Episod : KENA TARIK
Cabaran berniaga setiap orang berbeza-beza. Bagi aku , kelas tuisyen mengalami masa suram pada hujung tahun bermula Oktober hingga Januari. Kebanyakan ibu bapa akan mengambil cuti selepas selesai peperiksaan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR), Penilaian Tingkatan Tiga (PT3) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Takwim cuti sekolah bermula bulan November hingga Disember. Sepanjang cuti sekolah, ramai yang bercuti ke luar negara , balik kampung atau tidak hadir tuisyen untuk menjimatkan kos.
Situasi ini sudah kulalui belasan tahun sejak aku menceburi industry tuisyen, bak kata orang tua-tua ‘ untung sabut timbul untung batu tenggelam’. Sememangnya, aku mempunyai komitmen yang agak ektrim setiap bulan kerana aku perlu melunaskan hutang rumah-rumah dan kereta-kereta selain keperluan harian, sewa bangunan dan bayaran bil semasa. Lesen Majlis Perbandaran Klang (MPK) juga perlu dilunaskan setiap hujung tahun atau kelewatan membayar akan disusuli surat denda. Jadi, hendak tak hendak aku kena hadap situasi getir ini hampir setiap tahun.
Hendak dikatakan tidak berjimat-cermat atau menyimpan memang ada tetapi semua simpanan itu untuk kegunaan hujung tahun. Pendapatan dari bulan Oktober hingga Januari berkurangan hampir 80% dan sangat sukar untuk aku membuat ‘rolling’ dengan komitmen bulanan. Walaupun ada murid-murid tuisyen yang tetap hadir tetapi bilangan yuran mereka hanya cukup untuk membayar bil dan sewa bangunan yang berjumlah RM2000.00 sebulan.
Penyewa rumah pulak banyak buat hal. Hujung tahun begini mereka akan meminta tangguh ansuran bulanan kerana sebab-sebab tertentu. Ada yang memberikan alasan suami tidak pulang lama dan tidak meninggalkan wang sewa rumah. Aku pulak kena fikir masalah suami isteri ini seperti filem P.Ramlee , “ Saudara , mampu berbini dua tapi kenalah adil.”. Akhirnya , penyewa lari tengah malam.
Penyewa seorang lagi , setiap kali ke luar negara akan meminta tangguh bayaran sewa kerana perlu memakai duit poket. Penyewa ini membuat kerja ‘part time’ sebagai pemandu pelancong jadi aku terpaksa menunggu dia pulang dari luar negara untuk mendapatkan bayaran. Pada tahun 90-an belum ada sistem ‘transfer online’, jadi susah untuk berurusan dengan mereka. Jadi, terpaksalah aku mengadap kerenah mereka dengan hati yang cekal dan sabar walaupun aku tahu akan muncul pelbagai masalah.
Pagi itu, aku dan isteri sudah bersiap-siap hendak ke bandar Klang. Sebaik sahaja , kami keluar di simpang taman perumahan sebuah kereta Proton Iswara telah menghalang kenderaan aku. Tiga orang lelaki keluar dari kereta dan salah seorang daripada mereka memegang sekeping kertas.
“ Encik , maaf ye. Kami dari bank hendak tarik kereta Encik,” kata salah seorang daripada mereka yang memakai spek seperti pensyarah university dengan wajah baik.. Semua ini hanyalah satu lakonan bagi mengelakkan pemiutang berasa marah.
“Esok la saya bayar,” rayuku. Isteriku hanya mendiamkan diri di sebelah aku.
“Kereta Encik kami kena bawa balik ke bank,” kata ketua mereka.
Dua orang lagi rakannya berdiri di depan kereta dan seorang di sebelah pintu penumpang. Lelaki yang bercermin mata terus mencabut kunci kereta TOYOTA UNSER. Perasaan aku amat sedih kerana pertama kali aku berhadapan dengan situasi itu. Hutang ansuran kereta sudah melebihi tiga bulan. Aku meminta mereka menerima wang penyelesaian supaya esok aku boleh membuat bayaran ansuran tertunggak. Mereka berbincang sesame mereka dan akhirnya mereka bersetuju dengan tawaran aku.
Ketua mereka meminta aku keluar kereta kerana dia sendiri hendak memandu kereta aku manakala isteriku duduk di bahagian belakang sambil seorang lagi duduk di sebelah isteriku. Kereta Proton Iswara mengekori dari belakang. Aku tidak berkata apa-apa kerana fikiranku amat berserabut ketika itu. Otak aku ligat untuk memikirkan janji hendak menyelesaikan hutang tertunggak esok. Anak-anak masih bersekolah dan barang kemas sudah bersilih ganti masuk Ar-Rahnu.
Aku dibawa ke sebuah bank di Taman Sri Andalas dan lelaki itu mengajak aku ke bank untuk mengeluarkan duit di mesin ATM. Mereka meminta aku membayar RM300.00 kerana mereka bertiga. Dalam simpanan tak lebih RM400.00 . Wang aku keluarkan kuberikan kepada mereka walaupun aku meminta mereka mengurangkan RM200.00 tetapi wajah ketua mereka yang mulanya baik seperti menahan marah seolah-olah aku cuba mempermainkan mereka. Selepas aku memberikan kesemua wang di tanganku, mereka berlalu pergi sambil berpesan kepada aku supaya membayar ansuran tertunggak esok.
Sepanjang jalan pulang ke rumah, aku dan isteri tidak bercakap apa-apa. Masing-masing melayan perasaan sendiri. Apa yang terjadi kepada aku telah aku ceritakan kepada sahabat karibku “Mr.K” tetapi dia tidak membantu aku kerana dia juga sedang berhadapan dengan masalah kutipan hutang daripada pelanggan-pelanggannya. Aku menghubungi seorang lagi sahabat karibku ,”Mr.P” dan dia meminta aku datang berjumpanya untuk meminjam wang yang aku perlukan. Dia berasa simpati kepada aku atas apa yang terjadi dan dia memahami situasi aku. Aku telah berjanji akan memulangkan wangnya semula secara ansuran.
Keesokan harinya, , aku ke bank untuk menjelaskan hutang ansuran tertunggak kereta aku. Aku terfikir juga kalau penyewa rumah-rumahku membayar sewa mungkin hal ini tidak berlaku tetapi aku redha saja kerana bagiku inilah ujian dan cabaran hidup. Tahun demi tahun berlalu, aku berjaya keluar daripada masalah itu dengan mengambil nasihat ‘Mr.P’ dan “Mr.K” yang tidak pernah ‘meninggalkan’ aku dalam apa jua situasi.
Kejadian ni tidak aku ceritakan kepada anak-anakku kerana biarlah semua ini aku dan isteri menghadapinya. Susah senang isteriku tetap setia bersama-sama aku. Gelang, rantai dan cincin semuanya sudah ke dalam Ar-Rahnu. Namun , semua itu menjadi semangat kepada kami berdua. Semua barang kemas telah kutebus satu persatu dan menjadi taruhan jika datang sesuatu masalah kewangan. Itulah pertama kali dan kuharap kali terakhir pengalaman kereta kena tarik oleh pihak bank.
Apabila aku duduk bersendirian, aku akan tersenyum sendiri apabila mengenang peristiwa yang berlaku kerana banyak pengalaman yang aku alami telah menjadi titik tolak kepada perubahan hidup sekarang ini. Allah hendak menguji hambanya kerana “Jangan kamu menyangka kamu sudah beriman selagi kamu belum diuji .”
Comments
Post a Comment