Episod : RINDU

"Mok, tidurlah dulu. Kerja orang lama lagi nak habis," kataku sambil melihat ibuku duduk di kerusi rotan dan membaca surat khabar. Aku menoleh dan jarum jam menunjukkan pukul 2 pagi.
"Ketak ketuk ! Ketak ketuk !"
Jari-jemariku pantas mengetuk mesin taip 'Olevetti' hadiah bapaku kerana mendapat keputusan cemerlang SRP 1982.
"Takpa la. Mu buatlah kerja. Mok tunggu," jawab ibuku sambil tersenyum. Matanya sudah kelihatan mengantuk tetapi ibuku tetap mahu menemaniku. Apabila karyaku disiarkan di dalam surat khabar atau majalah, ibuku akan tersenyum puas dan membacanya berulang kali. Ibuku tidak pernah mengkritik karya-karyaku.
Hampir setiap malam, aku mengetuk mesin taip. Pada sebelah siang, aku mencoret kata-kata yang lahir dari rasa dan deria. Apabila malam kuanyam kata-kata menjadi bait-bait puisi. Lagu-lagu 'jiwang' dari corong radio menambahkan semangat dan berkhayal mengulit karya. Ibuku tetap setia menemani.
" Ini duit orang dapat dari surat khabar," kataku lalu menyerahkan sejumlah wang royalti hasil penyiaran karyaku. Ibuku menerimanya sambil tersenyum.
"Terima kasih. Mu tak nak ambil duit ini ke?," tanya ibuku sambil menggenggam duit di tangannya.
"Orang tak perlukan duit. Dah keluar surat khabar pun dah puas. Dah 'happy'," kataku lalu menyorot pandangan ke wajah ibuku. Kedut-kedut di mata dan tangannya jelas kelihatan .
Ibuku peminat aku nombor satu. Kadang-kadang aku disuruhnya menulis tentang cerita itu cerita ini. Ada yang aku tulis dan ada yang aku biarkan kerana idea menulis datang tiba-tibam Tika menunggu bas idea datang. Tika berjalan idea datang. Tika makan idea datang.Tika terjaga daripada tidur idea menerpa mengetuk pintu kamarku. Segala yang terlintas di ingatan akan kutulis dan malam masa yang paling sesuai untuk kusimpulkan menjadi ikatan kata-kata indah.
"Mi, cerpenmu ni keluar URTV," kata ibuku gembira.
"Dah lama hantar ingatkan tak keluar," kataku sambil tersenyum.
"Persimpangan" tajuk cerpenku tersiar. Sebenarnya, karya-karyaku lebih banyak tersiar di dalam surat khabar daripada majalah.Semua karyaku akan kugunting simpan di dalam sebuah fail khas. Sesekali, aku akan mengulang membacanya untuk memperbaiki kelemahan yang ada.
Kini, semuanya sudah berlalu. Tiada lagi peneman setiaku. Tiada lagi suara lembut yang mengajarku mengenali perkataan tertentu untuk kutulis di dalam karyaku.
"Mok, orang minta maaf. Kalau Mok nak pergi orang redha," bisikku ke telinga ibuku. Ibuku tidak menunjukkan sebarang reaksi. Ibuku sudah berada dalam keadaan koma akibat jangkitan kuman di paru-paru.Sejak beberapa hari keadaan ibuku semakin tenat. Aku terus berbisik di telinga.
"Allah. Allah. Allah."
"Orang pun maafkan Mok," bisikku perlahan. Kedengaran helaan halus. Mok pergi neninggalkan aku buat selama-lamanya yang tinggal hanyalah rindu.

Comments

Popular posts from this blog