Episod : Perjalanan ini
Perjalanan ini bagi memenuhi jemputan walimatulurus jiran aku di Bukit Tinggi. Majlis bakal berlangsung pada hari Sabtu tetapi aku membuat keputusan untuk singgah di Kota Bharu semalaman. Perancangan awal hendak bergerak pukul 7.00 pagi tetapi terlajak 8.00 pagi baru nak keluar rumah. Langit kelihatan mendung dan hujan renyai-renyai.
Kereta dipandu anak lelaki sulungku kerana dia cekap memandu. Walaupun dia masih belajar di UTeM ,Melaka tetapi pada hari cuti semester kadang-kadang ada kawan atau jiran yang meminta khidmatnya sebagai pemandu peribadi. Perjalanan melalui NKVE lembab bagaikan siput. Hujan turun sangat lebat. Kami menghabiskan masa hampir sejam untuk melepasi kesesakan jalan raya dari Shah Alam ke Lebuhraya Duke. Kereta memasuki Lebuhraya Karak sekitar 10 pagi. Kenderaan tidak banyak tetapi hujan berterusan sepanjang jalan. Pemandu memandu kereta dengan berhati-hati memandangkan jalan licin dan berbengkang-bengkok.
Kami sampai di Kedai Lemang To'Ki sekitar jam 11.30 pagi. Sememangnya aku sudah berniat untuk bersarapan di situ . Ini merupakan persinggahan kali kedua. Kami menikmati sarapan lemang dengan rendang ayam dan rendang daging. Usai bersarapan, kami bergerak ke Raub dan tiba di persimpangan sepasukan anggota polis melakukan 'roadblock'. Seorang anggota polis meminta lesen dan kad pengenalan pemandu. Perjalanan diteruskan tetapi jalan menuju ke Gua Musang ditutup. Perjalanan yang lancar tertanggu oleh lori-lori balak. Kami singgah di sebuah stesen minyak . Hajat di hati hendak membuang air kecil terpaksa aku lupakan apabila aku kena 'scam' dengan sekumpulan makcik.
Selepas 66km keluar dari Lebuh raya Chegar Perah -Gua Musang barulah aku dapat melepaskan hajat di sebuah stesen minyak di Kuala Krai. Perjalanan diteruskan dan makan tengah hari kami 'tangguhkan ' ke petang. Setelah hampir 10 jam memandu kami sampai ke Ridel Hotel Kota Bharu pada jam 5.00 petang. Kami 'check -in ' hotel dan terus mencari kedai untuk makan ' tengah hari.'. Kami menjamu selera di Restoran Salai House. Menu salai itik dan keli berlada menjadi pilihan kami. Usai makan kami mengangkat beg-beg ke dalam bilik hotel.
Pada pukul 6.30 petang ,aku mengajak isteriku dan anakku untuk keluar berjalan-jalan. Mukriz 'pemandu' sudah 'pengsan' kepenatan. Kami bersiar-siar di sekitar Istana Jahar. Kemudian kami melewati kedai-kedai yang menjual peralatan ibadah di seberang Masjid Muhamadiah. Azan Maghrib berkumandant. Muncul seorang makcik sekitar umur 60-an . Kami hendak melintas jalan dan makcik itu duduk di sebelah isteriku. Isteriku bertanya sama ada makcik itu hendak melintas jalan sama. Kami sama-sama melintas jalan dan aku mencuit anakku, Eiman supaya berdiri di sebelah isteriku dan aku di bahagian depan . Makcik itu masih mengekori kami. Aku berbisik kepada isteriku agar berjalan pantas kerana aku berasa pelik melihat makcik itu sama pantas mengekori kami. Aku menarik tangan isteriku melintas jalan dan makcik itu berpatah balik. Makcik itu mengekori kami dari masjid hingga ke hotel penginapan kami.
Usai solat jamak , aku mengajak isteri dan anakku turun makan malam. Mukriz masih hendak berehat di bilik kerana keesokan hari kami akan bergerak ke Terengganu pula. Mukriz sebagai pemandu perlukan kerehatan yang secukupnya. Cadangan aku hendak merayau-rayau sekitar bandar Kota Bharu dan Wakaf Che Yeh tetapi dibatalkan kerana kesukaran mendapatkan parkir berdekatan hotel. Kami berjalan kaki ke arah kawasan Istana Jahar. Di situ kami makan malam di sebuah warung Kak Ah Nasi Air dan Nasi Berlauk. Menu makan malam kami, nasi air perut dan nasi air keting. Tomyam dan telur dadar.
Usai makan, kami berjalan kaki pulang ke hotel. Aku mengajak isteri dan anakku melepak di hadapan hotel. Tetdapat deretan kedai memjual pelbagai jenis makanan dan minuman. Sepuluh minit menanti tiada pelayan yang datang ke meja kami tapi tuan kedai sibuk mempelawa rombongan yang lebih ramai singgah makan. Aku mengajak isteri dan anakku naik ke bilik. Tanpa tidak sengaja, aku terserempak kawanku dari Klang bersama-sama keluarganya. Mereka datang ke Kelantan atas urusan walimatulurus kerabat mereka. Selepas berbual-bual pendek, kami naik ke bilik untuk berehat.
Aku mandi sebelum masuk tidur yang sudah menjadi tabiat aku sejak bujang dulu. Tubuhku mesti dalam keadaan bersih sebelum tidur. Aku mendapat panggilan telefon dari sepupuku di Pasir Mas. Dia mengajak kami singgah ke rumahnya pagi esok. Mata pun sudah berat. Esok cerita lagi.
Comments
Post a Comment