Episod: Hat Yai (2)

Usai solat subuh dengan begitu ramai jemaah umpama solat Jumaat. Barang kali ini pemandangan biasa bagi jemaah tempatan di masjid itu apabila hujung minggu atau cuti umum. Hajat hati untuk ke tandas terpaksa dilupakan apabila barisan yang beratur menunggu giliran semakin panjang. Bas-bas persiaran juga memuntahkan penumpang di tepi jalan untuk berhenti solat Subuh.
Kami meneruskan perjalanan menuju ke sempadan Malaysia-Thailand. Fajar mulai menyinsing. Waktu pada telefon bimbit menunjukkan perbezaan masa sejam awal. Setibanya di pintu sempadan Malaysia, bas dan kereta bersusun-susun untuk memasuki Hat Yai melalui Bukit Kayu Hitam. Pasport kami diperiksa oleh pegawai imigresen dan seterusnya menghala ke pintu sempadan Hat Yai. Suasana di situ lebih sibuk berbanding di pintu sempadan Malaysia. Semua penumpang bas dan kereta diarahkan turun hanya pemandu dibenarkan parkir di kawasan dalam kompleks imigresen Thailand.
Kami beratur untuk pengesahan My Sejahtera. Kad vaksin ditunjukkan kepada pegawai kesihatan yang bertugas di kaunter terbuka. Selesai pengesahan My Sejahtera kami diarahkan beratur untuk mendapatkan cop pasport kemasukan di kaunter imigresen. Aku memimpin cucu yang kecil, Nuh Mateen dan menantuku memimpin cucu yang besar, Ibrahim Mateen. Sedang kami beratur dengan beratus-ratus rakyat Malaysia yang hendak memasuki Thailand, seorang lelaki warga Malaysia memberitahu kami bahawa permohonan cop paaport bagi yang membawa kanak-kanak menggunakan pintu lain.
Kami segera ke pintu yang dimaksudkan sambil itu ulat pasport berkeliaran menawarkan khidmat cop ekspres dengan upah RM30. Kami tidak melayan ulat-ulat ini dan terus ke kaunter imigresen. Akhirnya, semua urusan telah selesai termasuk urusan mendaftarkan kemasukan kereta lebih kurang sejam. Aku yang pertama kali memasuki negara orang mulai melihat pemandangan yang berbeza antara Malaysia dan Thailand yang sangat ketara ,iaitu KEBERSIHAN. "Mana sampah sarap?", bisik hati kecilku. Hati berasa senang melihat bandar bersih daripada sampah di tepi jalan , bangunan dan kedai-kedai.
Kami berpusing -pusing di sekitar pekan Danok untuk mencari kedai 'money changer'. Akhirnya, urusan menukarkan mata wang pun selesai dan misi mencari sarapan pula. Kami berhenti bersarapan di sebuah restoran di sebelah deretan warung yang menjual pelbagai jenis kuih-muih dan makanan. Tiada jauh bezanya dengan Malaysia, kuih-muih, nasi kerabu, nasi lemak , teh tarik ada di jual di warung dan restoran. Motosikal merupakan kenderaan utama di sini berbanding kereta. Pemakaian topi keledar kepada penunggang motosikal dilonggarkan kerana rata-rata tidak memakai topi keledar dan ada yang membawa dua penumpang pada satu masa. Wayar-wayar elektrik berselirat di atas kepala. Jalan raya sangat baik tiada lubang di sana sini.
Sarapan pertama kami di pekan Danok ialah 500b (bath) lebih kurang RM60. Kami memulakan perjalanan menuju ke hotel penginapan di tengah-tengah bandar Hat Yai. Di pertengahan jalan, satu 'road block' polis dan seorang anggota mengarahkan semua cermin tingkap diturunkan. Itulah satu-satunya 'road block' polis yang kami tempuhi selama tiga hari di sini dan tiada anggota polis yang melakukan ' road block' di bawah pokok atau tepi longkang !.
Waktu dibenarkan masuk Hotel Hop Inn pada pukul 2 petang nanti. Kami menuju ke sebuah pasar raya Lotus yang tidak jauh dari hotel. Anakku membeli sim kad 8GB berharga 199b bagi memudahkan kami mendapat capaian internet. Setelah itu, kami menuju ke arah Chang Puak Camp. Di sini terdapat gajah-gajah yang boleh ditunggang dengan bayaran 487b bagi setiap seorang lebih kurang RM60. Kami seramai 6 orang dewasa dan 2 orang kanak-kanak rasanya tidak berbaloi menunggang gajah. Tidak lama di situ, kami terus menuju ke arah pantai untuk makan tengah hari. Cuaca mendung dan awan sarat menandakan hujan akan turun.
Kami singgah makan di restoran tepi laut. Menu pilihan Tom Yam, telur dadar, sayur kangkung belacan, air sirap satu jag, dan nasi putih. Sementara menunggu makanan dipesan sampai di meha, hujan turun mencurah-curah. Kami terpaksa berlindung di bawah pondok beratap rumbia ya g menjadi pondok tempat makan . Harga makan tengah hari pertama di Hat Yai 2020b bersamaan RM261.00. Boleh tahan harga makanan di sini walaupun lauk-pauknya 'simple' sahaja.
Kami menuju ke arah hotel semula untuk berehat setelah semalaman tidak tidur. Akhirnya, kami mendapat bilik masing-masing untuk mandi dan tidur. Malam nanti kami akan ke Asean Night Market untuk makan malam sambil membeli-belah . Paling teruja kami akan menaiki Tuk Tuk ke sana.

Comments

Popular posts from this blog