Episod : BENENG

Aku mula-mula kenal masakan bening pada tahun 1989. Setelah diijabkabulkan malam itu aku dihidangkan nasi ayam sambil dilayan isteri. Tersenyum-senyum pengantin barulah katakan tapi malam itu kami 'berpisah' kerana mengikut adat. Sementara menunggu adikku yang akan melangsungkan perkahwinan enam bulan akan datang terpaksalah kami jalani hubungan PJJ.
Tidak lama selepas dua hari , aku ke rumah keluarga isteriku untuk makan tengah hari. Sepanjang perjalanan ke Kampung Meru hati terlalu gembira kerana akan berjumpa isteri. Setelah turun dari bas KSOC aku disambut isteri di tepi jalan.Kami berjalan beriringan menuju ke rumah tetapi masih malu-malu berpegangan tangan. Aku disambut ibu bapa mentua. Bapa mentua baru balik dari kebun kelapa sawit.
Aku mandi untuk membersihkan badan dan menukar pakaian yang aku bawa di dalam beg sekolah. Isteri mengajak aku turun ke bahagian dapur. Ibu mentua mempelawa aku makan. Tudung saji dibuka. Di atas meja ada semangkuk masakan orang Jawa dinamakan bening, ikan kering @ gereh (bahasa orang Jawa), sambal belacan dan ulam-ulaman. Tekakku mula memberontak.Tiada gulai kari seperti masakan ibuku. Sejak kecil sudah terbiasa makan gulai, telur goreng dan ikan goreng.
Mataku terkebil-kebil di depan pinggan. Aku memandang isteriku dan isteriku memandang aku dengan wajah pelik.
"Makanlah,Azmi," suruh ibu mentuaku. Bapa mentuaku sudah habis sepinggan nasi. Jari-jemariku masih menguis-nguis butir nasi di dalam pinggan. Aku menjadi kekok untuk menjamah nasi berkuah bening.
"Azmi tak biasa makan bening, ye," kata ibu mentuaku. Aku mengangguk sambil tersenyum paksa. Isteriku turut tersenyum. Aku cuba menjamah sekali dua nasi di dalam pinggan.
Setiap kali aku pulang ke rumah keluarga isteriku aku akan singgah di kedai makan atau restoran mamak. Selesai makan , aku menyambung perjalanan ke rumah keluarga isteriku. Masakan bening menjadi hidangan wajib.
"Azmi tak makan?," tanya ibu mentuaku sambil tersenyum-senyum.
"Tak,mak. Saya dah makan di sekolah," jawabku.
Selepas majlis persandingan enam bulan kemudian aku tinggal di rumah mentua. Hendak tak hendak aku terpaksa belajar makan nasi kuah bening. Masakan bening merupakan sayur rebus dicampur air dan sedikit garam. Lawannya nasi panas. Hari demi hari tekakku sudah dapat menerima masakan bening. Sekali sekala isteriku memasak lauk pauk kesukaan aku. Gulai , telur dadar dan ikan goreng.
"Dulu kau eksen tak makan bening. Sekarang hari-hari nak makan bening," kata bapa mentuaku berseloroh. Kami sama-sama ketawa di meja makan .
Sebagai anak kampung, isteriku sudah dipersiapkan dengan ilmu rumahtangga. Memasak, menjahit, dan mengemas rumah semua beres. Kualiti inilah yang isteriku terapkan kepada puteri-puteri kami sebelum berumahtangga. Alhamdulillah, 28 Julai bermakna sudah 33 tahun berlalu sebagai suami isteri. Lima cahaya mata dan enam cucu penghibur hati Che' dan Nenda. Masakan bening tetap menjadi pilihan selain masakan orang Melayu. Orang Kelantan tekak Jowo !
May be an image of 2 people, people sitting, people standing and indoor
Atok Aki, Khairi Kamil and 507 others
49 Comments
1 Share
Like
Comment
Share

Comments

Popular posts from this blog