Episod: Perjalanan Ini (3)
Hari ini hari kedua aku di Terengganu. Hari ini juga paling sibuk dengan majlis pernikahan anak sulung jiranku dan aktiviti menaiki houseboat ke Tasik Kenyir. Aku sudah menjangkakan tentulah hari ini paling memenatkan. Seawal jam 7.30 pagi, aku sudah bermandi-manda di sungai bersebelahan Desa Kekabu Resort Inn. Air sungai yang jernih dan bersih.
Setelah puas berendam di dalam sungai, aku dan isteri bersiap-siap untuk menghadiri majlis pernikahan anak sulung jiranku yang diadakan di rumahnya. Semua tetamu dan pihak pengantin lelaki juga sudah sampai. Acara akad nikah berjalan lancar dan tuan rumah menyediakan sarapan pagi untuk para tetamu. Aku yang berpakaian baju Melayu lengkap bersampin menemani ustaz yang juga jurunikah dan seorang lagi ustaz bekas hakim tilawah Al Quran negeri Kelantan makan di meja khas yang disediakan oleh pihak 'caterer'.
Sesi bergambar bersama-sama pengantin dan kejiranan Bukit Tinggi Klang berlangsung meriah. Usai bergambar, kami bergegas ke Jeti Tasik Kenyir bersebelahan jeti Polis Marin. Sebelum itu, kami berhenti menyalin pakaian di surau stesen Shell. Jarak perjalanan ke jeti lebih kurang 45 minit. Rombongan kami disambut oleh Tuan OCPD yang peramah di atas houseboat yang baru siap dibina dan dirasmikan. Reka bentuk houseboat ini sangat unik kerana badannya sebuah bas dan siap dengan setering yang sudah diubah suai.
Lawatan ke Tasik Kenyir ini disponsor oleh tuan rumah. Hidangan makanan dan minuman juga disediakan di sepanjang lawatan sehari. Berbagai-bagai kemudahan disediakan seperti bilik karaoke , bilik tidur sebanyak 12 buah di tingkat bawah dan atas. Houseboat ini setinggi dua setengah tingkat. Terdapat lima orang krew di atas houseboat.
Angin yang agak kencang sungguh mendamaikan. Cuaca mendung tetapi tidak hujan. Kami singgah di Pulau Taman Herba. Di situ terdapat sebuah pondok herba. Tiga buah botol berisi air rebusan Tongkat Ali asli, Mahkota Dewa dan Kacip Fatimah. Kami semua merasai minuman herba yang pahit dan kelat itu secara percuma.Seorang petugas memberikan sedikit penerangan tentang pokok-pokok herba yang ditanam dan diijual di kedai cenderamata.
Kami menaiki bot semula menuju ke kawasan air terjun. Di situ sudah ada beberapa buah houseboat yang diparkir di tepi tasik.Aku mendaki tangga-tangga batu menuju ke tempat air terjun sambil tercungap-cungap kerana kepenatan dan kurang oksigen. Akhirnya, sampai juga di kawasan air terjun. Sebenarnya, aku dan beberapa ahli rombongan tidak dimaklumkan awal akan berhenti bermandi-manda di kawasan itu. Jadi, aku menjadi penonton sahaja kerana tidak membawa baju mandi. Selepas sejam setengah di kawasan air terjun, kami kembali ke houseboat.
Dua buat bot membawa kami keluar dari kawasan air terjun ke houseboat yang kami naiki. Kami meronda-ronda di kawasan tasik dengan menaiki bot satu enjin. Perasaan seronok sukar untuk digambarkan. Berulang-ulang kali kami meronda kerana pakej itu sudah termasuk meronda menaiki bot. Kemudian, beberapa ahli rombongan bermandi-manda di sekeliling bot sambil diawasi oleh krew houseboat.
Makanan mihun goreng, jagung rebus, keropok lekor dan minuman panas dan sejuk disediakan oleh tuan punya houseboat. Kami makan tidak berhenti-henti sepanjang lawatan itu. Semuanya serba lengkap dan selesa. Seorang krew khas melayan kami. Itu ini kami minta dimasak untuk dimakan dan minuman panas.
Akhirnya, kami tiba semula di jeti tempat kami menaiki houseboat. Ucapan kepada Tuan OCPD dan isteri yang melayan kami dengan mesra . Kami bersalam-salaman sambil mengucapkan terima kasih. Kami bergerak pulang ke resort dan berhenti di sebuah warung untuk makan malam yang tiada dalam perancangan awal. Selepas makan, kami pulang ke resort dan hujan mulai turun renyai-renyai. Kami sampai di resort jam 10 malam. Masa untuk berehat kerana keesokan pagi kami akan menyambung aktiviti mandi-manda sambil bersarapan yang disediakan oleh pihak pengusaha resort.
Esok juga kami akan menghadiri majlis resepsi walimatulurus dan kemudian pulang menuju ke destinasi masing-masing.
Comments
Post a Comment