- Get link
- X
- Other Apps
Episod :Hat Yai (4)
Pagi ini, kami berjalan-jalan di Hat Yai Clock Tower. Di sini juga terdapat pasar pagi yang menjual pelbagai jenis barang seperti pakaian, makanan dan barang basah. Di mana-mana di Hat Yai, orang Malaysia berpusu-pusu. Tawar-menawar harga barang-barang tidak perlu bersusah payah kerana peniaga di sini boleh dibawa berbincang sehingga kedua-dua pihak berpuas hati.
Selepas berlegar-legar di kawasan ini, kami menuju ke Masjid Songkla yang jauh perjalanan lebih kurang sejam melalui jalan kampung. Selama berada di Hat Yai kami sangat bergantung kepada 'waze' atau 'google map' . Masjid Songkla sangat besar dan kawasannya sangat luas. Di hadapan tangga pintu masuk utama terdapat sebuah kolam besar. Di seberang masjid juga terdapat kolam sebesar padang bola sepak dan bukit-bukau yang menghijau.
Bas-bas persiaran dari Malaysia juga menjadikan masjid ini sebagai lokasi pelancongan yang popular. Kami bersolat jamak di masjid ini kerana kami akan ke restoran 'seafood' yang boleh memuatkan hampir 500 orang pelanggan pada satu masa. Kami sampai di Khlonghae Seafood Buffet setengah jam dari Masjid Songkla. Harga satu kepala 299b atau RM36.00.
Semua makanan bermasak dan segar ada di sini. Tiada limit masa makan. Di atas meja terdapat tiga dapur arang untuk bakar dan rebus dengan kuah sup. Udang-udang besar sentiasa ditambah dari semasa ke semasa. Manakala, ikan siakap yang dipotong dua diibakar . Makanlah sepuas hati sehingga tersandar kekeyangan. Pelbagai jenis buah-buahan dari mangga colek, nanas, tembikai dan jambu batu. Cendol dan aiskrim perlu disediakan sendiri atau layan diri. Mereka yang teringin makan somtam perlu membuatnya sendiri dan bahan-bahannya sudah tersedia. Pelbagai jenis sos dengan berbagai-bagai rasa. Air minuman pula dari air kosong hingga air berkarbonat turun disediakan. Entah berapa gelas air berkarbonat masuk perutku.
Selepas dua jam menjamu selera makanan seafood kami menuju ke 'Floating Boat Market' . Tiba-tiba, kaki kananku berasa sakit di bahagian pelipat lutut. Jadi, aku terpaksa jalan bergantung pada isteriku dan menantuku. Kami sampai di 'Floating Boat Market' pada pukul 5.00 petang waktu tempatan. Kereta diparkir di hadapan rumah orang dan bayaran dikenakan 20b. Berbagai-bagai jenis makanan dan pakaian dijual dari pintu masuk tebing sungai . Tiada sampah sarap memenuhi tebing sungai. Ramai juga rakyat Malaysia di sini dengan pelbagai fesyen pakaian yang agak 'berani' dipakai semata-mata untuk bergambar.
Kami hanya makan aiskrim kelapa di dalam bekas tembikar bentuk ayam yang dijual pada harga RM3.00. Selepas puas berjalan seharian kami pulang ke hotel untuk berehat dan akan keluar semula selepas waktu Magrib pada pukul 6.19 petang waktu tempatan. Suasana di luar sudah gelap. Masa untuk 'rest' kaki yang penat berjalan.
Malam ini kami akan ke Lee Garden seperti Jonker Walk juga. Kami menaiki Tuk Tuk untuk mengelakkan kesesakan lalu lintas dan ruang parkir. Terdapat gerai -gerai menjual makanan dan minuman. Tempat paling dikunjungi ramai ialah pusat refleksologi atau urut kaki laris macam pisang goreng. Berpuluh-puluh pusat urut kaki di situ. Beberapa kumpulan buskers membuat persembahan sambil mengutip sumbangan orang ramai yang lalu lalang. Ada kumpulan buskers memainkan lagu-lagu Melayu.
Kami tidak bercadang untuk berhenti makan di kawasan itu tetapi 'tapau' untuk makan di hotel. Terdapat sebuah pentas besar dengan lagu disko yang menggegarkan jantung. Bunyi muzik sangat kuat. Beberapa buah kelab malam turut sama berdisko pada malam itu. Aku terserempak sekumpulan lelaki berjubah dan daripada perbualan mereka aku rasa mereka rakyat Malaysia. Seorang lelaki berjubah putih dan bercermin mata di hadapanku. Mungkin lelaki ini ketua mereka.
"Apa mereka buat di sini?," pertanyaan itu hanya tersekat di kerongkongku. Barang kali, lelaki yang kelihatan juga seperti 'Syeikh' itu melihat mataku seperti mencurigai kehadiran mereka di kawasan lautan manusia dengan muzik disko yang membingitkan telinga.
"Kita buat kerja kita," laung ' Syeikh' itu kepada anak-anak buahnya. Mereka terdiri daripada beberapa orang pelajar seperti murid-murid maahad tahfiz atau pondok. Wajah mereka kelihatan kebingungan.
Aku terus berjalan kaki ke tempat kami diturunkan Tuk Tuk tadi. Beberapa orang pemandu Tuk Tuk taqar-menawar harga tambang pulang ke hotel sejauh empat kilometer. Pemandu meminta bayaran 150b lebih sedikit daripada tambang semasa datang 120b.Setiba di hotel kami menikmati makan malam yang kami 'tapau' tadi. Esok hari terakhir kami di Hat Yai.
- Get link
- X
- Other Apps





Comments
Post a Comment