Episod: Nasi Ambeng Tambah Budu
Satu daripada makanan masyarakat Jawa ialah Nasi Ambeng. Mula-mula tinggal di kampung sekitar tahun 1989, aku tidak merasa nasi ambeng sama ada di majlis 'kondangan' atau majlis tahlil. Barangkali kos menyediakannya agak tinggi al maklumlah rata-rata orang kampung bekerja sebagai penoreh getah dan menjual kelapa sawit.
Rumah-rumah kampung diperbuat daripada kayu manakala bilik mandi dan tandas di luar rumah . Hal paling merisaukan apabila tiba waktu malam ialah memerut. Oleh sebab itu, orang-orang pada zaman itu 'slim' tidak seperti zaman sekarang 65% rakyat di negara ini menghadapi masalah obesiti. Pemakanan orang-orang kampung menggunakan bahan-bahan yang didapati di sekeliling rumah atau di kebun. Ibu mentua dan isteri akan mencari daun-daun pokok seperti kangkung untuk dijadikan sayur. Parit di hadapan rumah pula terdapat ikan yang boleh dipancing dan dijadikan lauk. Jarang sekali untuk menikmati lauk-pauk mewah seperti daging ayam atau lembu.
Ulam-ulaman sudah menjadi menu wajib ketika makan. Masakan 'cekir' atau kaki ayam dibuat sup atau digoreng pertama kali aku nikmati selepas berkahwin. Ibuku tidak pernah memasak kaki ayam atau jenis ikan darat tetapi masakan 'pecal lele' juga kerap menjadi hidangan di rumah mentuaku. Aku mula belajar makan masakan Jawa sedikit demi sedikit.
Nasi ambeng dianggap makanan 'kayangan' kerana cara penyediaannya agak remeh pada pandangan aku. Selain nasi putih, dicampur mi goreng, serunding kelapa, tempe goreng, gereh (ikan masin) ayam masak kicap atau ayam ungkep. Aku sudah mahir makan nasi ambeng apabila isteriku membelinya di pasar malam atau warung di tepi jalan. Pada mulanya, aku mengasingkan semua bahan di dalam nasi ambeng terapi aku diajar oleh isteriku cara makan nasi ambeng. Aku juga pernah membelikan nasi ambeng kepada kawanku yang berasal dari Kelantan dan Pulau Pinang. Mereka juga berasa pelik dan kekok makan nasi ambeng tetapi sekarang mereka makan sebungkus seorang !
Nasi ambeng tidak dikategorikan sebagai nasi bajet kerana kandungannya menggunakan bahan-bahan yang mahal seperti daging ayam. Memang puas makan nasi ambeng sehingga aku jadi ketagih. Peliknya aku akan makan nasi ambeng beesama budu cap 'Ketereh' dilenyek cili padi. Ibu mentua lalu pun aku tak sedar !
"Azmi sudah pandai makan nasi ambeng," kata ibu mentuaku sambil ketawa. Hari ini nasi ambeng makanan 'favorite'ku selain sambal goreng Jawa yang aku boleh meratah sepinggan. Untung kahwin orang Jawa bukan saja rajin bekerja , makanan yang sedap-sedap juga pandai menjaga badan kerana isteriku masih makan jamu walaupun sudah berusia setengah abad.
Comments
Post a Comment