Episod : BAWA BEKAL

 

Nilai duit pada zaman sekolah tahun 70-an sangat mahal apatah lagi kalau tercicir di tengah jalan atau semasa pendidikan jasmani di padang. Jangan sampai orang tua tahu duit hilang.Nahaslah jawabnya. Kalau bukan tali pinggang , rotanlah makannya. Orang tua bekerja keras untuk menyediakan keperluan sekolah lagipun adik-beradik seramai lima orang semua bersekolah. Ibu akan memberi duit siling 20 sen setiap hari dan ada bekal nasi lagi. Jadi, aku hanya membeli air di kantin kedai hujung sebelah longkang di kantin sekolah MBS. Beberapa kali aku melihat murid-murid tahun satu menangis kerana duit siling yang dikeluarkan dari poket seluar berguling masuk ke dalam longkang. Air paip sajalah pemuas tekak yang dahaga. Tak ada pulak murid yang jatuh sakit minum air paip pada masa itu. Air paip pun sedap.

Kalau tekak berasa nak makan mi rebus yang sedap itu, aku akan membelanjakan kesemua duit 20 sen kerana harga mi rebus 10 sen . Mi rebus yang kuahnya macam masakan beneng tapi ada rasa masin dan perencah. Mi pula ada beberapa urat boleh dibilang dengan jari. Makcik kantin akan dibantu anak-anaknya yang juga bersekolah di situ. Kadang-kadang anak makcik kantin datang singgah di sekolah membawa kereta sport warna merah. Anak makicik kantin seorang pelakon terkenal ketika itu namanya Tony Kasim. Arwah tinggal bersebelahan rumah makcikku di Pelabuhan Klang. Mangkuk mi rebus akan disusun berlapis-lapis macam orang sarkis susun mangkuk. Ada palang besi di hadapan supaya murid-murid beratur semasa membeli makanan.

Selepas membayar harga mi rebus, aku dankawan karibku,  Kannu Samy akan duduk sama makan mi rebus. Pada zaman itu , murid-murid Melayu, Cina dan India bukan sahaja boleh berkongsi tempat duduk malah berkongsi air minum. Bagi yang terlebih duit, bolehlah membeli buah potong seperti tembikai atau buah betik harga 5 sen. Buah potong itupun komgsi makan. Bekal yang dibawa pun habis dimakan. Perut kenyang hati senang.

Apabila loceng tamat waktu rehat berbunyi, semua berlari ke bilik darjah tapi tak boleh terus masuk ke dalam bilik darjah. Semua murid akan beratur di luar bilik darjah menunggu Cikgu datang. Selepas Cikgu masuk, barulah semua murid akan mengekor masuk dan duduk di kerusi masing-masing. Beg berbentuk empat segiseperti kotak dan bercorak  petak-petak dibuka, Di dalam beg ada buku-buku dan alat tulis yang boleh diasingkan di bahagian tengah seperti ruang poket berlangsir. Itulah beg yang paling ‘glamour’. Ada pemegang dan kunci macam beg doktor zaman sekarang.

Apabila naik Tingkatan Satu ke Sekolah Menengah Dato Hamzah Pelabuhan Klang, bekal makanan masih dibawa ke sekolah. Semua adik-beradik akan membawa bekal nasi. Pagi-pagi lagi, ibuku akan memasak kuah kari ikan, ikan goreng dan sayur. Ikan akan dicampur sebungkus dengan nasi. Sayur dan kuah kari diasingkan di dalam plastik kecil yang diikat dengan getah. Nasi kena lebih dah semacam bantal apabila dibalut dengan kertas surat khabar yang dialas plastik. Tujuan sayur dan kuah tidak dicampur dengan nasi kerana nasi akan menjadi kembang dan kuah akan meresap di dalam nasi. Rasa nasi sudah tidak sedap . Bekal hanya dimakan pada waktu rehat pukul 3.00 petang. Sebelum pergi ke sekolah sesi petang, aku sudah siap makan tengah hari dan nanti di sekolah makan bekal nasi lagi. Air minuman dibeli di kantin sekolah.

Apabila loceng waktu rehat berbunyi menderu-deru murid-murid berlari ke kantin. Riuh-rendah macam perang dunia. Masing-masing menjerit meminta makanan dan kadang-kadang meletus pergaduhan sesama murid. Sekolah Dato Hamzah terdiri daripada murid-murid lelaki sahaja. Pergaduhan yang tercetus kadang-kadang menyebabkan mangkuk dan gelas plastik berterbangan di atas kepala. Keadaan menjadi lebih kecoh apabila mereka yang bergaduh naik ke atas meja dan menendang mangkuk dan gelas di atas meja. Memang menyakitkan hati melihat kelakuan ganas mereka dan memang pun patut pihak polis datang ke sekolah bawa trak ‘ Black Maria’. Semua yang bergaduh diangkut ke Balai Polis Pandamaran.

“Aku ingat dia orang ni anak komunis la,” kata kawanku sambil terkekeh-kekeh ketawa. Kami yang duduk makan semeja hampir tersembur nasi.

“Ini bukan anak komunis tapi turun dari bukit ,” jawabku. Istilah turun dari bukit kekal hingga sekarang merujuk murid-murid yang seperti  tidak bertamadun.. Aku dan kawan-kawan lain yang membawa bekal akan makan bersama-sama di satu meja panjang dan berkongsi makanan yang dibawa. Yang nak telur dadar boleh tukar dengan ikan goreng atau ayam goreng. Sebenarnya, menu makanan bekal kami sama sahaja setiap hari. Hanya acah-acah macam makan kenduri.

Amalan membawa bekal makanan ke sekolah sudah semakin ditinggalkan selepas akhir tahun 90-an dan awal tahun 2000. Murid-murid zaman sekarang berasa malu untuk membawa bekal makanan ke sekolah. Kadang-kadang macam-macam cerita didengar kononnya makcik kantin melarang murid-murid membawa bekal ke sekolah. Pada awal bulan pertama sesi persekolahan dibuka, ibu bapa masih dibenarkan masuk menghantar makanan kepada anak-anak tetapi selepas sebulan dua kebenaran ditarik balik. Murid-murid kena belajar menggunakan duit untuk membeli makanan dan minuman di sekolah. Begitulah putaran zaman. “Dulu lain sekarang lain” , lirik lagu Allahyarham SM Salim.

 

Comments

Popular posts from this blog