Episod: 'Shark Fin' Sup
Kisah ini terjadi sekitar penghujung tahun 1990-an. Aku mengajar anak-anak Dato 'S' yang merupakan 'founder' Bandar Baru Klang (BBK) . Projek bernilai RM2 bilion pada zaman itu dikira sangat besar nilainya. ACMAR selaku syarikat utama yang diterajui oleh famili Dato 'S' mendapat anugerah projek itu daripada kerajaan negeri Selangor.
Sebelum ACMAR mendapat anugerah itu, aku sudah pun mengajar lima orang anak Dato 'S' di rumahnya. Kehidupan Dato 'S' sangat sederhana dibsebuah rumah teres dua tingkat di bandar Klang. Setiap minggu, aku akan mengajar anak-anak Dato 'S' di ruang dapur rumah mereka. Kadang-kadang aku berlari keluar dari rumah itu apabila pembantu rumah warga Indonesia mereka menggoreng ' daging' . Asap memenuhi seluruh ruang dapur.
" Neng makan apa ," tanyaku kepada pembantu rumah itu.
"Saya makan sayur. 'Daging' saya tak makan. Saya asingkan," jawabnya penuh yakin.
"Mana boleh,Neng. Masakan itukan sudah bercampur sayur dan 'daging'," kataku dan dia hanya memandangku dengan wajah selamba.
"Tapi ini darurat Pak Guru," balasnya.
"Kan ada makanan lain boleh dimakan. Kuali , periuk, pinggan, sudu kena asing. Jangan campur-campur lagi," ajarku sebagai memesan kepadanya agar menjaga maruah agama Islam. Setelah nasihat itu kusampaikan, minggu-minggu berikutnya dia masih makan masakan yang sama untuk tuan rumahnya.
Pada malam itu, Dato 'S' sekeluarga berkumpul bersama-sama di ruang tamu mengadap kaca televisyen . Berita TV3 sedang ditayangkan dan kemudian diikuti dengan jeritan yang kuat serentak . Dato 'S' meluru ke dapur dan mengajak aku ke ruang tamu untuk sama-sama menyaksikan majlis menandatangan 'MoU' antara ACMAR dengan kerajaan negeri yang diwakili oleh Menteri Besar Selangor atau digelar Mike Tyson. Aku turut menumpang gembira dan mengucapkan tahniah kepada Dato 'S' dan Datin. Kegembiraan dikongsi bersama-sama memandangkan aku sudah mengajar tuisyen di rumah Dato 'S' beberapa tahun sebelum itu.
Aku telah 'membeli' sebuah rumah kos rendah di Bandar Baru Klang atas 'ikhsan' Dato 'S'. Rumah flat itu bersebelahan dengan SMJK Kwang Hwa yang kemudiannya aku jadikan tempat tuisyen. Aku berulang alik dari rumah sewa ke BBK. Tidak lama kemudian, aku membuka sebuah pusat tuisyen fi pekan Taman Eng Ann kerana menghormati 'privasi' segelintir penduduk flat yang kurang senang dengan aktiviti aku. Rumah flat itu aku sewakan kepada seorang kerani SMJK Kwang Hwa ( arwah).
Bulan berikutnya, Tahun Baru Cina disambut oleh masyarakat Tionghua. Aku dijemput oleh Dato ' S' ke rumah ibu bapanya di Kapar. Aku dan isteri serta tiga puteriku memenuhi jemputan majlis sambutan Tahun Baru Cina dengan menaiki kereta Kancil 850X kami berwarna kelabu. Sesampai di sana, kelihatan ramai tetamu yang berbilang kaum. Dato 'S' memberikan layanan istimewa kepada aku dan keluarga. Dato S' turut memperkenalkan aku kepada ibu bapa yang juga seorang hartawan di Kapar. Bapa Dato 'S' bersalam-salaman denganku dan mengucapkan terima kasih kerana menjadi guru kepada cucu-cucunya. Dia menyeluk poket bajunya dan mengeluarkan sampul ang pow berwarna merah. Anak-anakku menerima satu sampul ang pow setiap seorang. Aku dan isteri mendapat 'ang pow' istimewa kerana sampul ang pow aku diambil dari dalam 'briefcase' hitam.
Usai makan dan minum makanan yang disediakan syarikat katering orang Melayu tempatan , aku meminta diri daripada ibu bapa Dato 'S' dan Dato 'S' sangat gembira pada hari itu. Aku memandu kereta menuju ke rumah seorang lagi muridku . Bapa muridku ini ,Dato 'K' juga 'founder' CNI yang terkenal pada zaman itu. Apabila isteriku membuka sampul ang pow kami sama-sama tergamam kerana isi ang pow itu sangat banyak. Aku dan isteri mendapat RM800.00 setiap ang pow dan anak-anakku mendapat RM200.00 setiap seorang. Kami beraya sakan di dalam Kancil kami dan kami tidak jadi pergi ke rumah Dato 'K' kerana berasa ang pow hari itu sudah cukup banyak. Aku menerima 'ang pow' daripada Dato 'K' selepas hadir ke kelas tuisyen anaknya pada minggu seterusnya sebanyak RM500.00.
Aku menerima kad jemputan ke majlis meraikan kejayaan ACMAR pada malam minggu. Dari jauh, sudah bersusun kereta-kereta mewah dan antaranya terselit sebuah Kancil kelabu. Aku dibenarkan parkir kenderaan berdekatan tempat majlis makan malam. Aku dan keluarga dibawa oleh penyambut tetamu ke meja KHAS untuk AJK penduduk flat BBK. Aku memandang satu demi satu wajah AJK yang masam mencuka. Dua tiga orang daripada mereka yang 'berapi-api' dan tidak senang dengan kehadiranku di flat itu turut mengisi ruang meja makan yang dialas kain merah. Aku hanya melemparkan senyuman kepada mereka.
Acara bermula dengan ucapan VVIP. Setelah itu, pramusaji menghidangkan makanan di dalam dulang. Berbagai-bagai menu dihidangkan. Aku melihat AJK hanya memandang makanan di atas meja.Aku yang ada sedikit pengalaman semasa menghadiri 'Annual Dinner' majikanku SEGI College di Submit,Subang Jaya menyuruh isteri dan anak-anakku segera makan kerana hidangan makanan akan diganti dengan menu lain. Aku dan isteri serta anak-anak betul-betul menjamu selera tetapi AJK hanya mengambil sedikit makanan dan ada yang langsung tidak menyentuh makanan.
Hidangan kedua dibawa keluar oleh pramusaji. Seorang pramusaji wanita membawa masuk dulang pertama tadi dan AJK baru hendak merasainya tetapi telah dibawa masuk ke ruang belakang khemah besar. Beberapa orang tetamu VVIP Melayu duduk di beberapa buah meja KHAS dan beberapa meja diisi oleh kakitangan ACMAR. Hidangan kedua terdiri daripada 'Shark Fin Soup' yang masih panas berasap. Aku mengambil mangkuk sup dan mengagihkan kepada isteri san anak-anakku. AJK dengan wajah ketat mengisi mangkuk sup dan menjamahnya dengan berselera. Barangkali kejadian dulang pertama 'dilarikan' pramusaji membuatkan mereka lebih bersedia untuk menikmati makanan yang dihidangkan.
Malam itu amat mengenyangkan terutama anak-anakku yang belum pernah menikmati makan malam ala hotel. Kepuasan kelihatan pada wajah anak-anak dan Dato 'S' memperkenalkan aku kepada rakan-rakan niaganya sebagai guru tuisyen anak-anaknya. Selepas malam itu, aku menerima beberapa panggilan telefon daripada 'Taikun' perniagaan yang memerlukan khidmatku untuk mengajar tuisyen Bahasa Melayu anak-anak mereka. 'Taikun' sarung tangan getah, 'Taikun' Subang Taipan , dan ''Taikun' Ladang Ayam terbesar di Malaysia yang juga pembekal ayam AYAMAS dan hospital-hospital di Malaysia. Dato 'Y' telah 'sponsor' 300 ekor ayam yang dihantar oleh lori AYAMAS ke rumah semasa majlis perkahwinan puteriku.
Sehingga kini, aku masih berhubung dengan bekas-bekas pelangganku walaupun sudah lebih 30 tahun berlalu. Aku sedang mengajar cucu-cucu mereka yang kuanggap seperti cucu-cucuku sendiri.
"Cikgu call me kita jumpa di ACMAR HONDA," kata Dato 'S' yang fasih berbahasa Melayu sambil memegang tanganku dan dia sudah tidak secergas dulu lagi . Kami sama-sama ketawa.
Persahabatan yang sejati dan ikhlas tidak ternilai harganya !
Comments
Post a Comment