Episod: JEJAKA IDAMAN
Sewaktu hangat bercinta lagu 'Jejaka Idaman' nyanyian Raja Ema menjadi minat isteriku. Wajah isteriku yang bulat dan bulu kening tebal mengingatkan aku pada wajah Raja Ema. Tapi, aku tak pernah mendengar isteriku menyanyi mungkin nyanyian di dalam hatinya sahaja.
Hanya selepas mendirikan rumahtangga barulah aku dapat melihat 'Raja Ema'ku di depan mataku.
"Awak ni serupa Raja Ema la," kataku hendak mengambil hatinya. Isteriku hanya tersenyum kemudian ketawa kecil.
" Patutlah suka lagu 'Jejaka Idaman' ," usikku lagi. Kami sama-sama ketawa. Aku menyanyi kecil lagu 'Jejaka Idaman' walaupun aku tidak pandai menyanyi.
Apabila aku menerima surat atau poskad daripadanya akan tertulis di bahagian bawahnya : 'Jejaka Idaman'. Entahlah , aku pun tak sedar kalau aku 'Jejaka Idaman' siapa? Isteriku, murid perempuanku atau peminat jauh. Aku menerima beratus pucuk surat daripada peminat-peminat karyaku di seluruh negara. Pada zaman 1990-an, karya-karya yang tersiar gambar dan alamat penulis disiarkan sama. Jadi, setiap harilah posmen membunyikan loceng basikalnya yang berwarna merah menghantar surat-surat peminat.
Bermacam-macam yang ditulis peminat-peminat. Ada yang bercerita kisah peribadi, kisah putus tunang, putus cinta bahkan ada juga yang ajak bercinta. Memang bercintalah nak bercinta. Aku tersenyum membaca surat-surat peminatku. Isi kandungan surat-surat peminat menjadi sumber idea untuk menulis cerpen atau sajak. Peminat-peminat zaman itu berutus surat sahaja kerana tiada telefon bimbit hanya telefon gagang di rumah atau telefon awam.
Telefon awam yang berwarna oren menjadi tumpuan terutama pada sebelah malam. Aku akan menggunakan telefon awam di tempat rahsia iaitu di tepi pintu 'gate' Pelabuhan Selatan sambil duduk di atas pelana basikal 'racing' . Pernah sekali tengah 'syok' telefon tayar depan basikal terpusing apa lagi 'gedegang' aku terjatuh ke tanah. Kemudian diketawakan anggota-anggota keselamatan LPK yang bertugas. Aku bangkit semula dan meneruskan perbualan. Semangat mesti kental.
Sekarang ini jarang kedengaran lagu 'Jejaka Idaman' di corong radio atau di kaca televisyen . Akhirnya , isteriku menemui 'Jejaka Idaman'nya juga.
Comments
Post a Comment