Episod: Paku dan Baji

Selepas berkahwin tahun 1989, aku dan isteri tinggal serumah dengan mentua kerana ibu mentua dan bapa mentua saja tinggal di rumah itu. Jadi, aku dan isteri menjadi peneman mereka di rumah separuh batu separuh papan. Bilik air terletak di luar rumah di bawah pokok rambutan . Aku kena belajar menyesuaikan diri dengan kehidupan suasana kampung memandangkan aku dibesarkan di bandar Pelabuhan Klang.
Bapa mentuaku mempunyai tanah yang agak luas dan dia membina sendiri rumah-rumah sewa di tapak tanah itu . Kesemuanya empat buah rumah. Salah sebuahnya aku dan isteri akan duduk menyewa bersebelahan rumah induk ibu mentuaku. Apabila aku pulang dari sekolah , bapa mentua sedang menukang rumah.
"Nanti lepas makan tolong bapa ," pesan bapa mentuaku melihat kelibat aku yang baru turun dari bas ulang-alik KSOC.
"Baiklah, Pak," jawabku ringkas. Akulah satu-satunya menantu lelaki Melayu di dalam keluarga itu selain tiga menantu perempuan Melayu. Aku mesti membuktikan bahawa lelaki Melayu tidak malas.
"Pakcik tak mahu menantu orang Melayu. Malas," kata bapa kawanku sambil ketawa kecil. Sehingga sekarang kawan perempuanku tidak berkahwin sedangkan aku sudah mempunyai enam cucu !
Setelah mandi dan makan , aku turun dari rumah ke tempat bapa mentuaku sedang menukang rumah. Bapa mentuaku sangat rajin . Dialah yang mengerjakan kebun kelapa sawit di belakang rumahnya seluas 3 ekar seorang diri. Dialah yang menukang rumah-rumah sewa sendiri. Kadang-kadang ada warga seberang yang datang menumpang tinggal di rumah itu dan menolong bapa mentuaku membuat kerja di kebunnya. Aku dianggap bertuah juga kerana bapa mentuaku pernah bercadang hendak menjodohkan isteriku dengan seorang warga seberang yang tinggal di rumah itu. Berita itu disampaikan oleh kakak iparku yang meminta aku segera masuk meminang. Selepas bertunang, lelaki yang tinggal di rumah itu telah keluar dari rumah bapa mentuaku.
"Kau panjat alang tu. Ketuk paku kat penyambung tu," kata bapa mentuaku sambil memegang tangga kayu. Aku terkial-kial mengetuk paku sebesar jari telunjuk. Piang ! Sebatang paku terbang di atas kepala bapa mentuaku.
"Macamana kau ketuk paku," keluh bapa mentuaku.
Aku diam saja. Piang! Kali kedua paku melayang dan sempat dielak oleh bapa mentuaku. Bapa mentuaku menggeleng-geleng.
"Sudah. Kau turun. Biar bapak yang paku," kata bapa mentuaku sambil tangannya menunjuk-nunjuk tempat hendak dipaku.
"Kau pegang pen saja pandai,' kata bapa mentuaku sambil tersenyum menahan ketawa.Aku ketawa kecil.
"Saya tak biasa pegang penukul," kataku jujur.
Sejak itu, aku hanya membantu mengangkat kayu atau papan . Sehinggalah rumah itu siap dibina dan bukan setiap hari aku membantunya menukang kerana kadang-kadang aku pulang lewat dari sekolah. Di belakang rumah ibu mentuaku terdapat sebatang baji seperti tombak yang ditanam di dalam tanah. Alat ini digunakan untuk mengopek buah kelapa. Selepas mengait beberapa biji buah kelapa , bapa mentuaku akan mengopek buah kelapa menggunakan alat itu.
" Kau cuba kopek buah kelapa ni, " kata bapa mentuaku yang melihat aku tercegat memerhatikannya mengopek buah kelapa. Aku segera mengambil kedudukan berdiri tegak di hadapan baji.
"Hati-hati ye," pesan bapa mentuaku. Inilah kali pertama aku mencuba menggunakan alat ini. Kalau diingatkan kembali 'nyawa bagai di hujung tanduk' . Andainya tergelincir kemungkinan baji itu menembusi dadaku.
"Pak eh. Kenapa disuruh Azmi buat itu," kata mak.mentuaku menjenguk dari tingkap dapur.
Kata bapa mentuaku dia hendak mengajar aku mengopek buah kelapa kepada ibu mentuaku dalam bahasa Jawa. Aku hanya tersenyum mendengar perbualan mereka. Ibu bapa mentuaku berbual-bual dengan anak-anaknya tidak menggunakan bahasa Jawa. Jadi, isteriku kurang mahir berbahasa Jawa seperti aku kurang mahir berbahasa Kelantan . Tugasan mengopek buah kelapa berjaya diselesaikan .
"Nanti kau ikut bapa pergi belakang tengok kebun," kata bapa mentuaku sambil tersenyum . Aku tersenyum dalam terpaksa. Habislah aku dibaham nyamuk !
Mohd Nazeri Latif

Comments

Popular posts from this blog