Episod: Perjalanan Ini (4)

Pagi ini , aku dan ahli rombongan mengambil kesempatan untuk bermandi-manda di sungai kecil di dalam kawasan Desa Kekabu Resort Inn. Pihak resort menyediakan sarapan nasi lemak dan ayam goreng. Seawal jam 8.00 pagi, aku sudah berendam di dalam sungai yang arusnya agak deras kerana malam semalam hujan. Air sungai juga agak dalam pagi ini. Sekejap-sekejap aku naik ke atas ruang makan untuk menikmati sarapan dan teh 'o' panas.
Jarum jam menunjukkan pukul 10.30 pagi. Aku kembali ke bilik nombor 05 untuk membersihkan diri dan bersiap-siap ke majlis resepsi walimatulurus jiranku. Semua beg pakaian sudah dikemaskan dan dimasukkan ke dalam but kereta. Kami sempat bergambar kenang-kenangan sebelum bergerak secara konvoi ke Dewan Majlis Daerah Setiu. Jalan raya agak sesak dan perlahan . Kami sampai di tempat majlis sekitar jam 12.30 tengah hari.
Kami diarahkan ke bahagian parkir khas di tepi bangunan oleh beberapa orang anggota polis trafik. Acara perarakan pengantin sedang berlangsung diiringi paluan kompang dan rebana. Aku disambut oleh tuan rumah dan juruacara majlis turut mengumumkan ketibaan kami rombongan dari Klang. Acara persandingan berjalan dengan meriah dan pengantin perempuan yang kami kenali sejak kecil sedang duduk di atas pelamin dengan pasangannya.
Juruacara majlis turut mengumumkan dan mempersilakan aku dan isteri sebagai wakil rombongan dari Klang untuk naik ke pentas bagi menyempurnakan acara salam restu pengantin. Setelah itu, aku menikmati makanan dan minuman yang pelbagai jenis disediakan oleh tuan rumah. Hampir 12 buah stall makanan di ruang luar dewan. Sebelum meninggalkan majlis itu, kami sempat bergambar beramai-ramai dengan keluarga pengantin perempuan sebagai kenang-kenangan.
Tengku Temenggung Terengganu tiba di dewan dan disambut oleh keluarga pengantin. Kami pun bergerak ke destinasi masing-masing.Rancangan awalku hendak ke Kuantan,Pahang dan bilik hotel juga sudah ditempah 2 minggu sebelumnya. Dalam perjalanan ke Kuantan , aku singgah di Cherating dan sebenarnya agak lama aku tidak ke Cherating. Aku menikmati air kelapa sambil menyaksikan pemandangan indah ciptaan Allah di sekitar Pantai Cherating. Hanya 45 minit , kami meneruskan perjalanan ke Kuantan dan tiba sekitar jam 6.45 petang di #Skytree Hotel. Persinggahan di Cherating agak melengahkan masa kerana sepatutnya kami boleh sampai awal di Kuantan.
Setelah check-in, kami membersihkan diri dan berehat sementara menunggu masuk waktu Maghrib untuk solat berjemaah. Kami keluar dari bilik hotel untuk mencari pot makan malam. Aku meminta anakku memandu ke #Restoran Ala Dudek tetapi malangnya restoran itu tidak beroperasi pada malam ini. Kami bergerak ke #Restoran SateZul. Banyak pelanggan di dalam dan di luar restoran. Aku memesan sate ayam dan kambing serta nasi lemak sebagai hidangan makan malam.
Kami bergerak pulang ke hotel dan sempat singgah di tapak jualan makanan dan minuman bersebelahan hotel penginapan kami. Tiada apa-apa yang menarik di situ. Aku dan isteri diturunkan di hadapan hotel kerana anakku hendak membasuh pakaian kotor di kedai dobi. Aktiviti malam ini berehat secukupnya kerana esok kami akan bergerak pulang ke Klang dan mengakhiri perjalanan selama 5 hari yang sangat menyeronokkan ke Tasik Kenyir buat pertama kali dan cukup meletihkan. Selama di Terenganu perjalanan ini telah disponsor dan semoga jiran kami ini dimurahkan rezeki. Amin Ya Rabbal Alamin.

Comments