Episod:Perjalanan ini (2)

Hari kedua di KB. Jam 8.00 pagi, aku sudah 'stand by' untuk mencari sarapan. Anakku merangkap pemandu sudah menghidupkan enjin kereta. Kami bercadang hendak ke Pasar Kubang Pasu (seperti cadangan sahabat FB Kak Wan Zainun Wan Saupik ). Kereta dipandu dengan bantuan waze menuju ke Pasar Kubang Pasu. Pelbagai jenis kuih tradisional Kelantan dijual. Aku membeli sedikit kuih-muih dan sate untuk dibawa ke rumah sepupuku di Pasir Mas.
Aku menyuruh anakku memandu kereta ke Kopitiam Kita untuk menikmati roti titab. Malangnya, orang ramai sudah beratur panjang lamu kami meronda-ronda di sekitar Bemban dan singgah makan nasi kerabu dan nasi dagang. Terdapat sebuah pasar awam , iaitu Pasar Berek 12.
Rancangan asal aku adalah hendak meronda di dalam kampung mencari nasi kerabu original tidak kesampaian. Harga makanan dan minuman sudah naik. Anakku terus memandu ke rumah sepupuku, Kak Aya dan suaminya, Abang Fauzi. Kehadiran kami disambut mesra seperti selalu dan sudah ada hidangan sarapan pagi. Pulut dan mi goreng serta ketupat kuah kacang .
Jam di tangan menunjukkan pukul 10 pagi. Kami berbual-bual sambil bertanya khabar kaum kerabat di Kelantan. Kali ini aku tidak sempat untuk menziarahi saudara mara di Tumpat, Rantau Panjang, Tumpat dan Pasir Pekan memandangkan kami akan ke Setiu, Terengganu.
Kami meminta diri dengan tuan rumah untuk bergegas pulang ke KB. Jam 12 tengah hari 'check out' di Ridel Hotel yang terletak bersebelahan Sungai Kelantan. Kami menuju ke Pasar Siti Khadijah. Orang ramai berkerumun membeli barang keperluan dan buah tangan. Sebenarnya, aku ke pasar untuk membeli keropok ikan parang kegemaran ibu mentuaku dan sedikit buah tangan untuk kawan-kawan.
Kedai-kedai emas dikerumuni pelanggan umpama semut mendapat gula. Aku terkenang arwah ibuku . Aku membelikannya seutas gelang tangan untuknya pada awal perkahwinanku tahun 1989.
"Mok pilih mana mok suka," wajahnya ceria mendengar kata-kataku.
" Mahal-mahal," katanya.
"Mok pilih mana-mana mok suka," ulangku lagi.
"Mok pilih yang ini," kata ibuku sambil menunjuk seutas gelang besar di dalam cermin pameran.
"Mahal tak?," tanya ibuku lagi.
"RM2600 , encik," beritahu pekerja Kedai Emas Cap Ayam sederet BSN.
"Ok. Aku menghulurkan wang dan aku memakaikan gelang emas di tangan ibuku yang tersenyum-senyum gembira. Seutas rantai leher emas dengan sebuah kalung kubelikan juga untuk isteriku juga. Nostalgia itu lenyap apabila bunyi hon kereta yang bersimpang-siur di jalan yang sesak.
Tidak lama kemudian, jam 1 petang kami singgah makan tengah hari di Restoran Cikgu yang terkenal itu. Puas juga mencari tempat duduk kerana terlalu ramai pelanggan. Menu makan tengah hari, gulai ikan keli, keli goreng sebesar lengan, budu dan ulam-ulaman. Sepotong tembikai dan air bandung satu jag. Semuanya RM27 .Murah sangat. Usai makan, kami bergerak ke Terengganu. Jarak antara KB ke Setiu lebih kurang 2 jam setengah.
Jam 4.30 petang kami sampai di rumah jiranku yang menjemput aku dan jiran-jiran di Klang ke majlis walimatulurusnya yang akan berlangsung pada hari Sabtu di Setiu.Aku disambut mesra dan kami berpeluk-pelukan. Jiranku ini membina sebuah rumah baru di kampung asalnya. Pada setiap bulan, dia akan pulang ke Klang untuk berjumpa keluarganya kerana dia bertugas di Terengganu. Biasanya, kami akan keluar mengeteh jika dia pulang ke Klang.
Kami dihidangkan laksam dan kuih-muih tradisional. Seorang demi seorang jiran dari Klang telah sampai . Kami berbual-bual mesra dan membincangkan rancangan untuk ke Tasik Kenyir keesokan hari. Sekitar jam 6.30 petang, kami menuju ke Desa Kekabu Resort Inn tempat penginapan kami. Sebanyak 5 buah kereta dan 25 orang ahli rombongan ikut serta. Kami sampai betul-betul sewaktu azan Maghrib.
Usai solat, kami beramai-ramai keluar untuk makan malam. Suasana gelap menyebabkan kami tersesat dan akhirnya kami singgah makan di sebuah kedai makan tomyam setelah bertanya kepada beberapa orang pelanggan sebuah kedai runcit. Masing-masing membuat pesanan makanan dan minuman Setelah dikira jumlah keseluruhan RM200 dan kami membayar 'tong-tong' . Kami pun pulang ke resort untuk berehat dan keesokan pagi kami merancang untuk bermandi - manda di sebatang sungai kecil di tepi resort sebelum ke majlis akad nikah anak jiran kami. Badan baru berasa letih dan esok ada beberapa program yang sudah diatur.

Comments

Popular posts from this blog