- Get link
- X
- Other Apps
Episod: SIHIR
Pembukaan PUSAT TUISYEN SISWA pada tahun 2006 kuanggap sebagai rezeki dan rahmat Allah. Aku berdiri seorang diri. Tiada pembantu yang membantu aku nenguruskan pusat tuisyen itu. Sesekali isteriku datang menemaniku atau membawakan makanan. Hari-hari yang kulalui 'keseorangan' di pusat tuisyen. Suasana meriah apabila murid-muridku hadir untuk nengikuti kelas tuisyen dan suasana sunyi serta bersendirian apabila selesai kelas tuisyen.
Masa senggang kuisi dengan membaca atau menyediakan bahan-bahan untuk mengajar. Apabila tiba waktu solat aku menunaikan tanggungjawab itu di sebuah bilik yang kujadikanya sebuah surau. Segala kelengkapan solat aku sediakan seperti naskhah Al Quran, sejadah, telekung, kain pelikat dan tasbih. Tujuannya supaya murid-muridku dapat menggunakannya untuk bersolat tetapi hakikatnya hanya aku seorang yang menggunakan surau itu.
Apabila tiba waktu makan , aku lebih suka membeli roti di Kedai 7 Eleven yang tidak jauh dari pusat tuisyen aku sehingga 'aunty' yang menjadi 'casier' di situ sudah menjadi kawanku. Restoran atau warung yang menjual makanan halal tiada di kawasan itu. Sekiranya aku ingin menikmati makan tengah yari, petang atau malam terpaksa aku memandu ke arah bandar Klang, Jalan Meru atau Kampung Kuantan yang paling dekat. Masalahnya, aku terpaksa berhadapan dengan kesesakan jalan raya kerana murid-murid sekolah pulang ke rumah atau pergi ke kelas tuisyen.
Sepanjang bulan Ramadan, aku hanya berbuka seorang diri di pusat tuisyen secara ala kadar. Sebuah peti sejuk kecil diisi dengan buah-buahan, air mineral, dan sebuah cerek jika aku rajin membuat teh panas. Itulah yang aku jamah bersendirian dari Isnin hingga Jumaat. Hari Sabtu, aku mengajar di rumah murid dan biasanya aku berbuka di surau atau masjid yang menyediakan makanan dan minuman berbuka. Sekali sekala isteriku akan datang bersama-sama anak-anak untuk berbuka puasa. Selepas pulang ke rumah sekitar jam 11.00 malam , barulah aku dapat 'berbuka' dengan makanan yang dimasak oleh isteriku. Diam tak diam , hampir 25 tahun aku melalui keadaan sebegitu.
Di bahagian bawah , aku menggantung 'banner' tuisyen tetapi kerap hilang atau aku terpaksa mengutipnya di tepi jalan. Tidak mungkin 'banner' itu boleh berjalan sendiri kerana aku menggunakan dawai untuk menggantungnya. Begitu juga, brosur yang kuletakkan di dalam sebuah bekas di tangga bawah juga sering hilang. Bukan sedikit, berpuluh-puluh keping. Ada yang aku jumpa di dalam longkang di hadapan pusat tuisyen dan kadang kala bertaburan di atas jalan dilanggar kereta yang lalu lalang. Aku pernah cuba mengintip untuk mengetahui pelakunya tetapi tidak berjaya. Jadi, aku membuat kesimpulan bahawa 'banner' dan brosur pusat tuisyenku terbang dibawa angin walaupun kurasakan kurang logik.
Kejadian itu sedikit sebanyak menjadi tanda tanya di dalam hatiku."Adakah orang yang tak berpuas hati denganku?," bisik hati kecilku. Walaupun , ada seorang dua peniaga di bangunan yang sama agak menyombong denganku tapi tidak mungkjn mereka yang melakukannya kerana tiada faedah untuk mereka. Jadi,kejadian itu sentiasa berulang-ulang beberapa ketika hingga aku mengambil keputusan tidak lagi menggantung 'banner' atau meletakkan brosur. Papan iklan besar di atas bangunan dua tingkat itu sudah cukup untuk mengiklankan pusat tuisyen aku.
Pada suatu hari, selepas tamat kelas tuisyen jam 10.00 malam , aku sudah bersiap-siap hendak pulang ke rumah. Aku berasa tidak sedap hati seperti 'sesuatu' sedang memerhatikan aku. Aku membaca ayat kursi dengan suara yang lantang tetapi perasaan berdebar-debar tetap ada. Selepas menutup semua suis lampu dan memeriksa bilik-bilik barulah aku turun ke bawah. Sebiji batu bata merah betul-betul di hadapan pintu pagar. Tiba-tiba terdetik rasa pelik. Kubaca lafaz 'Bismilah' lalu mengalihkan batu bata itu dan alangkah terkejutnya aku di bawah batu bata itu ialah sekeping gambar aku yang dicetak di atas sehelai kertas berukuran A4.
"Eh, apa pulak ni?, " detik hati kecilku sambil mulutku terkumat-kamit membaca ayat-ayat suci. Aku tidak tahu apakah tujuan si pelaku. Batu itu kuletakkan di tepi longkang dan gambar itu kusimpan di dalam beg. Tiada apa-apa yang pelik berlaku selepas itu. Aku menceritakan hal itu kepada isteriku tetapi tiada jawapan yang dapat diberikannya.
Keesokan hari, tiada lagi batu bata di hadapan pagar . Aku naik ke tingkat atas, suasana seperti biasa sunyi sepi. Aku membuka lampu dan mengambil wudhu untuk bersolat. Pintu surau kututup rapat dan ketika solat kedengaran bunyi pintu luar dihempas kuat. Selesai solat, aku memeriksa keadaan di luar tetapi tiada sesiapa di luar dan pagar juga masih berkunci begitu juga pagar di bahagian bawah. Aku membaca ayat Kursi dengan suara yang kuat dan aku mencapai Al Quran dan membaca surah Yasin sementara menunggu murid-muridku datang pada pukul 8.00 malam.
Usai kelas tuisyen malam itu, aku mengemas bilik darjah dan memeriksa bilik-bilik lain walaupun perasanku ketika seperti ada yang memerhati aku. Aku membaca ayat Kursi sambil menyelesaikan semua tugas tetapku sebelum menutup pusat tuisyen dan pulang ke rumah. Sampai di tangga bawah dan di depan pagar kulihat seketul batu bata menindih sehelai kertas gambarku.
"Ada lagi benda ni," bisik hatiku. Tiada sesiapa di bawah situ. Keadaan sudah sunyi kerana semua kedai sudah ditutup hanya Restoran 888 di depan bangunan itu masih dibuka tetapi tiada pelanggan. Aku segera pulang ke rumah dengan menunggang motosikal berwarna hitam YAMAHA FZ-i 150cc.
Isteriku bertanya lagi tentang kejadian semalam. Aku memberitahunya kejadian sama berulang lagi malam itu. Dua malam berturut-turut. Aku pasrah jika ada yang berniat jahat kepadaku. Aku menganggap perbuatan budak-budak nakal yang lalu-lalang di kaki lima bangunan itu. Selepas itu, tiada lagi perkara pelik dan perasaanku kembali tenang sepanjang berada di pusat tuisyen.Usai solat Maghrib aku membaca surah Yasin dan berterusan selama beberapa minggu. Aku bersyukur ke hadrat Allah swt tiada perkara buruk berlaku ke atas diriku atau keluargaku. Perbuatan itu mungkin sihir oleh orang tertentu dan sehingga hari ini aku tidak mendapat jawapannya.
- Get link
- X
- Other Apps
Comments
Post a Comment