Episod : NO NO YES NO NO
Pagi ini, aku menghadiri janji temu dengan doktor
pakar Peadodontik di Klinik Aneka Klang. Kawasan parkir klinik sendat seperti
biasa. Aku memparkir kereta di hadapan sebuah tadika milik Majlis Perbandaran
Klang. Mataku mengintai-ngitai juga kalau ternampak Aiman , cucuku yang belajar
di tadika itu tetapi tiada sesiapa di halaman luar tadika. Aku berjalan
kira-kira 100 meter ke klinik dan naik ke tingkat 1.
Aku diminta mengisi sekeping borang tentang maklumat
diri dan sejarah kesihatan aku. Setelah itu, namaku dipanggil oleh seorang
pembantu doktor masuk ke bilik rawatan. Seorang doktor perempuan yang peramah
sudah menunggu aku di dalam bilik. Dua orang pembantu doktor sangat peramah dan
sentiasa tersenyum dengan gigi yang tersusun rapid an bersih. Oh, ya aku di
klinik gigi.
Aku diminta berbaring di atas kerusi khas yang boleh
dilaras kedudukannya. Aku ditemuduga oleh doktor pakar tentang catatan sejarah
kesihatan aku. Inilah kali ketiga aku ke klinik gigi setelah mengalami bengkak
gusi yang agak serius sejak sebulan yang lalu. Aku menerangkan satu persatu
tentang rawatan kemalangan jalan raya yang aku alami pada tahun 2017 dan kaki
kiriku dimasukkan beberapa batang besi, serangan jantung pada tahun 2019 yang
aku alami sebanyak dua kali selang seminggu, rawatan ENT yang sedang aku jalani
sekarang di KPJ. Doktor memerlukan maklumat ubat-ubatan yang aku ambil sebelum
pemeriksaan gigi atau rawatan dimulakan.
Di dalam hati berdebar-debar kalau doktor terpaksa
mencabut gigi aku pada pagi ini, Aduh , tiada lagi senyuman yang menjadi
sedekah selepas ini. Aku diminta memakai cermin mata hitam untuk mengelakkan
pancaran cahaya lampu di atas kepala aku. Doktor mula memeriksa gigi aku
menggunakan sejenis alat khas. Kadang-kadang aku berasa amat sakit apabila
batang besi mengenai gusi-gusi yang bengkak tetapi doktor sudah berpesan kepada
aku supaya mengangkat tangan jika berasa sakit. Aku disuruh berkumur-kumur
selama 30 saat dengan sejenis ubat cecair di sinki di tepi kerusi tempat aku
berbaring.
Pemeriksaan diteruskan dan pembantu doktor tadi
memegang sebuah fail biru berukuran A4 sambil mencatat laporan doktor. No, No,
No, No, Yes , No, No, Yes. Itulah yang aku dengar selama beberapa minit
pemeriksaan bermula. Kemudian, aku diminta berkumur-kumur lagi. 3 minus 1, 4
minus 1, 3 minus dan seterusnya ketika
doktor mengukur gusi dan gigi bagi menentukan masalah yang sedang aku alami.
“ Pernah tak buat ‘scaling’ di klinik ,” tanya doktor
seketika dengan suara yang lembut.
“Pernah doktor. 2 tahun yang lalu di Klinik Kesihatan
Botanic. Tapi, selepas itu saya tidak hadir untuk proses seterusnya,” jawabku
jujur.
“Kali terakhir awal bulan Oktober ini, “ sambungku
lagi.
Doktor hanya mengangguk kepalanya. Barang kali, aku
tidak meneruskan rawatan itu menyebabkan gusi dan gigi aku bermasalah, fikirku
sendiri.
“Punca gusi bengkak ini berkaitan dengan ubat-ubatan
yang Encik ambil,” kata doktor memberikan penerangan. Doktor menyambung
memeriksa gusi dan gigiku semula. “Bleeding, bleeding, No, Bleeding, No, “ kata
doktor sambil pembantunya mencatat di dalam sekeping kad biru. Pemeriksaan
hampir satu jam setengah selesai tanpa sebarang rawatan mencabut gigi.
“Masalah Encik tidak terlalu serius. Tapi, saya akan
rujuk Encik ke unit X-ray di Hospital Besar Tengku Ampuan Rahimah Klang (HBTAR)
untuk rawatan seterusnya.,” beritahu doktor.
“ Ada apa-apa soalan Encik hendak tanya?,” tanya
doktor sambil duduk berdepan denganku.
“ Bagaimana keadaan gusi saya sekarang?,” tanyaku sambil
memakai cermin mataku semula dan duduk di atas kerusi laras.
“ Gigi Encik OK hanya gusi yang bengkak di beberapa
tempat. Encik perlu memakai berus gigi ‘extra soft’ kerana berus gigi medium
tidak sesuai. Berus gigi yang lembut dapat menggosok hingga ke dalam gusi
kerana gusi dan gigi ada ruang di antaranya.
“Encik pegang cermin ini dan saya tunjukkan kepada
Encik, “ kata doktor sambil memberika cermin kecil berwarna biru yang dibeli di
kedai Eco2.0.
“Ini bahagian gusi yang bengkak dan bahagian yang
tidak bengkak. Inia da ruang kosong antara gusi dan gigi. Jika keadaan bengkak
gusi yang serius, tulang di bahagian bawah akan semakin ke bawah kerana gusi
membengkak, “ terang doktor dengan terperinci. Doktor mengambil sebuah replica gigi
plastik yang tertulis “ PEMILIK KERAJAAN MALAYSIA “ . Aku hanya tersenyum
kerana replica gigi itu sudah ada gigi yang hilang dan beberapa batang gigi
yang kehitaman dan kekuningan. Seram juga kalau replica gigi itu sebenarnya
rangka gigi orang yang sudah mati .!
Selesai doktor memberikan penerangan tentang cara-cara
menggosok gigi dan doktor meminta aku berhenti menggunakan pencungkil gigi
kerana itu tidak elok kepada kesihatan gigi. Doktor memberi sebatang berus gigi
yang mempunyai spring untuk mencungkil gigi. Pertama kali aku melihat benda
itu. Doktor berpesan kepada aku supaya hadir ke HBTAR untuk melakukan X-Ray
gigi kerana aku pernah ‘skip’ rawatan gigi di Klinik Kesihatan Botanik.
“Berapa lama rawatan ini , doktor?,” pertanyaan
terakhir sebelum aku keluar dari bilik rawatan itu.
“ Satu hingga tiga tahun, Encik,” jawab doktor sambil
tersenyum.
“ Terima kasih, Doktor dan ‘ Happy Deepavali in
advance’ , Doktor.”
“Terima kasih, Encik,” jawab doktor tersenyum.
“Encik boleh balik dan surat X-Ray ada di dalam sampul
surat. Tiada bayaran dikenakan,” beritahu pembantu doktor.
Aku meninggalkan klinik dan terus menuju ke kereta.
Isteriku sudah menunggu di dalam kereta hampir dua jam dan deretan kereta di
Jalan Tengku Kelana atau Little India Klang semakin memanjang. Jalan Tengku
Kelana ditutup sehingga Ahad ini sempena sambutan Hari Deepavali.
“Awak tak payah masak hari ini. Kita beli nasi ayam sahaja
di Andalas. Nanti malam kita makan di Restoran Cina Muslim,” kataku sambil
isteriku tersenyum gembira. Hari ini dia boleh gantung periuk kuali.
Comments
Post a Comment