Episod : AKULAH ‘SIX MILLION DOLLAR MAN’

Sekitar pertengahan tahun 1970-an ada beberapa siri filem berbahasa Inggeris ditayangkan di televisyen seperti Chips, Six Million Dollar Man, Bionic Woman, Combat, The High Chaparral, Kung Fu, Knight Rider, Ben & Benji, MacGyver, The A-Team dan Superman. Kesemua filem bersiri ini menjadi kegemaran kanak-kanak dan juga orang dewasa. Pada zaman itu, belum ada filem Inggeris seperti  Mr.Bean dan Robocop. Rancangan Wrestling juga sangat diminati terutamanya golongan pakcik dan makcik. Kalau di Pelabuhan Klang, Restoran Mi Ibrahim dan Restoran Abdullah di depan stesen bas MARA Klang-Banting menjadi tempat ‘ melepak’ pekerja-pekerja LPK menonton Wrestling.

Pada tahun 1979, aku paling suka menonton filem ‘Six Million Dollar Man’ yang dilakonkan oleh Lee Major sebagai Steve Austin menjadi hero. Selepas terlibat dalam kemalangan dahsyat dan hampir meragut nyawa, Steve berjaya diselamatkan melalui pembedahan yang rumit. Akhirnya, para doktor telah melakukan pembedahan khas dengan memasukkan beberapa alat ‘supersonic’ yang mampu menghasilkan kuasa dan tenaga yang luar biasa. Steve boleh melompat setinggi bangunan, berlari selaju sebuah kereta ‘sport’ dan mengangkat barang-barang berat yang mustahil dapat dilakukan oleh manusia biasa. Kalau filem Melayu watak ‘Badang’.

Selepas beberapa siri ujian dilakukan terhadap Steve, akhirnya tercipta seorang manusia mempunyai kuasa seperti ‘robot’ diberikan nama ‘Six Million Dollar Man’. Matanya juga seperti sebuah kamera yang dapat melihat dengan tepat dalam jarak jauh. Tugasnya Steve ialah menghapuskan penjenayah dan penyangak. Setiap minggu, filem Six Miliion Dollar Man akan ditunggu-tunggu. Kanak-kanak mempunyai daya imaginasinya sendiri. Begitu juga aku, mempunyai imaginasi ingin menjadi ‘Six Million Dollar Man’.

Ketika di sekolah, aku bukanlah murid pilihan guru-guru dan rakan-rakan kerana aku bukanlah murid yang aktif dalam bidang sukan. Aku lebih berminat membaca dan menonton televisyen kerana aku mendapat banyak idea. Apabila ada pertandingan menulis atau melukis selalunya aku akan melibatkan diri atau dipilih oleh guru. Aku berangan-angan menjadi ‘Six Million Dollar Man’ dengan kuasa yang luar biasa pada diriku. Aku dapat melihat pada jarak jauh. Kawan-kawanku tidak menyedari kuasa yang ada padaku. Aku boleh berlari dengan pantas dan melompat bangunan sekolah dalam sekelip mata.

Beberapa orang murid perempuan yang menyombong denganku selalu aku tunjukkan kuasa luar biasa itu tetapi mereka sedikit pun tidak menunjukkan tindak balas atau keterujaan. Aku berasa diriku ini tidak diminati oleh mereka kerana aku bukan atlet sekolah yang sering mendapat perhatian dan sudah tentunya mereka sangat popular di sekolah. Hanya seorang dua kawan perempuan yang sudi berbual-bual atau berjalan sama denganku ke kantin apabila waktu rehat.

Aku juga bukan kategori murid yang bergaya. Ada sesetengah murid yang berasal daripada keluarga berwang kerana ibu bapa mereka bekerja di sektor awam dan mempunyai gaji tetap memakai baju , seluar dan kasut mahal seperti ‘Badminton Master’. Manakala, bapaku hanyalah bekerja sebagai buruh di Pelabuhan Utara tetapi bapaku sangat mementingkan pelajaran walaupun bapaku sendiri tidak pernah menjejakkan kakinya ke sekolah. Ibuku pula mempunyai pengetahuan yang baik tentang pelajaran dan menjadi tempat rujukan aku dan adik-beradik. Kata ibuku, dia pernah mendapat tawaran sekolah untuk menjadi seorang guru selepas tamat darjah enam dulu tetapi datukku tidak membenarkannya menjadi guru.Cita-cita ibuku tidak pernah kesampaian. Kalau tidak, mungkin aku ini anak bekas Guru Besar sekolahkan?.

Jadi, semasa menonton ‘Six Million Dollar Man’ aku membayangkan aku dapat berlari sepantas kilat dan melompat selaju angin. Walaupun siaran televisyen hitam puitih tetapi tetap memberikan kepuasan saat menontonnya. Pernah sekali aku mengambil bahagian dalam sukaneka, iaitu membaling uncang pasir ke arah permukaan kayu ‘playwood’ yang terdapat sebuah lubang kecil di tengah-tengah.Setiap lontaran aku mengenai sasaran dan aku mendapat hadiah tempat pertama. Ketepatan itu kerana aku mempunyai kuasa yang luar biasa seperti ‘Six Million Dollar Man’. Aku berasa seronok apabila semua penonton bertepuk tangan dan terpegun kerana aku mampu membaling uncang-uncang itu tepat memasuki lubang.

Kemahiran membaling objek itu terbawa-bawa apabila aku menjawat jawatan guru. Aku pernah membaling sebatang pen ke arah seorang murid lelaki yang asyik bersembang di belakang kelas sewaktu aku mengajar di hadapan.

“Paappp”,

Balingan pen itu tepat kena di bawah kelopak matanya apabila murid itu menoleh. Berdebar-debar juga aku kerana risau jika pen itu terkena mata murid itu barang kali boleh buta matanya. Sejak itu, aku tidak lagi membaling objek di tanganku kerana bimbang kejadian sama akan berulang kembali. Jadi, aku menggantinya dengan sebatang rotan panjang sebesar jari hantu. Sekali libas berdesup bunyinya. Murid-muridku pandai mengelak hukuman rotan dengan meletakkan buku latihan di dalam seluar. Apabila aku melibas punggungnya hanya kedengaran seperti bunyi kotak dipukul dengan rotan. Aku mengalihkan sebatan pada tangan sebagai denda datang lewat atau bising di dalam bilik darjah. Berdesup juga bunyinya.

 

Apabila usiaku mengajak remaja, filem-filem yang ditayangkan di televisyen semakin jarang aku tonton tetapi aku beralih kepada siaran radio RTM sambil melayan suara lemak merdu Shahizan Jelas dan Lutfi yang mengacarakan rancangan Lagu dan Kenangan. Bait-bait puisi pendek yang dilontarkan sangat merangsangkan otakku dan akhirnya aku memilih genre sastera sehingga kini.

Comments

Popular posts from this blog