Episod: TAMAN ENG ANN DI HATIKU

Aku mula mengenali Taman Eng Ann, Klang pada sekitar tahun 1997. Nama Taman Eng Ann diambil sempena nama ‘faunder’nya Tan Sri Eng Ann, asal Cina Terengganu. Pada masa itu, secara tidak sengaja aku berkenalan dengan Puan Yap atau Cikgu Yap. Cikgu Yap datang ke kedai fotokopi tempat isteriku bekerja. Ketika itu, aku belum terlibat secara aktif sebagai guru tuisyen. Aku dan Cikgu Yap berbual-bual tentang pendidikan dan Cikgu Yap meminta khidmat aku untuk mengajar anaknya , Yap subjek Bahasa Melayu. Sejak itu, aku terjun ke dunia tuisyen secara sambilan dan Taman Eng Ann menjadi ‘ rumah ‘ kedua aku.
Aku mengajar tuisyen dari rumah ke rumah pelajar-pelajar yang tinggal di Taman Eng Ann. Pada mulanya, aku menggunakan perkhidmatan bas awam untuk mengajar tuisyen kerana aku tidak mampu membeli motosikal ketika itu kerana gaji asasku di sekolah swasta cukup-cukup untuk menyara keluarga. Aku akan berjalan kaki ke rumah pelajarku. Manakala, di rumah isteri dan puteri sulungku menunggu kepulanganku membawa pulang rezeki sesuap nasi. Pada masa itu, kehidupan kami sangat sukar dan mencabar dengan pendapatan RM200.00 sebulan. Sewa rumah RM80.00. Susu RM50.00 setin. Upah orang menjaga anak RM50.00 sebulan. Selebihnya, gaji isteriku sebanyak RM200.00 sebulan bagi menampung keperluan-keperluan lain.
Permintaan khidmat aku untuk mengajar tuisyen dari rumah ke rumah semakin bertambah. Dari rumah ke rumah aku mengajar bagaikan ‘burung’ hinggap di atas dahan pokok. Pendapatan aku semakin bertambah sebulan demi sebulan dan aku sudah mampu membeli sebuah motosikal. Setelah memiliki motosikal aktiviti tuisyen semakin rancak. Kalau sebelum ini hanya satu atau dua buah rumah setiap hari aku mengajar kini sudah ada tiga atau empat buah rumah sehari. Murid-murid akan berkumpul di rumah salah seorang daripada ahli kumpulan belajar dan aku akan hadir di rumah yang ditetapkan kadang-kadang berpindah randah juga.
Keberuntungan aku berlipat kali ganda apabila Pengetua SMJK Kwang Hwa Taman Eng Ann meminta aku mengajar anak-anaknya di rumahnya di Jalan Kasawari 7. Pelajar-pelajar yang lemah dalam subjek Bahasa Melayu di sekolah akan ‘diarahkan’ memasuki kelas tuisyen aku. Memang tidak menang tangan aku ketika itu. Pendapatan melimpah ruah dan aku amat bersyukur kepada Allah yang memberikan rezeki-Nya. Sampailah satu masa aku sudah tidak boleh mengambil pelajar tuisyen disebabkan keterbatasan masa. Lantaran itu, Pengetua mencadangkan aku membuka sebuah tempat tuisyen agar pelajar-pelajar dapat dikumpulkan pada satu masa.
Secara kebetulan, aku turut mengajar beberapa orang anak ‘taikun’ perniagaan dan anak exco kerajaan negeri, jadi aku mendapat berbagai-bagai pertolongan. Aku membeli sebuah rumah kos rendah dan membuka kelas tuisyen di Flat Cempaka, Bandar Baru Klang. Semua pelajarku hanya berjalan kaki datang ke rumahku kerana kedudukan sekolah bersebelahan flat. Malangnya, kehadiran aku tidak dialu-alukan di situ. Apabila aku menaiki tangga kedengaran suara-suara ghaib yang mencerca aku kerana mencari wang dengan cara menggunakan rumah kos rendah untuk mengadakan kelas tuisyen. Aku masih menyewa rumah dan rumah itu di flat itu aku jadikan tempat sehenti untuk mengajar tuisyen. Salahkah aku ?
Aku tidak dapat bertahan kerana cakap-cakap liar beberapa orang penduduk dan kata-kata nista dilemparkan kepadaku. Tidak cukup dengan itu, pintu rumah dihempas apabila aku melalui hadapan rumah mereka. Ada juga yang meludah dari tingkat atas dan terkena bajuku. Akhirnya, aku membuat keputusan yang sukar, iaitu berpindah ke sebuah bangunan kedai dua tingkat di tengah-tengah pekan Taman Eng Ann. Pada pukul 1 pagi, aku berpindah ke bangunan baru untuk memulakan pusat tuisyen dan semua urusan memindahkan kerusi, meja dan papan putih selesai jam 4 pagi. Keesokannya, aku memulakan kelas tuisyen di tempat baharu dengan kadar sewa RM700.00 sebulan. Rumah kos rendah di Bandar Baru Klang aku sewakan kepada seorang kerani SMJK Kwang Hwa dan akhirnya rumah itu kujual kepadanya.
Kehadiran aku di tengah-tengah pekan Taman Eng Ann yang majoriti orang Cina sedikit sebanyak menarik perhatian pengunjung pasar pagi di hadapan bangunan pusat tuisyen aku. Ada yang tersenyum ada yang memandang dengan curiga dan ada yang datang berdepan denganku serta memberikan amaran bahawa orang Melayu tidak boleh berniaga di situ. Katanya, aku hanya akan bertahan di situ paling lama tak lebih setahun. Aku tidak menghiraukan kata-kata itu kerana aku ‘dibela ‘ oleh beberapa orang ‘taikun’ besar di Taman Eng Ann dan bandar Klang yang sentiasa memberikan sokongan kepadaku.
Cabaran pertama , pusat tuisyen aku diserbu sekumpulan anggota penguatkuasa Majlis Perbandaran Klang (MPK) kerana berniaga tanpa lesen seperti yang dimaklumkan oleh ketua operasi setelah mereka mendapat aduan.. Hari kedua operasi pusat tuisyen sudah kena serbu. Hal itu dapat diselesaikan dengan baik apabila aku meminta tempoh seminggu untuk menyelesaikan urusan pendaftaran pusat tuisyen dan perniagaan seperti yang termaktub dalam undang-undang majlis.. Semua Dato dan Tan Sri aku telefon untuk mendapatkan ‘sokongan’ dan dalam masa tiga hari semua urusanku sudah beres dari lesen pusat tuisyen, lesen Jabatan Pendidikan Negeri, lesen Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan lesen agensi pihak berkuasa lain. Aku tidak lagi ‘diserbu’ oleh mana-mana agensi selepas itu. Cabaran kedua, muncul ‘gangster’ bertatoo seluruh badan hingga leher meminta wang perlindungan.
Sekali lagi aku menghubungi seorang bapa muridku entahlah mungkin dia juga ‘taiko’ di situ. Aku menyerahkan surat bersampul merah kepada orang suruhannya dan petang itu ‘Dato’ menelefonku meminta aku abaikan sahaja surat itu. ‘Dato’ juga meminta maaf atas kejadian itu. Aku hanya perasan ada beberapa orang lelaki Cina yang selalu duduk melepak di tingkat bawah di kaki lima sambil minum di situ pada sebelah malam. Apabila aku menutup pusat tuisyen mereka juga angkat kaki. Begitulah beberapa ketika sehingga tiada apa-apa gangguan lagi di situ. Aku tidak pasti siapa lelaki-lelaki itu tetapi mereka akan memandang aku sambil tersenyum dan tunduk sebagai tanda hormat.
Kedudukan aku sebagai satu-satunya pemilik pusat tuisyen orang Melayu di tengah-tengah pekan Taman Eng Ann bertambah kukuh. Sesekali aku turun ke pasar pagi dan disapa oleh pengunjung di pasar dengan mesra. Buah-buahan dan minuman diberikan kepadaku oleh mereka yang mengenali aku . Sejak itu aku dipanggil ‘Laoshi’ maknanya guru dalam bahasa Mandarin. Aku seperti hero filem Cina ‘ Ip Man’ berjalan-jalan di pasar. Aku tidak lagi turun ke pasar pagi Taman Eng Ann kerana tidak mahu dihadiahkan bermacam-macam buah tangan tetapi aku amat menghormati masyarakat setempat. Ironinya, aku juga berpeluang mengajar cucu-cucu Tan Sri Tan Eng Ann !
Hari demi hari aku berulang alik dari rumah ke pusat tuisyen aku. Aku juga sudah meletakkan jawatan di sekolah swasta tempat aku mengajar. Cabaran yang mendatang selepas itu hanyalah persaingan dengan pusat-pusat tuisyen baharu .Dulu sebiji kek dikongsi empat sekarang sebiji kek dikongsi 14 belas. Aku terpaksa membuat keputusan yang sukar menutup pusat tuisyenku di Taman Eng Ann selepas lebih 20 tahun mencurahkan khidmat sebagai guru tuisyen kepada anak-anak penduduk Taman Eng Ann apabila pelaksaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula awal tahun 2020. Semua pusat tuisyen telah diarahkan ditutup bagi mengekang penularan wabak Covid 19. Berakhir sudah servis aku kepada penduduk Taman Eng Ann yang baik hati.
“Kalau boleh kita orang mahu lantik Cikgu jadi ketua kampung Taman Eng Ann,” kata seorang pengunjung pasar pagi pada suatu hari. Aku tergelak besar dan disambut gelak ketawa beberapa orang pengunjung yang bersalam-salaman denganku.
Mereka sangat menghargai jasaku dan kesetiaan aku selama puluhan tahun di situ dan rasa sedih terselit juga di sanubariku kerana terpaksa meninggalkan Taman Eng Ann akibat pandemik Covid-19. Sesekali aku singgah di Taman Eng Ann dan masih ada yang menyapa aku dan melambai-lambai kepadaku tanda persahabatan tidak pernah putus..
Kini, wabak Covid-19 kembali reda aku kembali semula ke Taman Eng Ann atas permintaan beberapa orang family yang meminta aku mengajar anak-anak mereka di rumah. Nostalgia 1997 aku mengajar tuisyen dari rumah ke rumah berulang kembali. Adakah aku akan mengulangi sejarah yang lalu di mana aku bermula ? Tunggu dan lihat !.

Comments

Popular posts from this blog