Episod: Perjalanan Ini (5)
Hari ini ialah hari terakhir aku bermusafir selepas lima hari merentas tiga buah negeri, Kelantan, Terengganu dan Pahang. Berbagai-bagai pengalaman dan peristiwa yang aku alami. Usai solat Subuh, aku menyambung tidur semula kerana kepenatan. Sekira-kira jam 10 pagi, aku mengajak isteri dan anakku mencari sarapan di bandar Kuantan.
Tiada destinasi tertentu sebaliknya aku mengikut panduan disediakan Google tempat-tempat makan viral. Anakku membantu aku menuju ke sebuah restoran yang dikatakan menyajikan nasi lemak yang sedap. Kami sampai di #Restoran Kita di tengah-tengah bandar. Pelanggan agak ramai dan aku memilih tempat duduk di sebelah meja pasangan suami isteri yang sudah bergelar warga emas.
"Apa khabar, uncle," sapaku dengan ramah.
"Khabar baik, encik," jawab pakcik itu dengan mesra. Isterinya tersenyum gembira.
"Uncle asal orang sini," tanyaku spontan.
"Saya asal orang Pekan . Isteri saya asal Kuantan. Saya kenal Tun Razak," kata pakcik itu dengan bersungguh-sungguh.
"Itu Dato Mokhtar, kawan baik saya. Kalau jumpa marah saya," sambung uncle itu lagi sambil ketawa terbahak-bahak. Isterinya juga ketawa.
"Tapi dulu Tun Razak sangat baik. Tapi, sekarang sudah tak macam-macam tak baik," sampuk isteri pakcik.
"Itu Dato Mokhtar marah sebab sayang sama uncle," kataku sambil ketawa.
" Ya.Ya. Dia sayang sama saya," jawab pakcik itu lagi.
"Itu Tuhan Allah pun sayang sama kita," kataku lagi.
"Betul. Betul. Cakap, encik. Tuhan Allah sayang ," kata pakcik dengan wajah ceria.
" Encik, kerja apa?," tanya isteri pakcik yang duduk di sebelahku.
"Saya, cikgu," jawabku ringkas.
"Oh, patutlah ,cikgu. Cakap pun baik-baik," katanya lagi.
"Cikgu dari mana?," tanya pakcik .
"Saya dari Klang,Selangor. Tinggal di Bukit Tinggi," jawabku.
"Uncle aunty pernah pergi Klang?," tanyaku pula.
"Kita orang ada saudara sana. Tapi tak tahu mana tempat," jawab isteri pakcik.
Suasana diam seketika.
"Sini nasi lemak sangat sedap. Saya cakap betul punya," kata pakcik itu. Aku dan isteri ke meja makcik yang menjual nasi lemak. Aku memilih nasi lemak , sambal sotong dan daging. Isteriku memilih nasi lemak dan telur mata. Isteriku menjaga makan minumnya sejak berkahwin. Air suam minuman rasminya. Dari dulu hingga sekarang anak lima cucu enam sama saja. Anakku memilih nasi dagang kerana dia memang hantu nasi dagang.
"Sedap tak nasi lemak," tanya isteri pakcik.
"Sedap juga," jawabku.
"Mana lagi sedap. Nasi lemak sini atau Klang?," tanya isteri pakcik.
"Klang lagi sedap," jawabku yakin. Pakcik itu tersenyum mendengar jawapanku kerana dia yang rekomen aku makan nasi lemak di restoran itu.
" Hah, saya sudah cakap. Cikgu mesti sayang dia punya 'hometown'.Cikgu tak lupa dia punya kampung ke mana-mana dia pergi," kata isteri pakcik sambil tersenyum.
"Ini cikgu orang baik. Saya baru kenal sudah suka sama cikgu," kata pakcik.
" Ini kad tuisyen saya," kataku sambil menghulurkan sekeping 'name card'.
"Oh, Cikgu Azmi. 35 tahun sudah jadi Cikgu. Ini sangat banyak pengalaman," kata pakcik sambil membelek-belek 'name card' aku di tangannya.
"Boleh minta lagi kad," kata pakcik.
"Eh, janganlah minta banyak-banyak," kata isteri pakcik.
"Tak pe. Saya ada 1000 keping kad di rumah," kataku sambil tersenyum.
"Nantip saya mahu bagi kepada kawan-kawan di Pekan , Raja dan Dato," kata pakcik itu lagi dengan perasaan gembira.
"Ok, cikgu. Kami hendak balik dulu," kata pakcik.
"Siapa nama uncle?," tanyaku semula.
" Nama saya Maniam . Asal orang Pekan,Pahang," kata pakcik itu tersenyum.
"Tak pe uncle. Saya bayar. Saya bayar," kataku hendak membayar sarapan mereka.
"Terima kasih banyak-banyak, Cikgu," ucap pakcik Maniam dan isterinya. Kami bersalam-salaman. Usia mereka sudah hampir 80 tahun dalam perkiraan aku. Perkenalan yang singkat dan cukup bermakna.
Selesai makan dan membayar harga makanan, kami melintas jalan menuju ke pasar pagi. Banyak peniaga pakaian bundle, kasut dan beg. Kami tidak lama di situ kerana cuaca tadi mendung semakin panas. Aku memandu kereta ke arah tepi sungai di tengah bandar dan mengambil beberapa gambar sebagai kenang-kenangan.
Jarum jam menunjukkan pukul 11.30 pagi. Kami kembali ke hotel penginapan untuk 'check out' . Perjalanan pulang ke Klang dipandu oleh anakku,Mukriz. Hujan di beberapa tempat. Kami berhenti solat selepas tol Lancang dan kemudian meneruskan perjalanan. Waze menunjukkan jalan sesak ke arah Bentong kerana berlaku kemalangan. Jalan melalui Lancang kurang elok kerana sempit dan banyak kenderaan arah ke Pantai Timur dan arah ke Kuala Lumpur.
Selepas lima jam, kami sampai di bandar Klang dan singgah makan di #Restoran Cina Muslim Anuar Tho sebelum pulang ke rumah. Perjalanan ini suatu rahmat yang menemukan aku dengan beberapa orang istimewa dan pengalaman baharu yang sangat menarik. Esok aku akan ke UTC, Shah Alam untuk mengambil pasport antarabangsa kerana minggu hadapan kami akan merentas negara pula.
Comments
Post a Comment