Episod: Hat Yai (3)

Malam ini, kami akan ke Asean Night Bazaar. Dari hotel kami menaiki kenderaan awam seperti teksi dinamakan Tuk Tuk yang boleh dinaiki 10 hingga 15 orang mengikut saiz kenderaan. Setiap penumpang dewasa dikenakan tambang 20b atau RM2.45 dan kanak-kanak percuma. Tuk Tuk tidak mempunyai dinding hanya tempat duduk seperti pangkin, kipas dan lebih spesial dipasang sistem audio berlampu Bunyi muzik umpama disko bergerak.
Tuk Tuk meluncur laju membelah bandar Hat Yai yang sibuk pada waktu malam. Bas-bas persiaran dari Malaysia berhenti parkir di tepi jalan. Walaupun Tuk Tuk dipandu laju tetapi aku yakin selamat kerana penguna-pengguna jalan raya di sini amat berhati-hati ketika memandu. Kenderaan tidak diparkir sesuka hati kerana anggota polis bermotosikal sentiasa meronda.
Kami sampai di Asean Night Bazaar kira-kira 10 minit dari hotel penginapan. Suasana sesak oleh kehadiran pelancong-pelancong dari Malaysia. Bangunan dua tingkat itu dibahagi kepada bahagian menjual pakaian di tingkat bawah dan bahagian menjual makanan di tingkat atas. Pelbagai jenis pilihan pakaian , beg, cenderamata dan makanan serta minuman dijual pada harga yang lebih kurang sama seperti GM Klang. Aku dan isteri membeli beberapa helai baju dan seluar termasuk untuk cucu-cucuku yang tidak ikut serta melancong ke sini.
Kami makan beberapa jenis makanan tempatan setelah beberapa lama beratur. Tempat makan yang disediakan di tingkat atas tidak mencukupi bagi menampung sebegitu ramai pengunjung. Kami makan di tempat terbuka di atas padang di sebelah bangunan tersebut. Kami berbincang tentang rancangan esok untuk melawat Masjid di Songkla, makan tengah hari , 'floating market' dan bersiar-siar di Lee Garden seperti Jonker Walk di Melaka.
Selepas makan kami pulang ke hotel. Aku sempat berbual-bual dengan seorang pengawal keselamatan di hotel Hop Inn. Aku menyapanya dengan menggunakan bahasa Inggeris tetapi lelaki itu membalasnya dalam bahasa Melayu loghat Kedah tetapi bunyi bahasa Thai.
"Saya asal Jitra, Kedah," katanya memperkenalkan diri.
" Saya ingatkan orang sini," jawabku tersenyum-senyum.
"Saya duduk kerja sini dah dua tahun," katanya lagi. Orangnya bertubuh kurus dan berkulit gelap seperti orang Thailand.
"Mak saya suruh saya jual rumah sini dan balik duduk kampung tapi sayang nak jual," katanya lagi. Aku pun tidak bertanya lanjut tentang hal itu kerana wajahnya agak sedih. Aku naik ke bilik untuk berehat selepas seharian ke sana ke sini.

Comments

Popular posts from this blog