Episod : LANTAI PAPAN

 

Semasa dilahirkan pada tahun 1967, kami sekeluarga tinggal di Kurantin. Mengapa nama tempat itu Kuarantin tidak aku ketahui. Kemudian, aku membesar di Flat LPK yang menjadi kuaters pekerja-pekerja Pelabuhan Klang.Barang kali kami berpindah sebelum 1974 kerana semasa aku di dalam Darjah 1 aku sudah tinggal di situ. Terdapat 10 buah blok kesemuanya dan setiap blok setinggi empat tingkat manakala setiap tingkat mempunyai enam pintu. Penduduk di situ berbilang bangsa ada Melayu, Cina, India dan kaum-kaum lain. Suasana yang harmoni dapat dirasai lebih-lebih lagi semasa sambutan hari perayaan sangat meriah.

Apabila aku berkahwin pada tahun 1989 dengan gadis pilihanku , aku berpindah tinggal bersama-sama keluarga mentua di Kampung Meru. Memang betul-betul kampung kerana suasana kehidupan di kampung berbeza dengan bandar. Kebanyakan penduduk yang aku temui ialah orang Melayu berketurunan Jawa. Baik kecik , dewasa, tua dan muda semuanya berkomunikasi menggunakan bahasa Jawa. Sepatah haram aku tidak faham sehinnga isteriku terpaksa menjelaskan bahawa aku orang Melayu apabila wak atau paman yang baru dikenali berbahasa Jawa denganku.  

Berbagai-bagai reka bentuk rumah di kampung. Bagi yang berduit , rumah yang dibina lebih besar sebaliknya bagi keluarga yang kurang berada rumah mereka sangat sederhana. Hanya rumah-rumah berlantai dan berdinding papan dana tap zink. Rumah mentuaku mempunyai ;kolong’ atau bahagian bawah rumah untuk berehat-rehat. Terdapat sebuah pangkin besar dan bapa mentuaku selalu ‘ melepak’ di atas pangkin itu selepas pulang dari kebun kelapa sawitnya. Beberapa buah basikal dan motosikal juga diparkir di bawah ‘kolong’. Basikal dan motosikal itu bukan kepunyaan keluarga mentuaku tetapi milik anak-anak kawan mereka dari Bukit Kapar atau Kerayong. Mereka akan menaiki bas di seberang jalan rumah mentuaku pada setiap hari sama ada pergi bekerja atau ke sekolah.

Pada masa itu juga, keluarga mentuaku sudah mempunyai beberapa buah rumah sewa yang dibina sendiri oleh bapa mentuaku. Rumah-rumah sewa itu mempunyai satu atau dua buah bilik. Ada sebuah rumah sewa didiami anak-anak dara yang bekerja kilang. Ada juga pasangan suami isteri yang baru berkahwin dan kakitangan kerajaan yang menyewa . Aku dan isteri masih tinggal di salah sebuah bilik di tingkat atas rumah mentuaku dan kami berpindah ke rumah sewa setelah kehadiran cahaya mata pertama. Lebih kurang setahun lebih juga kami duduk bersama-sama mentua.

 

Rumah berlantaikan papan sangat menyukarkan aku hendak berjalan. Selama ini, lantai simen yang kupijak tetapi sekarang lantai papan. Satu rumah akan bergegar bagaikan kaki raksasa yang memijak. Almari hiasan turut bergegar dan barang-barang yang disimpan di dalam almari ada juga yang terjatuh. Pada mulanya aku berasa agak geram kerana kesukaran untuk berjalan di atas lantai papan. Akhirnya, aku berjalan berjingkit-jingkit seperti watak Jerry di dalam kartun Tom and Jerry. Tujuan aku berjalan berjingkit-jingkit bagi mengelakkan rumah bergegar dan cermin tingkap turut bergegar.

Keseluruhan ruang atas rumah berlantaikan papan manakala ruang rumah bawah berlantaikan simen dan beralas tikar getah. Lantai papan pula dilapik karpet di sesetengah bahagian dan sebuah set kerusi rotan di ruang tengah.. Antara rumah induk dengan rumah tambahan bawah terdapat sebuah tangga kayu untuk naik dan turun. Setiap tingkap dipasang langsir begitu juga bilik-bilik berlangsir. Gaya rumah kampung sangat terserlah berbeza dengan rumah bandar. Sejak itu, setiap langkahku lebih berhati-hati kerana rumah itu berlantai papan.

 

 

 

Comments

Popular posts from this blog