Episod : Makwe Sekolah Sebelah
Dulu-dulu tahun 80-an, aku bersekolah menengah di SM Dato Hamzah,Pelabuhan Klang. Sekolah yang pelajar-pelajarnya lelaki sahaja. Manakala, sekolah sebelah-menyebelah pelajar-pelajarnya perempuan dan sekolah bercampur.
Sebagai pengawas sekolah ,tentulah agak bergaya dengan baju kemeja biru lengan panjang , seluar putih, kasut kulit hitam dan blazer biru ada logo sekolah sebesar tapak tangan. Duti yang paling ditunggu-tunggu ialah menjaga pagar sekolah pada sesi pagi.
Seawal jam 7.00 pagi, aku dan kawan aku Roy budak serani boleh tahan hensem macam Dato Hans Isaac selalu digandingkan bertugas di pintu pagar sekolah. Selain memeriksa pelajar-pelajar yang berbasikal atau berjalan kaki, mata kami turut memerhati makwe-makwe dari sekolah sebelah. Senyuman berbalas senyuman . Mata bertentang mata. Tapi, tak berani nak menegur atau bersembang.
Jarang-jarang sekali, pengawas yang menerima arahan duti menjaga pagar sekolah sanggup bertukar duti . Masing-masing , ada agenda tersendiri tapi pastinya agenda 'mengurat' .
Ada juga seorang dua yang berkenan di hati. Kebetulan kedua-duanya berjalan beriringan ke sekolah dan aku juga Roy rakan setugas. Sesekali berani juga melaungkan nama makwe yang berulang alik ke sekolah tetapi dibalas dengan senyuman . Itupun sudah dikira berbaloi di bawah terik mentari pagi. 'M' dan 'K' menjadi sasaran kami mengusik setiap pagi apabila mereka melintas di depan pagar sekolah.
Kami yang sememangnya dilatih berpakaian kemas sebagai pengawas sekolah oleh Puan Julie. Semua pengawas berambut kemas dan kelihatan segak. Kalau yang selekeh akan dipanggil ke pejabat oleh Puan Julie seumpama perunding fesyen.
Pernah juga kami dijemput ke sekolah sebelah untuk majlis persahabatan antara pengawas. Masing-masing sudah segak dengan blazer dan kami akan dibawa ke bilik khas. Pengawas-pengawas sekolah sebelah pun boleh tahan ' ayu' sambil tersenyum-senyum mengagihkan minuman kepada kami yang hadir meraikan jemputan . 'M' dan 'K' hanyalah pelajar biasa bukan pengawas. Majlis yang kami hadiri khusus untuk pengawas sahaja.
Tiada permulaan dan tiada pengakhiran . Usai peperiksaan SPM, masing-masing membawa haluan sendiri dan tidak lagi berselisih seperti setiap pagi kami bertugas di pagar sekolah . Namun takdir penentu segala apabila aku terserempak dengan 'M' yang sudah berkeluarga dan aku juga mengenali suami 'M' . Kami hanya tergelak apabila mengingatkan memori 30 tahun dahulu. Hanya ' K' aku tidak pernah bersua dengannya. Barang kali, ' K' sudah berpindah ke kota lain . Semoga 'M' dan 'K' bahagia bersama-sama keluarga. Amin.
Comments
Post a Comment