Episod : Anak Saya
Setiap hari, ayah berulang-alik dari rumah di Jalan Kem , Pelabuhan Klang ke Pelabuhan Utara dengan berbasikal. Tidak kira siang atau malam , hujan atau panas. Itulah, ayah. Ayah tidak pernah mendapat pendidikan formal di sekolah. Pengalaman hidup ayah ialah sekolahnya yang sebenar.
Setelah beberapa ketika , aku menaiki van sekolah yang dipandu oleh rakan sekerjanya dulu yang sudah pencen. Ayah akan memimpin aku menaiki tangga bas dan memastikan aku mendapat tempat duduk paling hadapan di belakang pemandu van . Namun, ayah sentiasa menyediakan keperluan sekolahku.Ayah membelikan aku sebuah beg kotak berpetak-petak warna merah, alat-alat tulis dan buku tulis. Semuanya serba cukup.
Buku-buku teks pula dibalut dengan kertas putih seperti kertas majong. Ayah akan membawa pulang kertas putih yang sudah digunakan di gudang untuk membalut buku-buku teks sekolah. Pada ayah , buku-buku itu mengandungi ilmu yang tinggi. Ayah sangat menghargai ilmu.
Apabila aku menyambung pelajaran ke sekolah menengah, ayah memberikan basikalnya kepadaku. Setiap hari , aku pula menunggang basikal ayah manakala ayah berjalan kaki ke perhentian bas Pelabuhan Klang. Ayah akan membawa sebuah topi keledar dan menumpang motosikal kawannya ke tempat kerja. Begitulah rutin ayah pergi bekerja dan aku mengayuh basikal ke sekolah.
Diam tak diam , aku sudah berada di Tingkatan 3 di Sekolah Menengah Dato Hamzah, Pelabuhan Klang.Tahun ini aku bakal menduduki peperiksaan penting, Sijil Rendah Pelajaran (SRP). Ayah menghantar aku ke kelas tuisyen Matematik yang terletak di sebuah gudang membuat guni tali jut. Aku tidak pernah bertanya ayah cukupkah wang untuk membayar yuran tuisyen.
Akhirnya, aku berjaya mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan SRP pada tahun 1982. Aku mendapat keputusan A bagi subjek Matematik.Aku dipilih ke tingkatan empat aliran Sains. Ayah membawa aku ke kedai jam tangan dan membelikan aku seutas jam bertali besi . Itulah jam tangan pertama aku.
" Ini anak saya," beritahu ayah kepada tauke kedai jam .
" Dia pass SRP . Anak saya pandai, " kata ayah dengan bangga.
Aku agak lalai semasa berada di tingkatan empat dan apabila aku di tingkatan lima barulah timbul kesedaran untuk belajar dengan bersungguh-sungguh. Benarlah kata orang tua-tua, nasi sudah menjadi bubur. Aku gagal mendapat keputusan yang baik dalam SPM tahun 1984 dan tidak berpeluang menyambung pelajaran ke universiti. Sebagai anak lelaki sulung, ayah menaruh harapan tinggi terhadapku.
Ayah telah bersetuju dengan permintaan aku untuk meneruskan pelajaran di tingkatan enam di sekolah swasta. Walaupun ibuku membantah hasratku tetapi ayah tetap dengan keputusannya menyokong hasratku. Ibuku lebih suka kalau aku mengulang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Ayah memberikan wang tambang bas setiap hari apabila aku menyambung pelajaran tingkatan enam di Institut Hafiz ,Klang.
Aku mendapat keputusan yang agak cemerlang dalam STPM tahun 1986 dengan empat prinsipal tidak termasuk subjek ekonomi. Namun , peluang untuk melanjutkan pelajaran ke universiti tidak juga kesampaian . Ayah telah pun pencen bekerja pada usia 60 tahun. Genap umur ayah 65 tahun, ayah telah pergi meninggalkan kami buat selama-lamanya akibat serangan jantung.
Tinggallah aku menggantikan ayah menguruskan keluarga. Seminggu sebelum ayah meninggalkan dunia ayah muncul di dalam mimpiku dan berpesan kepadaku supaya menjaga keluarga. Mimpi itu tidak kuceritakan kepada sesiapa sehinggalah ayah meninggal dunia baru aku tersedar tentang mimpi itu.
Dua tahun selepas ayah pergi buat selama-lamanya aku mendapat tawaran menyambung pelajaran di Umiversiti Putra Malaysia setelah menunggu selama 19 tahun . Aku berasa sebak kerana kejayaan aku memasuki universiti tidak dapat kukongsi dengan ayah . Hanya ibuku dan isteriku yang menemani aku menerima ijazah pada hari konvokesyenku. Semoga roh ayah dicucuri rahmat allah swt. Amin Ya Rabbal Alamin.
Comments
Post a Comment