihatan uzur sedang terbaring di sebelah pintu tandas. Pesakit itu menggunaan tiub yang ditebuk diperutnya untuk memasukkan makanan cecair dan tiub untuk membuang air kecil. Aku hanya melihat jururawat keluar masuk menguruskan pesakit ini kerana dia bergantung kepada bantuan orang lain. Sesekali dia mengomel sendirian di atas katil dan sesekali dia melambai-lambaikan memanggil aku untuk meminta bantuan.
"Panggil nurse," katanya dengan suara yang sangat perlahan.
" Uncle boleh guna loceng panggil nurse," kataku sambil menunjukkan loceng aiskrim di atas meja setiap katil. Aku memanggil jururawat di bilik sebelah. Jururawat datang untuk memberikan ubat melalui tiub dan cecair seperti susu.
Ada masa tertentu, pesakit ini akan bangun berjalan seperti orang yang sihat. Laju langkahnya keluar masuk bilik tetapi apabila dia memerlukan sesuatu dia akan kelihatan 'sangat lemah' dan memanggil aku untuk menolongnya. Setelah beberapa kali , aku tidak lagi mahu 'melayannya' kerana dia sebenarnya boleh berjalan elok keluar masuk bilik .
Beberapa jam sekali , jururawat akan datang memberi ubat dan memeriksa tekanan darah serta bacaan gula aku. Tekanan darahku sudah stabil dan juga bacaan gula. Sarapan pagi roti dan air teh. Tiada apa-apa aktiviti yang boleh dibuat di luar bilik kerana pesakit dilarang berjalan-jalan di luar bilik demi menjaga keselamatan.
Seorang lagi pesakit dimasukkan ke Room 7. Pesakit ini seorang lelaki India berumur lingkungan 70-an dan sebelum ini katilnya bersebelahan katil aku di khemah besar. Nama pesakit ini, Subramaniam. Orangnya peramah dan pandai berbahasa Melayu. Dialah yang menjadi kawan berbual aku. Kebetulan, anaknya ialah bekas muridku semasa di Tingkatan 6 dulu. Kami semakin mesra seperti sudah lama mengenali.
Pesakit seorang lagi tidak bergaul dengan kami dan membuat halnya sendiri. Apabila aku tidak begitu 'melayan'nya , dia mula meminta uncle Subramaniam menolongnya membuka baju, mengambi tuala atau menutup lampu. Keadaannya 'sangat lemah' dan suaranya serak serta perlahan apabila bercakap. Sebenarnya, dia mampu bergerak sendiri kerana apabila berjalan dia lebih laju daripada aku. Selepas beberapa kali, uncle Subramaniam pun tidak lagi 'melayan'nya.
Seorang doktor pakar jantung melawat aku dan meminta aku melakukan xray pada petang itu. Jadi, aku hanya menunggu namaku dipanggil untuk dibawa ke unit xray di bangunan lama. Kira-kira pukul 6.45 petang, seorang jururawat meminta aku bersedia untuk dibawa ke unit xray menaiki ambulans. Beberapa hari ini ,sudah 3 kali aku 'meronda' dengan menaiki ambulans seperti grab. Aku diminta memakai pelitup muka yang diberikan oleh jururawat dan kami bergerak ke ambulans yang sedang menunggu di pintu pagar wad.
Ambulans bergerak laju menuju ke unit xray. Kami tiba di bangunan lama sekitar jam 6.50 petang. Jururawat berpesan kepada aku agar mengikutnya ke bilik xray.
" Pesakit Covid, semua keluar," jerit jururawat yang bertubuh kecil dan kurus. Suaranya bagai halilintar. Orang ramai yang sedang duduk di kiri dan kanan koridor kelam kabut keluar dari kawasan yang menjadi laluan kami. Kemudian, 5 orang anggota sekuriti membuat laluan untuk kami. Bunyi bising alat 'walkie talkie' mengiringi kami ke bilik xray. Sesekali, kami berhenti apabila ada yang melintas di laluan dan disergah oleh anggota sekuriti. Lima langkah jururawat lima langkah aku. Berhenti. Berjalan. Berhenti. Berjalan. Sepanjang laluan dikawal anggota sekuriti dan dikosongkan daripada orang ramai . Aku rasa macam Agong kerana dilayan sebegitu dengan kawalan ketat.
"Covid .Covid. Keluar. Keluar.," jerit anggota sekuriti bersahut-sahutan.
Aku tidak menunggu di luar bilik xray tetapi terus diarahkan masuk dan melakukan xray tidak kurang lima minit. Selesai xray, sekali lagi laluan dibuka dan aku berjalan pada jarak 3 meter di belakang jururawat. Apabila anggota sekuriti yang berada di depan kami lebih kurang 5 meter jerit ' Clear' baru kami bergerak . Kemudian berhenti. 'Clear' . Kami bergerak hingga menaiki ambulans semula. Orang ramai melihat kami dari jauh seperti makhluk asing. Baru kini dapat kurasakan betapa seronoknya jika menjadi seorang VVIP !.
Aku sampai di Room 7 ketika azan Maghrib berkumandang dari Masjid Ar Rahimiah Andalas. Aku mandi dan bersiap-siap untuk menunaikan solat Maghrib. Aku menggunakan penghadang ketika bersolat bagi keselesaan pesakit-pesakit lain di bilik yang sama. Esok masih menanti.





Comments
Post a Comment