EPISOD : SAPU TANGAN

 

Zaman persekolahanku bermula pada tahun 1974 di Sekolah Rendah Kebangsaan Methodsit, Pelabuhan Klang atau lebih dikenali MBS ( Methodist Boys School). Sebuah gereja lama yang dijadikan bangunan sekolah. Guru Besar sekolah terdiri daripada paderi dan kakitangan sekolah pula terdiri daripada sister. Guru Besar sekolah MBS pada tahun 1974 ialah Rev.Lim Kim Tuck kemudian diganti dengan Rev. JS Wellington. Mereka memakai jubah paderi sepanjang berada di sekolah. Semasa perhimpunan sekolah, ucapan Guru Besar disampaikan dalam Bahasa Inggeris. Sepatah haram aku tidak faham. Kemudian, barulah seorang dua guru Melayu yang menyampaikan ucapan. Baru rasa lega di hati.

Setiap hari Jumaat, semua murid akan ke dewan untulk menyanyikan lagu-lagu yang sering didengar di gereja seperti Brother John. Seorang sister akan bermain piano di atas pentas. Kata kawan-kawanku, piano itu berhantu kerana akan berbunyi sendiri pada waktu malam. Entahlah, ya ke tidak. Di dewan itu juga menjadi saksi aku dan hampir semua warga sekolah menyaksikan perlawanan tinju antara Muhammad Ali dan Joe Bugner (1977). Waktu pembelajaran dihentikan untuk memberikan laluan perlawanan tinju.

Perasaanku takut dan cemas yang amat sepanjang masa di sekolah kerana guru-guru lebih gemar berkomunikasi menggunakan bahasa Inggeris. Bagi ibu bapa yang berada sedikit , anak-anak mereka dihantar ke tadika sebelum memasuki Darjah Satu. Ibu bapaku tidak berkemampuan untuk menghantar aku ke tadika jadi aku masuk Darjah Satu main redah. Kelas pertama aku Darjah Satu E. Kelas paling corot. Setiap hari , bapaku menghantar aku ke sekolah dengan menunggang basikal dan basikal itu jugalah ditunggang oleh ayahku ke tempat kerjanya di Pelabuhan Utara dari rumah Flat LPK. Rasa-rasanya , jarak antara rumahku dengan Pelabuhan Utara lebih kurang dari Pelabuhan Klang ke Shah Alam.

Satu daripada ‘trend’ pada zaman itu ialah sapu tangan dilipat pada kolar baju untuk mengelakkan daki. Kawan-kawan lelaki terutamanya memakai sapu tangan pada kolar kerana pakaian sekolah hanya sehelai. Kemampuan untuk membeli beberapa pasang baju sekolah amatlah sukar. Gaji sebagai buruh di pelabuhan bukanlah mewah sangat. Adik-beradik lain juga memerlukan keperluan sekolah masing-masing. Jadi, sapu tanganlah penyelamat daripada kolar baju berdaki.

Satu lagi kegunaan sapu tangan adalah sebagai alas jam tangan. Bagi yang mampu membeli jam tangan . sapu tangan akan diikat dan melapik jam tangan itu supaya tidak rosak atau tahan lama. Biasalah semasa rehat, murid-murid lelaki dan perempuan akan bermain di luar bilik darjah sementara waktu pembelajaran disambung semula. Peluh yang mengalir akan merosakkan jam tangan, kata kawanku yang memakai sebuah jam tangan. Aku hanya melopong mendengar ceritanya kerana aku sendiri tidak pernah memakai jam tangan ke sekolah melainkan setelah aku memasuki Tingkatan 4. Hadiah daripada bapaku kerana mendapat keputusan cemerlang dalam SRP (Sijil Rendah Pelajaran).

Sapu tangan juga digunakan untuk mengelap air mata kerana dirotan oleh guru. Guru-guru sangat tegas dan garang terhadap murid-murid. Nampak sahaja guru-guru baik tetapi silap langkah makan penampar. Rotan dan penampar adalah dua jenis hukuman yang dikenakan terhadap murid-murid nakal. Selama aku di sekolah rendah tidak pernah dirotan atau ditampar oleh guru. Mungkin aku jenis murid baik dan pendiam. (masuk bakul angkat sendiri). Jadi, selepas dirotan atau makan penampar, air mata murid yang dihukum akan bercucuranlah. Sapu tangan yang berbulu itu dijadikan pengelap si air mata.  

Sapu tangan juga berfungsi sebagai pengelap hingus bagi murid-murid yang sering berhingus. Pada zaman itu, aku tidak pernah nampak tisu. Mungkin harga tisu mahal semasa itu. Jadi, kawan aku yang sering berhingus menggunakan sapu tangan untuk mengelap hingusnya yang berjejeran sepanjang masa. Aku sendiri tidak tahu mengapa dia berkeadaan begitu. Aku pun tidak minat untuk bertanya dan sapu tangan itu dipakai beberapa hari tanpa dibasuh mungkinlah itulah satu-satunya sapu tangan yang dia ada atau mengelap hingus dengan lengan baju sekolah adalah pilihan terakhir. Bercoreng lengan baju putih dengan hingus.

Pada zaman sekarang, penggunaan tisu lebih fleksibel kerana boleh pakai buang. Sapu tangan disimpan di dalam poket sahaja. Sapu tangan dulu hanyalah secebis kain sebesar tapak tangan untuk pelbagai kegunaan tetapi sekarang penggunaan sapu tangan semakin pupus ditelan zaman.

 

Comments

Popular posts from this blog