Episod : Selamat Hari Jadi
Rancangan ke Melaka sudah dirancang sebulan yang lalu sebelum Hari Deepavali. Aku memilih cuti Hari Deepavali kerana semua kelas tuisyen aku bercuti. Sebuah apartment telah disewa untuk satu malam berharga RM750.00 dengan ' breakfast' untuk enam orang dan tiket masuk 'water park' di dalam kawasan di TAHITI VILLA tempat penginapan kami.
Aku dan isteri sebuah kereta manakala dua buah kereta anak-anakku menyusul dari belakang. Perjalanan sangat lancar dan aku sampai di Tol Ayer Keroh sekitar jam 11.45 pagi dari Klang pada pukul 10.00 pagi. Kami sudah berjanji untuk berjumpa di restoran Cendol Kampung Hulu yang berdekatan Masjid Kampung Hulu.
Aku terus menuju ke apartment anakku , Mukriz di Bukit Beruang kerana dia dan kawan-kawannya menyewa di situ. Setiap hari mereka berulang alik ke UTeM yang terletak kira-kira 10 minit perjalanan dengan menunggang motosikal. Setelah itu , Mukriz mengambil alih tempatku sebagai pemandu menuju ke destinasi yang telah dijanjikan.
Aku sampai dulu dan kereta di parkir di sebelah Masjid Kampung Hulu. Jalan raya agak sesak kerana cuti hujung minggu dan ditambah cuti hari Isnin sempena sambutan Hari Deepavali. Pelanggan agak ramai dan hampir semua meja penuh dan terpaksalah aku menunggu giliran tempat duduk. Selepas 10 minit , barulah kami mendapat tempat duduk.
Isteriku memilih menu 'pasembur' dan cendol jagung. Aku memesan cendol jagung dan aku berkongsi 'pasembur' dengan isteriku. Anak dan menantu pun telah sampai dan kami makan tengah hari di situ. Seorang lagi anak dan menantu telah sampai di Bandar Hilir dan tidak menyertai kami kerana mereka hendak melawat tempat-tempat menarik di sana.
Usai makan, kami bergerak ke Bandar Hilir dan masalah pertama kami ialah parkir. Puas berpusing-pusing, akhirnya kereta diparkir di tempat letak kereta Melaka Parade. Kami berjumpa di padang Dataran Pahlawan dan pertama kali aku dan isteri menaiki beca berhias.Harga sewa sebuah beca RM25.00 dan kami dibawa meronda sampai bangunan merah dan berpatah balik melalui beberapa lokasi pelancongan di sekitar Bandar Hilir.
Jam menunjukkan pukul 4.30 petang, dan kami memasuki 'Mall Dataran Pahlawan' dan membeli beberapa barang keperluan di situ. Kami bergegas ke apartment yang sepatutnya kami 'check in' pada pukul 3.00 petang. Masalah kedua untuk keluar dari tapak parkir mengambil masa 30 minit kemudian mengadap jalan 'jem' yang teruk. Mukriz memandu sambil bersungut kerana jalan raya terlalu sesak.
" Orang Melaka memang pandu kereta motor perlahan," dengus Mukriz .
"Orang Klang je pandu kereta macam lipas kudung ," jawabku selamba sambil tersenyum.
Kami sampai di TAHILI VILLA pada pukul 5.45 petang dan keadaan di lobi apartment bagai pusat pemindahan banjir kerana penuh sesak dengan penyewa yang menunggu giliran . Pertama kali aku melihat penyewa terpaksa menunggu dengan nombor giliran seperti urusan di bank atau hospital. Akhirnya, kami mendapat kunci bilik pada pukul 7.00 petang. Kerani di kaunter memberitahu kami dibenarkan 'check out' lewat pada pukul 2.00 petang keesokan hari.
Apartment kami di tingkat 3 dan mempunyai 3 buah bilik dan 2 buah bilik air. Aku dan isteri mendapat bilik besar kerana aku yang "sponsor" sewa apartment itu. Kami makan makanan dan minuman yang dibawa dari rumah kerana kami tidak bercadang ke bandar memandang hari cuti panjang sudah tentu jalan sangat sesak.Aku dan isteri gembira dapat melihat anak menantu dan cucu-cucuku berkumpul. Sememangnya , aku sudah menetapkan setiap bulan kami sekeluarga akan berkumpul demi manjalinkan hubungan yang erat dan mesra. Kami mengadakan sambutan sederhana hari kelahiran Mukriz pada 21 Oktober lalu dan sebiji kek dihantar oleh 'grab food' .
Keesokan pagi, kami turun ke dewan yang menyediakan 'breakfast' dan sudah termasuk sekali dengan pakej sewa apartment dan tiket 'water park' . Suasana di dalam dewan padat kerana cuti umum dan ada satu dua keluarga India yang menyambut Hari Deepavali di sini. Kebetulan semalam , seorang kawan FB menyapa aku kerana dia juga akan menginap di apartment yang sama .
Pagi ini, #Tuan Haji Shahnon Mohamad menyapa aku di meja makan. Inilah pertama kali aku bersua wajah dengan rakan di alam maya. Tuan Haji Shahnon seorang pesara Jabatan Penerangan Malaysia dengan isteri dan seorang anaknya duduk di meja sebelah aku. Kami sempat berbual-bual mesra dan bertanya khabar seketika kerana dia mempunyai rakan- rakan dari Indonesia yang datang makan angin di Melaka untuk dilayan. Kami sempat bergambar dan bertukar-tukar nombor telefon dan berharap kami dapat berjumpa lagi pada masa akan datang.
Selesai 'breakfast' kami naik ke bilik untuk menyalin pakaian mandi. Masing-masing sudah teruja kerana kami dapat melihat 'water park' dari balkoni bilik. Orang ramai semakin ramai memenuhi segenap ruang kawasan 'water park' . Aku hanya melayan cucu-cucuku bermain air dan gelongsor. Namun, aku juga berhati-hati bagi mengelakkan air kolam termasuk ke dalam telingaku. Masalah 'infection' di telinga kiri dan kanannku masih dalam pemerhatian dan rawatan doktor tetapi keadaan sekarang semakin pulih.
Hampir jam 1.00 petang , kami meninggalkan 'water park' untuk bersiap-siap 'check out' pada pukul 2.00 petang . Sebelum pulang, kami singgah makan laksa dan cendol di warung sebelah masjid MITC . Mi goreng yang aku pesan tidak sampai dan akhirnya kami bergerak pulang ke Klang setelah menghantar Mukriz ke apartment sewanya. Perjalanan menuju ke Tol Ayer Keroh disambut dengan hujan lebat. Sepanjang jalan hujan turun tidak henti-henti dan semua R&R penuh dengan pengguna lebuh raya.
Perjalanan yang sepatutnya dua jam berlarutan hampir empat jam. Aku asyik melayan Radio Klasik yang dihos Azlan Omar dengan lagu-lagu 80 dan 90-an yang mengimbau memori lama. Kami sampai di Klang pada pukul 7.30 petang dan hujan sangat lebat. Sebelum pulang ke rumah, kami bersolat Maghrib dulu kemudian ke Restoran Thai untuk makan malam. Esok , kelas tuisyen berjalan seperti biasa dan bulan depan aku merancang untuk pulang ke kampung di Tumpat untuk menziarahi makcikku di Rantau Panjang. Aku menerima perkhabaran jam 2.00 pagi semalam bahawa pakcikku telah kembali ke rahmatullah. Al -Fatehah (dibaca).





Comments
Post a Comment