Episod : LEMAS

Keseronokan pulang ke Kampung Palekbang daerah Tumpat sekitar akhir 1970-an ialah mandi di tepi telaga dan terusan. Ada sebuah jambatan kayu antara kiri dan kanan ada dua terusan . Di belakang rumah Chek ( Datuk) ada sawah padi terbentang luas. Di sepanjang petak sawah ditanam pokok jambu batu berjujur 20 hingga 30 batang pokok. Di situlah aku dan adik-adikku memanjat pokok jambu batu dan memetik buahnya yang sebesar penumbuk.
Di bahagian dapur rumah Chek ada pelantar buluh tempat basuh pinggan mangkuk. Kalau malam rasa nak kencing di situlah dilepaskan hajat bertemankan lampu pelita ayam. Kalau nak membuang air besar duduk saja mencangkung tepi sawah masalah selesai. Di tengah-tengah rumah ada pelantar kayu yang boleh disorong tolak juga menjadi tempat membuang air tika waktu malam .
Di depan pintu utama rumah kayu itulah aku dikhatankan oleh Tok Mudim yang datang berbasikal sambil di bibirnya terkepit rokok daun. Pagi-pagi lagi aku dimandikan oleh bapaku di tepi telanga. Bau air telaga bersih dan segar. Sebuah 'timba' dibuat daripada upih pinang diikat dengan tali untuk mencedok air telaga. Mula-mula agak susah nak mencedok air tapi Chek ajar sampai pandai. Akhirnya, aku boleh mencedok air telaga sendiri.
Aku didudukkan di atas batang pisang dan sekali hiris dengan pisau lipat selesai tugas Tok Mudim. Tiada rasa pedih. Tok Mudim membubuh ubat kuning dan dibalut dengan kain gouse. Tengah hari itu, aku sudah bermain bola atas beranda kayu depan pintu dan Chek duduk di atas pangkin sambil menghisap rokok daun. Beberapa ekor lembu dan kambing biri-biri Chek ditambat pada pokok-pokok kelapa di depan rumah. 'Gedegang gedegung' bola ditendang terkena dinding papan. Di bahagian bawah tangga kayu ada sebuah tempayan berisi air dan 'timba' daripada upih pinang. Sebelum naik ke rumah , kaki dibasuh di tangga terlebih dahulu.
Di bawah rumah tiada apa-apa hanya tanah. Chek melarang kami ke bawah rumah kata Chek ada harimau. Aku dan adik-adik ketawa apabila mendengar kata-kata Chek. Larangan Chek kami patuhi sepenuhnya. Apabila malam aku dan adik-beradik akan duduk berkeliling melihat Chek memasang lampu gasolin. Sedikit demi sedikit lampu menjadi terang memenuhi ruang tengah rumah. Di dapur dan bilik tidur hanya pelita ayam dipasang. Kami tidur beramai-ramai di tengah rumah dan dipasang kelambu besar bagi mengelakkan nyamuk.
Sesekali kedengaran suara Chek bercakap-cakapl di beranda depan. Sesekali chek terbatuk-batuk dan sambung bercakap-cakap. Aku tidak tahu dengan siapa Chek bercakap-cakap kerana Chek seorang diri di atas pangkin luar. Chek akan masuk semula ke dalam rumah dan melihat cucu-cucu yang baru nak lelap. Begitulah rutin Chek setiap lewat malam dan hanya sekali aku pernah mendengar kata-kata Chek dengan jelas semasa hendak menutup pintu ," Mu jangan ganggu cucu-cucu aku balik sini" ( dalam loghat Kelantan).
Pada sebelah petang, aku dan adik-adikku dibawa oleh makcikku ya g berperawakan seperti lelaki kerana suka berpakaian lelaki dengan baju kemeja dan berseluar. Tubuhnya agak gempak dan kulitnya agak gelap. Kami hendak dibawa mandi di terusan. Kanak-kanak kampung melompat dari atas jambatan terjun ke dalam terusan yang dalam itu. Aku berpegang pada tangga kayu di tepi terusan dan makcikku akan memeluk aku serta adik-adik yang lain. Tiba-tiba adikku tenggelam timbul. Sepantas kilat makcikku menarik rambut adikku. Kami terselamat daripada lemas.
Sepulang ke rumah , ibuku membebel kepada makcikku kerana kami hampir lemas. Makcikku tidak menjawab bebelan ibuku tapi sesekali dia menjawab dengan suara perlahan di beranda. Apabila minggu cuti sekolah hampir tamat , kami akan bersiap-siap untuk pulang ke bandar. Saat itulah paling sedih kerana Chek dan Mok Tua (nenek) akan duduk di pangkin dan melambai-lambai hingga kami hilang dari pandangan. Semasa Chek dan Mok Tua meninggal dunia kami tidak pulang ke kampung kerana tidak mampu menampung tambang kereta api. Ibuku menangis sendirian di dapur.

Comments

Popular posts from this blog